Jadikan Aidilfitri jambatan silaturahim dan penyatuan ummah

 

KEPALA BATAS, 17 Syawal 1440H, Khamis  – “Majlis ini adalah jambatan untuk kita berkenal-kenalan dengan lebih rapat lagi ke arah penyatuan ummah”, ucap Ustaz Abdul Rahim Sudin, Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Seberang Perai Utara ketika merasmikan Majlis Silaturahim dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri 1440H anjuran ISMA SPU di Darul Hanan baru-baru ini.

Sambutan Aidilfitri tahun ini mencipta sejarah apabila turut disertai 70 warga emas dan staf dari pusat jagaan warga emas tersebut. Pelbagai juadah seperti ketupat, rendang dan laksa, serta persembahan lagu raya disajikan kepada semua tetamu yang hadir. Para ibu dan ayah di Darul Hanan kelihatan ceria dan gembira sepanjang majlis berlangsung.

Ramadhan yang lalu merupakan madrasah; mendidik individu untuk mencapai tahap insan bertakwa. Menurut Ustaz Abdul Rahim, individu bertakwa akan menjadi agen perubahan dalam masyarakat dengan melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar. Justeru, beliau mengajak ahli ISMA SPU dan jemputan yang hadir supaya bersepakat dan terus memacu amal memimpin masyarakat khususnya di Pulau Pinang.

Encik Muhammad Hafiz Abd Rahim selaku Naib Yang Dipertua ISMA SPU merakamkan ucapan terima kasih kepada semua jemputan yang hadir memeriahkan majlis yang terdiri dari pimpinan parti politik dan NGO, pimpinan masjid sekitar, warga Darul Hanan dan semua keluarga besar sanak saudara ahli ISMA SPU.

“Semoga majlis seperti ini terus mempertaut ukhuwah dan hubungan silaturahim sesama kita sebagai asas perpaduan dan kesatuan umat Islam khusus di Pulau Pinang ini insyaAllah”, tambahnya.

 

Oleh

Noradawiyah Nordin

Wartawan ISMA SPU