MAKANAN TRADISIONAL KITA


Aku suka makan. Begitu juga dengan ramai lagi penduduk Malaysia hari ini.

Sememangnya kita manusia memerlukan makanan bagi meneruskan kehidupan ini.

Oleh itu adakah benar kenyataan iaitu kita adalah apa yang kita makan?

Yer benar!

Bagi aku, kenyataan ini amat tepat sekali. Makanan adalah antara faktor yang banyak menpengaruhi cara kehidupan kita. Akibat makan makanan bergula, kanak-kanak akan kehilangan gigi dengan cepat. Akibat makan makanan bergula juga, ramai penduduk Malaysia dihidapi penyakit kencing manis atau diabetes. Akibat makan makanan berlemak, ramai mengidap penyakit hipertensi atau darah tinggi.

Di Malaysia, ramai penduduk yang sakit akibat terlebih makan, tidak seperti penduduk negara miskin lain, iaitu mati atau kurang nutrisi akibat kurang makanan atau kebuluran.

Tuntasnya, kita adalah apa yang kita makan. Maka ikutlah sunnah nabi kita, makan dengan bersederhana iaitu berhenti makan sebelum kenyang dan bahagikan perut kita kepada sepertiga makanan, sepertiga air dan sepertiga untuk angin. Insyaallah kita akan sihat dan boleh terus makan makanan yang kita suka.

 

Nak makan apa hari ini?

Ini adalah soalan yang sering kita dengar setiap hari di mana saja dan setiap masa.

Kita selalu mendengar selalunya mereka yang berduit, tidak dapat makan apa yang dihajati kerana masalah kesihatan, sementara mereka yang tidak berduit hendak makan macam-macam, tetapi kekangan kewangan menyebabkan hajat mereka tidak dapat di penuhi.

Bagi aku, alhamdulillah sehingga saat ini, aku masih mampu makan apa yang aku hajati, cuma cita rasa aku yang menghadkannya kerana aku adalah penduduk Malaysia sejati.

Aku kurang meminati makanan yang dibawa masuk dari negara luar.

Ya, aku memang boleh makan makanan luar, tetapi jika diberi pilihan, aku akan memilih makanan tradisional Malaysia untuk aku nikmati.

 

Makanan tradisional merupakan satu produk budaya tempatan yang berperanan dalam memperkenalkan identiti sesebuah masyarakat tempatan. Lazimnya makanan tradisional bergantung kepada nilai dan amalan tradisi yang masih dikekalkan dari satu generasi ke satu generasi. Terdapat pelbagai jenis makanan tradisional yang masih dikekalkan oleh komuniti tempatan dalam Malaysia kini.

Apakah makanan tradisional yang popular di Malaysia?

Satay, Laksa, Asam Pedas, Masak Lemak dan pelbagai lagi.

Adakah anda pasti ini makanan tradisional Malaysia? Atau ini merupakan makanan hasil gabungan pelbagai budaya dalam Malaysia yang berhijrah masuk suatu masa lalu. Seperti makanan Baba Nyonya,yang terhasil akibat kaum China yang mengamalkan budaya Melayu. Hal ini tidak boleh dinafikan kerana negara kita Malaysia memang sudah terkenal dengan negara yang penduduknya terdiri daripada pelbagai etnik atau bermasyarakat majmuk yang sememangnya kaya dengan berbagai budaya dan makanan tradisional masing-masing.

 

Masakan tradisional adalah makanan warisan yang jarang sekali dilihat masyarakat luar dan hanya diketahui oleh penduduk tempatan. Jadi ia perlu sentiasa diperkenalkan kepada masyarakat umum. Tidak kira apa cara, sama ada melalui karnival atau pesta makanan tradisional, melalui siri dokumentari di media atau oleh blogger makanan semasa atau melalui pertandingan memasak. Semua usaha ini perlu dipergiatkan agar keunikan makanan tradisional dapat di nikmati oleh generasi semasa.

Jika dulu, makanan tradisional ini hanya muncul ketika waktu perayaan sahaja. Tapi kini setiap hari punyalah banyak dan pelbagai rupa dan rasa makanan tradisioal ini dijual dalam persekitaran terdekat kita.

Betul ke yang dijual itu rasanya dan cara buatannya kekal sama seperti makanan tradisional asli, sama seperti yang dibuat oleh nenek moyang kita?

Kenapa aku tanya?

Kerana aku adalah pencinta makanan tradisional dan aku boleh bezakan makanan tradisional kini daripada makanan tradisional yang asli.

 

Bagi aku, keunikan setiap jenis makanan tradisional ini terletak pada kegunaan sumber bahan utama dalam masakan serta cara penyediaan. Selalunya, sumber bahan adalah asli dan penyediaannya memakan masa. Cara penyediaannya selalunya memerlukan perincian rapi, ketekunan dan kesabaran yang tinggi. Justeru, ilmu tentang hal ini perlu diwarisi sebagai satu warisan budaya memandangkan ia hanya popular dalam kalangan generasi tua dan mungkin akan hilang ditelan zaman. Makanan berkonsepkan warisan tradisional ini amat penting dipelihara kerana ia menyimpan maklumat mengenai identiti, sejarah, nilai hidup, adat resam dan alam sekitar setempat. Jikalau tiada pihak yang bertanggungjawab dalam usaha kelangsungan makanan tradisonal ini, semakin lama ia akan semakin kurang atau terus lupus dari pengetahuan generasi akan datang.

 

Antara makanan tradisional yang aku amat suka menikmatinya ialah kerabu kebebe dari Perak. Makanan ini adalah contoh makanan yang unik dan tidak boleh didapati di tempat lain, kecuali di Lenggong, Perak.

Anda pernah rasa?
Anda hendak rasa? Jika anda ingin menjamahnya sila datang ke Karnival Makanan Tradisional  Perak  yang di adakan di Lenggong setiap tahun, tempat di mana pertama kali aku mengenali makanan ini pada tahun 2015.

Kebebe merupakan sejenis makanan seperti kerabu yang sangat janggal didengar oleh masyarakat luar termasuk aku. Masakan ini menggabungkan beberapa bahan tumbuhan yang segar dari kawasan kampung. Antaranya ialah, nangka muda, nenas, cermai, belimbing buluh, jambu batu, kelompong, buah cedong dan kelapa muda. Semua bahan ditumbuk bersama cili serta belacan, dan dihidangkan di atas kelopak jantung pisang serta boleh dimakan sebagai makanan ringan atau boleh di makan bersama nasi.

Aku suka makan kebebe kerana ianya segar, sihat dan berkhasiat.

Alangkah bagus jika kebebe ini dapat dikomersialkan dengan cara sejuk beku atau di bungkus agar tahan lama. Aku sangat suka makan makanan tradisonal seperti Kebebe ini, malangnya dalam famili aku, hanya aku seorang sahaja yang meminatinya. Jadi, adakah makanan tradisional ini akan kekal dinikmati atau akan terpupus juga suatu hari nanti? Wallahualam.

 

Kebebe – Produk makanan

Tradisional Lenggong Perak

Oleh,
Fatimah Binti Hassan

 

**Ini merupakan karya asal penulis sebagai peserta Bengkel Penulisan Karya Kreatif anjuran BKOM ISMA SPU 18/11/18.