Doktor beragenda, sinar harapan ummah!

BATU FERRINGHI, 7 Zulkaedah 1440H, Rabu – Seramai 3 orang aktivis Ikatan Muslimin Malaysia Seberang Perai Utara (Isma SPU) dan I-Medik Pulau Pinang telah berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Perubatan, Pembedahan dan Obstetrik (MB Bch BAO) dengan cemerlang.

Dr. Aida Nazurah Aman Sarifudin, Dr. Nurul Nazual Zulkepli dan Dr. Hanis Amalina Ismail diraikan bersama 83 rakan seperjuangan yang lain dalam Majlis Anugerah di Bayview Beach Resort, Pulau Pinang, 30 Jun lalu.

Setelah lebih 5 tahun belajar dan berusaha, mereka meraih segulung ijazah perubatan. Ketiga-tiga mereka yang dihubungi media SPU percaya, kejayaan ini merupakan berkat doa orang sekeliling terutamanya ibu bapa, keluarga, guru dan sahabat handai.

“Tanpa mereka, mustahil saya berada di sini hari ini. Semua ini kerana rahmat dan kasih sayang Allah. Alhamdulillah. Semoga saya diberikan kekuatan untuk terus berkhidmat kepada masyarakat kelak”, ucap Dr. Hanis.

Berkongsi tips kecemerlangan, Dr. Aida mempraktikkan tidak berlengah dalam segala urusan dan sentiasa memperbaharui niat sebelum berbuat sesuatu. Berpegang kepada kata-kata Waki’ kepada Imam Syafie iaitu “Ilmu itu adalah cahaya dan cahaya tidak mungkin diberikan kepada orang yang melakukan maksiat” (I’anatuth Tholibin, 2: 190), beliau turut mengambil sikap berhati-hati dalam setiap perlakuan dan pertuturan.

Tambah Dr Aida, “Jika dulu jalan nampak sukar dan berliku, tapi sekarang hala tuju saya makin jelas. InsyaAllah saya makin sedia mengharungi perjalanan seterusnya. Bermula dengan Housemanship (HO) yang pastinya mencabar. Nasihat saya, sentiasa tanamkan impian yang tinggi untuk menjadi orang hebat dan mampu membangunkan ummah”.

Dr. Nazual pula mengajak mahasiswa dan mahasiswi untuk terus bergerak maju. Ujarnya, pemuda/i mesti merebut peluang untuk mengasah kemahiran tambahan seperti pengucapan awam, kerjasama kumpulan, sukarelawan dan aktivisme masyarakat.

“Walaupun tujuan utama kita menjadi pelajar adalah; sentiasa berusaha untuk belajar secara bijaksana, harus diingat, tanggungjawab kita bukan sekadar pelajar. Kita bakal pemimpin di masa hadapan! Kita mesti menjadi graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik malahan mempunyai agenda untuk ummah”, katanya.

Seluruh Isma SPU dan ahlinya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada mereka bertiga. Semoga ilmu dan kejayaan ini memberi manfaat yang besar buat umat Islam khususnya di Malaysia.

Oleh
Noradawiyah Nordin
Wartawan Isma SPU