Malaysia Negara Islam

       Malaysia adalah sebuah negara Islam bukan sahaja daripada segi perundangan, bahkan dari segi sejarah, budaya dan majoriti masyarakatnya. Hal ini telah diiktiraf oleh bangsa- bangsa lain sejak dari dahulu sehinggakan kita semua boleh hidup dalam keadaan yang harmoni tanpa sebarang unsur ketidakadilan. Bagaimanapun, dengan perubahan zaman dan juga kelahiran generasi baharu yang kini bertuhankan gajet serta berhambakan nafsu, keunggulan Malaysia sebagai sebuah negara Islam semakin tergugat dan dicabuli dengan pelbagai usaha daripada sesetengah pihak yang cuba menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sekular.

       Sistem perundangan tertinggi yakni Perlembagaan Malaysia telahpun meletakkan agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan. Namun, tidak mustahil dalam tempoh sepuluh tahun akan datang, Malaysia akan hilang identiti asalnya sebagai sebuah negara Islam jika umat Islam dan bangsa Melayu sendiri tidak cakna dan pandang enteng akan isu yang sangat mustahak ini. Tidak mustahil juga bangsa Melayu boleh menjadi seperti melukut di tepi gantang.  Untuk itu, kita semua bertanggungjawab untuk melaksanakan dan menggencarkan Kempen Malaysia Negara Islam dengan jayanya. Melalui kempen ini, terdapat beberapa mesej utama yang ingin diketengahkan oleh penulis kepada setiap penduduk Malaysia khususnya yang beragama Islam dan juga berbangsa Melayu.

       Antaranya ialah untuk mengukuhkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan. Seperti termaktub di dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia, bahasa kebangsaan di Malaysia adalah Bahasa Melayu. Walau bagaimana pun, perkara ini tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan bahkan dipelajari. Bahasa Melayu mampu menjadi sebuah medium bagi menyatu padukan rakyat berbilang bangsa di bumi tercinta, iMalaysia. Hal ini telah dibuktikan dengan jelasnya semasa zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka apabila bahasa Melayu diangkat sebagai lingua franca pada zaman tersebut. Apabila masyarakat menggunakan satu bahasa yang sama untuk berkomunikasi, hal ini dapat meningkatkan persefahaman antara satu sama lain seterusnya mewujudkan suasana hidup yang harmoni. Maka wajarlah Bahasa Melayu menjadi subjek wajib lulus dalam peperiksaan peperiksaan di Malaysia. Tiada alasan bagi setiap yang bergelar rakyat Malaysia untuk tidak fasih berbahasa Melayu.

       Selain itu, kempen ini turut ingin mengajak rakyat untuk kembali mengenal kehebatan tamadun Melayu Islam. Bertapaknya Islam di tanah Melayu pada kurun ke- 11 hasil penemuan batu nisan yang ditemui di Champa dan batu nisan di Gresik, Jawa. Juga penemuan batu bersurat di Terenggganu bertarikh 1303. Terdapat juga rekod penempatan orang Islam di Majapahit dan kumpulan pedagang Islam di utara Tanah Melayu, serta pengislaman raja Pasai pada tahun 1282. Penemuan ini jelas menunjukkan bahawa Islam dahulunya pernah subur dalam kalangan masyarakat rantau ini, ianya dapat dilihat sehingga ke hari ini dalam lipatan sejarah negara.

       Bukti yang jelas juga dapat dilihat segi budaya dan adat resam yang diwarisi turun temurun turut mempengaruhi kehidupan harian orang Melayu. Antara kehebatan tamadun Melayu dahulu hingga kini, orang melayu dahulunya terkenal sebagai bangsa pelaut agung dalam sejarah. Mereka menjadi pengembara, pedagang dan ahli pelayaran. Seorang tokoh yang diangkat dan turut menjadi kebanggaan orang melayu iaitu Panglima Awang atau turut dikenali sebagai Enrique yang menjadi sebahagian watak terpenting dalam pelayaran Ferdinad Magellan mengelilingi dunia. Kehebatan bangsa Melayu sebagai pelaut itu diangkat dalam Bicara Dunia Melayu: Tradisi Pelayaran Melayu di Muzium Negara, Kuala Lumpur, malah bukan hanya terhad kepada ilmu pelayaran, bahkan seni pembuatan kapal.

       Kejayaan orang Melayu pada hari ini, mereka berjaya bangkit daripada dijajah, dibelenggu serta diratah oleh bangsa asing. Kemajuan hari ini dari segi infrastruktur, pendidikan, kesihatan, kemajuan dan sebagainya jelas menunjukkan bahawa bangsa melayu bukanlah bangsa yang pemalas. Mereka bangsa yang bijak pandai, kreatif, berbudi bahasa, bertatasusila serta rajin bekerja. Ada anak melayu yang menjadi angkasawan, ada anak melayu yang menjadi pensyarah di Oxford University, United Kingdom, dan ada juga anak melayu yang menjadi genius dalam ilmu Matematik.  Kejayaan dan kehebatan yang dicapai oleh mereka ini bukanlah datang dengan sendirinya, ianya hasil usaha bersama dan semangat daripada orang sekeliling. Nenek moyang kita terdahulu bukanlah sebarangan orangnya, mereka hebat- hebat belaka. Kita sebagai generasi yang lahir pada hari ini juga perlulah mencontohi sikap mereka dengan mempelajari sejarah sebagai tanda menghargai perjuangan mereka demi meneruskan legasi ini supaya tidak tenggelam dek zaman.

Penulis bukan sekadar hanya ingin menyampaikan maklumat berkenaan kempen, bahkan yang paling utama adalah setiap dari pembaca mestilah menolak seruan segelintir pihak yang ingin sekali melihat bangsa dan agama kita jatuh dan tersungkur rebah di tanah air sendiri. Hari ini, mereka dengan lantangnya melaungkan “Malaysia adalah negara sekular” kepada negara-negara lain dengan mengenepikan semua bukti yang ada. Maka, semestinya puak-puak inilah yang kita perlu tolak sekeras-kerasnya sehingga mereka tidak lagi berani berkata demikian. Apabila ditanya oleh kebanyakan rakyat, maka tegaskanlah bahawa “Malaysia adalah negara Islam”. Bukan hanya ingin mengajak rakyat mengukuhkan Bahasa Melayu serta mengenal kehebatan Tamadun Melayu Islam, tetapi lebih dari itu.

Penulis juga ingin sekali lagi mengajak rakyat marhaen untuk berjuang melaksanakan kewajipan Islam dalam konteks bernegara. Di samping itu, jangan pernah berasa gentar untuk mengetengahkan realiti Konsep Keadilan Negara Islam bertunjangkan Kuasa Ilahi berbanding kekurangan tamadun lain yang bertunjangkan kepada hawa nafsu. Banggalah dengan kehebatan dan kemuliaan agama serta bangsa demi mendaulatkan Islam sebagai agama tertinggi dan diredhai oleh Allah swt. Takbir!!!!

 

 

Hasil nukilan, 

Aida Nazurah Bt Aman Sarifudin, Hanis Amalina Bt Ismail, Sharifah Bt Mohammad, Sri Atira Marset dan Ummi Rahimah Mohd Ramzi

Aktivis ISMA SPU

 

*artikel ini telah dinobatkan sebagai Pemenang Utama Kategori Penulisan, Pertandingan Videografi dan Penulisan Malaysia Negara Islam anjuran ISMA SPU 2019.