Road to Ramadhan

road-hd-photo-wallpapers-collection-10686_thumb

Segelintir muslim,

Tersenyum dan hairan, melihat keadaan umat akhir zaman ini. Jarang sekali kita dengar orang bersiap sedia untuk menghadapi Ramadhan tetapi yang ‘famous’nya, siap sedia untuk menghadapi RAYA. Saya tidak menafikan bahawa kita dituntut untuk meraikan hari kemenangan umat Islam pada 1 Syawal. Tetapi ramai yang lupa akan kehadiran Ramadhan Al-Mubarak ini sehingga ada yang merasakan bahawa Ramadhan hanyalah ‘syarat’ untuk menyambut raya Aidilfitri dan tidak lebih dari itu. SADIS!

Tarikh penting,

Terdapat beberapa peristiwa penting yang berlaku dalam bulan yang mulia ini. Berikut adalah 10 peristiwa terbesar yang berlaku pada bulan Ramadhan:

1)    Peperangan Badar berlangsung pada 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah. Peperangan ini turut dikenali sebagai Yaumul Furqan iaitu hari pemisah antara hak dan batil.

2)    Tanggal 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah, peristiwa bersejarah yang paling diingatkan oleh umat Islam ialah turun yang ayat al-Quran yang pertama, iaitu surah al-Iqra`. Surah ini menjadi tonggak utama hakikat kehidupan manusia, iaitu sentiasa mencari ilmu pengetahuan menerusi kebenaran, mengajarkan manusia dari kedudukan yang tidak mengetahui kepada lebih mengetahui.

3)    Pembebasan Kota Mekah atau Fathu Mekah yang berlaku pada 10 Ramadhan tahun 8 Hijrah. Sebelumnya, Kota Mekah menjadi kota keagamaan bagi beberapa agama yang bersifat pagan, animisme dan tradisi masyarakat Quraisy. Sejarah pembebasan Kota Mekah menjadi kemuncak kepada kemenangan Islam khususnya kaum Mujahirin yang diusir oleh kaum kafir Quraisy. Pada bulan Ramadhan juga Khalid al-Walid seorang panglima Islam telah menghancurkan patung al-Uzzah di Kota Mekah.

4)    Pada tahun 9 Hijrah, kaum Thaqif telah menyatakan pendirian secara jelas menerima Islam sebagai agama mereka di hadapan Rasulullah SAW dan memusnahkan sendiri berhala yang pernah mereka sembah sejak zaman  berzaman, iaitu al-Lata.

5)    Pada tahun 8 Hijrah, berlaku peperangan Tabuk dimana ia merupakan peperangan terakhir yang diikuti langsung oleh Rasulullah SAW. Peperangan berakhir dengan kemenangan pada pihak Islam.

6)    Pada 28 Ramadhan 92 Hijrah, tentera Islam dibawah pimpinan Thariq bin Ziyad telah berjaya meyeberangi Selat Gibraltar atau Jabal Thariq  untuk memasuki Andalusia (Sepanyol). Peristiwa tersebut  menjadikan suatu peristiwa yang amat besar dalam sejarah wilayah penguasaan Islam sehinggalah Islam berkembang pesat di Andalusia dan kini walaupun sudah berjaya dirampas kembali oleh tentera Kristian, kesannya masih besar sama ada dalam konteks sejarah mahupun peradaban.

7)    Pada 15 Ramadhan 658 Hijrah, serangan tentera Mongol di bawah pimpinan Hulagu Khan, iaitu cucu Genghis Khan yang telah berjaya dipatahkan oleh tentera Islam. Peperangan itu berlaku di Ain Jalut, sebuah kawasan yang berada di utara Palestin.

8)    Pada 10 Ramadhan 1393 Hijrah atau 6 Oktober 1973, kekuatan pertahanan Israel di Barley, Mesir dapat dihancurkan oleh tentera Islam.  Ini menjadi titik tolak perjuangan yang amat besar dalam penembungan dan penyekatan pengaruh Yahudi dalam kancah memecahbelahkan kesatuan Negara-negara Islam di Arab dan Afrika Utara.

