Selami penderitaan Muslim Uighur dan nisbahnya kepada Malaysia

SIAPA MEREKA?

Uighur merupakan sebuah etnik yang tinggal di wilayah Timur Turkistan, bersempadan dengan Mongolia, Kazakhstan dan Krygyzstan. Dari sudut adat, bahasa dan budaya, mereka menyerupai bangsa Turk. Malahan rupa paras mereka berlainan jika dibandingkan kebanyakan penduduk China yang lain ataupun dengan etnik Hui, iaitu satu lagi kaum utama pemeluk agama Islam di China.

Etnik Uighur menerima Islam sejak abad ke-sembilan ketika zaman Raja Karahanidin. Sejak itu, Islam berkembang sehingga sejarah menyaksikan bandar Kashgar menjadi pusat penyebaran Islam di laluan terkenal ‘Silk Road’ suatu masa dahulu.

TANAH UMAT ISLAM DIRAMPAS

Berlaku siri peperangan Khilafah Islam dengan Empayar Manchu, sehinggalah pada tahun 1884, Timur Turkistan ditawan sepenuhnya. Sejak itu, wilayah tersebut ditukar nama kepada Xinjiang, bermaksud wilayah baru. Pada tahun 1911, pemerintahan baru oleh Nasionalis China (Kuomintang) selepas mereka merobohkan Empayar Manchu dan menguasai semua wilayahnya. Itulah detik, Uighur dijadikan etnik minoriti di bawah negara bernama Republik Rakyat China.

Antara peristiwa penting dalam kejatuhan Islam di Timur Turkistan adalah; 1) Kem Islam ditipu oleh Dinasti Qing ketika cuba menewaskan Dzungar pada tahun 1800; 2) Peperangan Kashgar (1937) menyaksikan pergaduhan Muslim Uighur dan Muslim Hui; dan 3) Sultan Du meminta bantuan ketenteraan daripada Ratu Victoria tetapi permintaannya ditolak.

SEKSAAN TERHADAP UIGHUR

Baru-baru ini, dunia mula disedarkan tentang kekejaman pemerintah China ke atas etnik Uighur. Media antarabangsa melaporkan rentetan penindasan ke atas mereka antaranya tidak dibenarkan berpuasa di bulan Ramadhan, memakai tudung, membela janggut atau misai, umur 18 tahun ke bawah tidak boleh ke masjid, ditentukan aktiviti keagamaan dan Al-Quran yang digunakan serta dipaksa makan babi dan minum arak.

Paling mengejutkan, lebih kurang 2 juta Muslim Uighur ditangkap tanpa bicara dan diletakkan di dalam beratus kem tahanan dan penyeksaan di wilayah tersebut. Pergerakan penduduk Uighur dipantau melalui CCTV yang dipasang di semua jalan dan QR Code dikenakan pada setiap identiti dan barang (contoh pisau) yang dibeli. Penghijrahan besar-besaran kaum Han juga mencecah 45% populasi. Syarikat Bingtuan milik tentera, memberi ganjaran dan pekerjaan kepada penghijrah. Ekonomi yang didominasi etnik Han tersebut ibarat menghalau perlahan-lahan Muslim Uighur apabila harga barang naik, sektor pekerjaan dinafikan dan pembinaan rumah yang tidak mampu dimiliki mereka.

RAMADHAN, BULAN CAKNA UMAT

Umum mengetahui, Ramadhan merupakan bulan ibadah. Di bulan inilah, kita wajib berpuasa siang hari, terdapatnya solat sunat tarawih dan malam lailatul qadar. Namun jangan lupa, bulan Ramadhan turut menyaksikan Nabi Muhammad SAW bersama sahabat RA keluar berperang menentang kafir musyrikin, seperti contoh Perang Badar.

Ini bermaksud, umat Islam patut mengambil ibrah ruh perjuangan tersebut dan berusaha membantu saudara semuslim kita yang ditindas di tempat lain, seperti kata-kata Imam Hasan Al-Banna, “Setiap tanah yang padanya ada manusia mengucapkan syahadah, ia adalah tanah umat Islam yang perlu dibebaskan”.

Antara lima cara untuk membantu Muslim Uighur adalah;

1) Memboikot produk buatan China. China melarang Uighur berpuasa, maka kita patut ‘berpuasa’ daripada membeli barangan mereka.

2) Sebarkan fakta berkenaan penindasan Uighur di seluruh dunia melalui wacana, kempen kesedaran, media sosial dan lain-lain.

3) Lindungi saudara Muslim Uighur yang menjadi pelarian atau menetap di kawasan kita. Sokong produk serta makanan buatan mereka.

4) Memberi desakan kepada kerajaan Malaysia untuk menekan China, dan menyatakan pendirian tegas tentang kezaliman China terhadap Uighur.

5) Mengadakan demonstrasi aman ‘Membantah Kekejaman terhadap Muslim Uighur’ lebih-lebih lagi di hadapan kedutaan China.

 

PENGAJARAN KEPADA MALAYSIA

“Umat Islam di Malaysia tidak perlu lagi ‘try and error’ untuk tahu akibat dari satu-satu tindakan. Lihat sahaja sejarah dan apa yang berlaku pada Muslim yang ditindas di tempat lain,” kata Puan Syafinaz Zainol, dalam perkongsian Wacana Muslim Uighur, Sabtu lepas.

Begitulah nisbahnya kepada kita di Malaysia. Apa  yang berlaku pada saudara Muslim Uighur, tidak mustahil berlaku kepada Malaysia satu hari nanti jika kita tidak mengambil pengajaran dari awal.

Wahai rakyat Malaysia, sedarlah bahawa perpecahan sesama Muslim langsung tidak pernah memberi manfaat kepada umat! Menyelesaikan sebarang perbalahan dengan mengambil bantuan orang luar hanya akan membawa kebinasaan. Ketahuilah, perpecahan hanya akan menguntungkan pihak musuh dan pemberi bantuan atau yang digelar ‘pendamai’ akan menuntut kepentingan mereka, tetapi bakal merobek hak kita.

Bak kata ungkapan seorang ahli falsafah, ‘Mereka yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya’. Maka, belajarlah dari sejarah!

 

Disediakan Oleh

Biro Komunikasi dan Multimedia (BKOM)

Isma SPU

 

Rujukan:
1) Media Al-jazeera :https://www.aljazeera.com/topics/subjects/uighur.html
2) Media BBC :https://www.bbc.com/news/world-asia-china-45474279
3) https://www.cfr.org/backgrounder/chinas-crackdown-uighurs-xinjiang
4) https://www.ismaweb.net/2015/09/27/sejarah-dan-siri-penindasan-muslim-uighur-yang-perlu-kita-tahu/
5) https://www.ismaweb.net/2015/09/30/analisis-mengapa-china-menzalimi-muslim-uighur/
6) https://www.ismaweb.net/2019/01/11/china-mahu-lenyapkan-etnik-muslim-uyghur/
7) https://www.malaysiakini.com/news/142082
8) https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2018/10/484960/malaysia-bebaskan-tahanan-uighur