Wanita Isma SPU ajak masyarakat berkongsi rezeki di bulan Ramadhan

Hadapan rumah Puan Norhayati

SUNGAI DUA, 20 Ramadhan 1440H, Sabtu – Mengambil keberkatan bersedekah di bulan Ramadhan, Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Seberang Perai Utara (SPU) telah menyampaikan sumbangan kepada golongan ibu tunggal dan keluarga miskin di sekitar Kepala Batas, Tanjung dan Kulim, Kedah melalui Program Maidah Ramadhan.

Pengarah Program Maidah Ramadhan 1440H, Puan Suryani Ahmad berkata, Wanita Isma mengajak masyarakat untuk sama-sama berkongsi rezeki dengan golongan ibu tunggal dan keluarga yang kurang berkemampuan di sini.

“Kami letakkan kriteria yang sangat spesifik untuk menjadi penerima. Kami lihat mereka ini bersungguh-sungguh untuk tambah rezeki. Mereka sudah buat pelbagai cara untuk menyara diri dan anak-anak. Jadi, kami harap sumbangan ini dapat bantu ringankan beban mereka di bulan Ramadhan dan menjelang Syawal nanti”, tambahnya.

Wanita Isma SPU berinspirasikan ayat ke-261 Surah Al-Baqarah yang bermaksud,  “Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipat gandakan bagi siapa yang Dia kehendaki..”.

Salah seorang ibu tunggal, Puan Noor Hayati Md Noh berkata, beliau sangat bersyukur menerima sumbangan ini memandangkan beliau sudah beberapa hari tidak dapat berniaga atas faktor kesihatan. Ditambah pula dengan kos perubatan kerana anak sulungnya ditimpa kemalangan baru-baru ini.

Wanita Isma SPU merasai kesusahan golongan ibu tunggal dan keluarga kurang berkemampuan. Pihaknya komited untuk mengembangkan potensi wanita sebagai asas pembangunan masyarakat yang bahagia dan sejahtera, khususnya di Pulau Pinang dan Kulim, Kedah.

 

 

 

Oleh

Noradawiyah Nordin

Wartawan Isma SPU