9)    Meskipun terdapat banyak perbezaan pendapat tentang tarikh sebenar malam al-Qadr, iaitu malam yang dijanjikan Allah SWT kenikmatan melebihi seribu bulan, seluruh umat Islam percaya peristiwa ini  akan berlaku pada malam-malam selepas 20 hari Ramadhan bermula. Pada malam tersebut, ada ulama berpendapat malam al-Qadr akan menjelma pada malam yang ganjil. Ada sesetengah ulama mengatakan pula akan berlaku diselang-selikan setiap tahun antara malam genap dan malam ganjil.

10)  Bulan Ramadhan adalah bulan penuh keberkatan, bulan kebajikan dan yang teristimewa sekali dalam bulan ini adanya solat tarawikh. Solat tarawikh tidak boleh dilakukan pada bulan lain. Sebab itulah bagi umat Islam yang muslim dan beriman, tetap merasakan suatu kerugian yang besar sepanjang Ramadhan tidak dapat mengerjakan solat tarawikh atas pelbagai sebab.

Persediaan; Apa yang perlu?

Bayangkan, ketika kita ingin mengambil peperiksaan, ujian, dan sebagainya pasti kita akan membuat satu persediaan rapi dan teliti demi memastikan kejayaan yang cemerlang. Begitu juga dengan Ramadhan, wajiblah bagi kita untuk membuat persediaan yang rapi untuk menghadapi Ramadhan kerana kita tidak mahu ‘ujian’ selama 30 hari tu berakhir dengan sia-sia tanpa hasil.

Di sini ingin saya kongsikan beberapa tips persediaan untuk menempuhi bulan yang barakah ini:

  • Pertamanya, sebagai muslim yang benar-benar prihatin dengan kehadiran Ramadhan, kita hendaklah menjaga kesihatan kita sebaik mungkin, supaya kita tidak terlepas peluang untuk melakukan ibadat. Bukankah ini bulan untuk mengumpul pahala sebanyak mungkin? Oleh itu, jagalah kesihatan supaya kita tidak tertinggal melakukan ibadah seperti solat tarawikh.
  • Menyemak semula hukum-hakam yang berkaitan dengan pengertian puasa, hikmah, rukun dan perkara-perkara yang membatalkan puasa agar ibadah yang dilalui tidak sia-sia.
  • Mengambil tahu amalan-amalan sunat yang sangat digalakkan ketika berpuasa seperti membaca al-quran, bersedekah dan membantu golongan yang susah. Di samping itu hendaklah juga mengetahui fatwa-fatwa berkaitan dengan permasalahan semasa yang berkaitan dengan puasa.
  • Menanamkan keazaman dengan penuh ikhlas untuk menumpukan sepenuhnya pada bulan ini dengan amal ibadah. Kehadiran ke masjid bukanlah disebabkan malu kepada orang ramai tetapi benar-benar mengharapkan pengampunan dari Allah Taala.
  • Sentiasa berdoa Allahumma Ballighna Ramadhan
  • Mujahadah untuk bangun malam (beberapa kali seminggu). Supaya kita tidak liat lagi untuk bangun malam pada bulan Ramadhan.
  • Menjaga lidah dari perkara keji seperti mengumpat dan mencaci.Sesiapa yang suka banyak cakap itu, eloklah mula berdiam dari bercakap perkara yang sia-sia. Ingat, semakin banyak percakapan kita, semakin banyak silap yang kita lakukan.
  • Mengingatkan orang lain tentang kepentingan membuat persediaan menyambut Ramadhan.
  • Membuat semakan amalan di bulan Ramadhan tentang segala yang dibincangkan di atas.


Harapan,

Moga kahadiran Ramadhan 1440 H kali ini dapat memberikan 1001 makna dalam diri kita kerana kita belum pasti dapat bertemu dengan Ramadhan yang seterusnya. Pastikan Ramadhan kita bukan sekadar bulan yang menjadi ‘adat’ dalam beribadat, tetapi dapat memberi kesan kepada perubahan diri ke arah yang lebih baik. InsyaAllah.

 

Oleh,

Ustaz Afifi Saleh Abdul Rahman

 

**Artikel ini telah disiarkan di blog peribadi penulis di https://afifiabdulrahman.wordpress.com/2013/06/11/road-to-ramadhan/