5 Keistimewaan Bulan Dzulhijjah Yang Kita Wajib Tahu

Bulan Dzulhijjah atau lebih dikenali sebagai bulan Haji cukup bermakna buat umat Islam seluruh dunia.

Ibadah Haji merupakan ibadah kelima dalam rukun Islam yang mana seluruh umat Islam dijemput untuk menjadi tetamu Allah di Mekah. Mereka berkumpul di Baitullah untuk melakukan rukun-rukun Haji seperti yang disyariatkan dalam agama Islam.

Dari Ibnu ‘Abbas r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda :

Tidak ada hari dimana amal soleh pada saat itu lebih dicintai oleh Allah daripada hari-hari ini, iaitu : Sepuluh hari dari bulan Dzulhijjah.

Mereka bertanya : Ya Rasulullah, tidak juga jihad fisabilillah?
Beliau menjawab : Tidak juga jihad fisabilillah, kecuali orang yang keluar (berjihad) dengan jiwa dan hartanya, kemudian tidak kembali dengan sesuatu apapun”.

(HR Bukhari)

Dalam artikel ini, mari berkongsi 5 keistimewaan bulan Dzulhijjah yang WAJIB kita ketahui.

KEISTIMEWAAN 1: Ibadah Haji

Rukun ke 5 Islam hanya boleh disempurnakan di dalam bulan ini.

Bulan Dzulhijjah hanya datang setahun sekali. Ibadah haji wajib dilakukan kepada mereka yang mampu.

Firman Allah SWT: “Dan Allah mewajibkan ke atas manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa untuk sampai ke sana. Dan sesiapa yang kufur (ingkar kewajipan haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.”

(Surah Al-Imran : 97)

KEISTIMEWAAN 2: Hari Arafah

Wukuf itu sendiri adalah Haji.

Wukuf di padang Arafah adalah kemuncak haji.

Ibadah ini dilakukan dengan cara berdiam diri di padang Arafah mulai dari tergelincirnya matahari tanggal 9 Dzulhijjah sehingga terbenamnya matahari pada tanggal 10 Dzulhijjah.

Doa tersangat mustajab ketika itu.

Wukuf juga merupakan gambaran kecil manusia ketika Hari Kiamat kelak.

“Tidak ada hari di mana Allah memerdekakan hamba-hamba-Nya dari neraka selain hari Arafah. Allah sesungguhnya mendekati mereka dan membanggakan mereka kepada para malaikat seraya berkata; Apa saja yang mereka impikan akan Aku kabulkan.”

(HR. At- Tirmidzi)

Kepada yang tidak mengerjakan Haji dan berpeluang untuk wukuf di Arafah, berpuasalah pada hari ini yang bersamaan dengan 9 Dzulhijjah.

Daripada Abi Qatadah r.a.
Rasulullah s.a.w. ditanya tentang puasa sunat pada Hari Arafah, baginda menjawab maksudnya:

“Menghapuskan dosa tahun yang lepas dan tahun yang akan datang.”

(HR Muslim)

KEISTIMEWAAN 3: Ibadah Qurban

Ibadah Qurban ialah penyembelihan binatang qurban yang dilakukan pada Hari Raya Haji.

Ia dilakukan selepas solat ‘Idil Adhha dan pada hari-hari Tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Dzulhijjah dengan niat kerana beribadah kepada  Allah s.w.t.

Ia diteruskan sehingga hari ini sebagai menghidupkan syariat Nabi Allah Ibrahim a.s. yang kemudiannya disyariatkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Firman  Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Dan telah Kami jadikan unta-unta itu sebahagian daripada syi’ar Allah, kamu memperolehi kebaikan yang banyak daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah diikat).

Kemudian apabila telah roboh (mati), maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta.

Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur.”

(Surah Al-Hajj : 36)

KEISTIMEWAAN 4: 10 Dzulhijjah yang pertama

Ulama mengatakan, barangsiapa memuliakan atau menghidupkan 10 hari pertama dari bulan Dzulhijjah dengan amalan-amalan ibadah maka Allah Ta’ala akan memberinya 10 keistimewaan, iaitu:

  1. Allah memberikan barakah kepada umurnya
  2. Allah menambahkan rezekinya
  3. Allah menjaga diri dan keluarganya
  4. Allah mengampuni dosa-dosanya
  5. Allah melipat kali gandakan pahalanya
  6. Akan dipermudahkan urusan sakaratul mautnya
  7. Allah menerangi kehidupannya
  8. Akan diberatkan timbangan kebajikannya
  9. Akan diselamatkan dari semua kesusahannya
  10. Akan ditinggikan darjatnya di sisi Allah Ta’ala.

KEISTIMEWAAN 5: Asyhurul Hurum

Bulan Dzulhijjah adalah salah satu bulan mulia, yang telah Allah Ta’ala sebutkan sebagai asyhurul hurum (bulan-bulan haram).

Maksudnya, saat itu manusia dilarang untuk berperang, kecuali dalam keadaan membela diri dan terdesak.

Oleh
Puan Nazuha binti Suhaimi
Wanita ISMA SPU