ISMA SPU cipta kelainan, raikan raya bersama warga emas

KEPALA BATAS, 16 Syawal 1440H, Rabu – Kemeriahan aidilfitri berganda tahun ini apabila buat julung kalinya Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Seberang Perai Utara (SPU) beraya bersama para ibu dan ayah, penghuni Darul Hanan, Pongsu Seribu, Sabtu lepas.

Majlis Silaturahim dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri ini adalah anjuran ISMA SPU dengan kerjasama Wanita ISMA, Pemuda Pulau Pinang, Pembina, KRIM, BKM, NAZIM, BKOM, Islamiyat, i-Medik Pulau Pinang dan i-Guru Pulau Pinang.

Majlis dirasmikan dengan ucapan aluan oleh Yang Dipertua ISMA SPU, Ustaz Abdul Rahim Sudin. Dalam ucapannya, beliau berterima kasih dan sempat memperkenalkan ISMA SPU kepada semua tetamu yang hadir dan menggalakkan penglibatan ahli bersama masyarakat diteruskan pada masa hadapan.

“Tahun ini kita buat kelainan. Kita pilih Darul Hanan untuk kita datang gembirakan ibu-ibu dan ayah-ayah di sini. Diingatkan kepada ahli ISMA dan semua yang hadir supaya terus istiqamah melakukan amalan bulan Ramadhan yang lalu, di luar Ramadhan pula sekarang ini. Mari kita sama-sama menyantuni mereka,” ujarnya.

Turut hadir memeriahkan majlis adalah Naib YDP ISMA Alor Setar, pimpinan NGO, Imam dan AJK masjid, wakil parti politik sekitar Pulau Pinang dan staf Darul Hanan. Puan Nur Aswani Aziz selaku wakil pengurusan pusat tersebut berbesar hati kerana sambutan raya sebegini dapat membawa bahagia kepada warga emas di Darul Hanan.

Penyampaian cenderahati kepada Puan Nur Aswani, wakil pengurusan Darul Hanan.

Di samping juadah serta kuih raya yang pelbagai, para tetamu juga disajikan dengan persembahan lagu ‘Satu Hari di Hari Raya’ oleh saudara Mohd Fareez Abdullah  dan dari ‘trio’ berkumpulan terdiri daripada aktivis ISMA SPU.

 

Oleh

Noradawiyah Nordin

Wartawan ISMA SPU