Edisi 2019 Kejohanan Sukan ISMA SPU persiapkan pemuda Islam yang kuat

SEBERANG JAYA, 1 Ramadhan 1440H, Isnin – Ikatan Muslim Malaysia (Isma) Cawangan Seberang Perai Utara (SPU) dengan kerjasama Pemuda Isma, Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), Kelab Remaja Isma (Krim), Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru) dan i-Medik telah menganjurkan Kejohanan Sukan ISMA SPU 2019 pada 1 Mei lalu.

Bertempat di Sunway Sports Centre, Kejohanan Sukan ini melibatkan syukbah di bawah kendalian Isma SPU dan mempertandingkan dua kategori iaitu futsal dan badminton berpasukan. Tahun ini menyaksikan penyertaan meluas daripada ahli Isma, Pembina, Krim dan termasuklah orang awam yang pernah melibatkan diri dengan program anjuran Isma dan agensinya bagi negeri Pulau Pinang. Turut terlibat adalah wakil jemputan dari Isma cawangan Alor Star.

Menurut pengarah Kejohanan, Muhamad Zulazmi Saidin, selain memfokuskan kepada sihat tubuh badan, objektif Kejohanan juga adalah untuk mengeratkan hubungan sesama ahli dan mereka yang pernah bersama dengan program anjuran Isma.

“Isma sentiasa mengharapkan generasi muda seperti kita hari ini, memainkan peranan bagi membantu dan mempertahankan setiap agenda Islam yang berada di Malaysia,” katanya.

Yang Di-Pertua Isma SPU, Ustaz Abdul Rahim Sudin dalam ucapan perasmiannya pula mengingatkan semua peserta agar menjaga kesihatan supaya menjadi pemuda yang kuat dan sihat tubuh badan. Namun, pada masa sama, menjadi pemuda yang ingat tanggungjawab sebagai hamba Allah dalam memperjuang dan mempertahankan Islam dari ancaman musuh.  Jadilah pemuda yang sentiasa menjalankan amar makruf nahi mungkar walau di mana berada.

Setiap peserta mewakili syukbah masing-masing menunjukan semangat dan komitmen yang tinggi bagi meraih hadiah yang ditawarkan, berupa plak dan hamper bagi tempat pertama hingga tempat ketiga sahaja bagi kedua-dua kategori.

Kejohanan Sukan Isma SPU 2019 menyaksikan Syukbah Tanjung menjadi juara bagi ketegori badminton berpasukan, manakala Syukbah Kulim kedua dan Syukbah Bertam ketiga. Bagi kategori futsal pula, juara disandang pasukan dari Bertam A, diikuti naib juara oleh pasukan Alor Star seterusnya Pasukan Kulim A di tempat ketiga.

Tahniah buat semua pemenang dan jumpa lagi di edisi akan datang!

 

Oleh,

Wartawan Pemuda ISMA SPU