Anologi Ramadhan

Bermula,

Ketika saya menghadiri kuliah mingguan di Irbid, saya telah mempelajari satu anologi menarik tentang Ramadhan Al-Mubarak yang bakal disambut tidak lama lagi. Hal ini telah menarik minat saya untuk berkongsi dengan kalian tentang anologi tersebut. Semoga kita sama-sama mengambil manfaat daripadanya.

Satu anologi menarik,

tyGad
Gambar hiasan

Bayangkan, semua 12 bulan-bulan Islam kita samakan dengan 12 gelas air yang sama bentuk dan saiznya. 11 daripadanya diisi dengan air kosong dan baki segelas air itu diisi dengan air jus yang lazat. Kita  dapat lihat bagaimana kita akan menjaga gelas yang berisi jus tersebut, kita tidak mahu membazirkannya, dan kita tidak akan sama sekali mensia-siakan setiap titisan air jus itu begitu sahaja. Tambahan pula, kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan air jus itu.

Jika dibandingkan dengan air kosong dari 11 gelas yang lain, kita hanya meminumnya sesuka hati, kadang kala belum habis sudah kita buang ke sinki atau memberikannya kepada orang lain. Kita tidak perlu bersusah-payah untuk mendapatkannya kerana air kosong ini boleh didapati di mana-mana sahaja.

Samalah seperti ramadhan,

Ramadhan adalah satu bulan yang padanya kita menjaga segala amalan kita. Kita tidak mahu membazirkan masa 30 hari Ramadhan itu dengan sia-sia dan kita akan berusaha bersungguh-sungguh mempertingkatkan amalan kita berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Kerana apa? Kerana kita tahu fadhilat dan ganjaran yang Allah ta’ala telah janjikan kepada hambaNYA pada bulan yang mulia ini.

Berbanding dengan bulan-bulan yang lain, kita hanya melakukan amal kebaikan dengan kadar yang kita suka, kadang-kala amalan wajib kita melengah-lengahkan, apatah lagi amalan sunat kerana kita berpegang kepada prinsip, “Ibadah Bermusim”.

 

Jadilah Insan Rabbani’yun dan Bukan Ramadhani’yun,

Jangan kita jadikan Ramadhan ini sebagai platfom untuk mengutip pahala semata-mata tanpa memberi apa-apa kesan kepada diri kita selepas berakhirnya Ramadhan. Madrasah Ramadhan bukanlah seperti sekolah-sekolah biasa yang pada kebiasaannya kita lupa akan apa yang kita belajar apabila meninggalkan sekolah. Tetapi jadikanlah madrasah Ramadhan ini sebagai satu silibus pembelajaran yang akan memberi kesan kepada kita walaupun berakhirnya Ramadhan.

Samalah seperti anologi 12 gelas air sebentar tadi. Kita tidak mahu sekadar mengutamakan gelas air yang berisi jus semata-mata, tetapi turut menjadikan gelas air kosong yang lain sama pentingnya dengan air jus walaupun hanya gelas yang berisi air kosong.

Adakah anda sudah bersedia?

Ramadhan kini semakin hampir. Bersedia atau tidak, terpulang kepada individu itu sendiri. Di sini saya sertakan link artikel saya berkenaan persedian kita dalam menghadapi bulan Ramadhan. https://afifiabdulrahman.wordpress.com/2013/06/11/road-to-ramadhan/

Moga memberi manfaat bersama. InsyaAllah.

 

Oleh,

Ustaz Afifi Abdul Rahman
Aktivis ISMA SPU

 

*artikel ini telah disiarkan di blog penulis, Pemuda Ummah: https://afifiabdulrahman.wordpress.com/2013/06/28/anologi-ramadhan/