Usah sebar berita bohong

SEBERANG JAYA, 2 Jamadil Akhir 1440H, Khamis – “Cukuplah seseorang itu dikatakan berdusta apabila menyampaikan  segala yang didengarinya, kerana sesuatu yang tidak pasti itu adalah bohong,” ujar Ustazah Norhayati dalam siri bulanan Usrah Wanita di Surau At-Taqwa, Taman Sembilang.

Wanita secara amnya merupakan golongan yang gemar menyampaikan sesuatu berita, sehinggakan ada pepatah berbunyi, jika anda ingin berita diketahui orang, maka ceritakanlah kepada wanita.

Namun begitu, masih terdapat golongan wanita solehah yang tetap menjaga mulut mereka, terutamanya aib si suami. Wanita yang solehah tidak bercerita, melainkan kepada orang tertentu untuk mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi.

Akhlak seorang Islam adalah memastikan berita yang diterima benar, kemudian barulah disebarkan jika sesuai.

“Dalam peristiwa Hadis Ifki, kita dapat lihat seorang munafik iaitu Abdullah bin Ubay telah menyebarkan keraguan dan menyebar berita bohong mengenai sahabat Nabi, Safwan r.a. Safwan r.a menuntun tunggangan Aisyah r.a, isteri Nabi apabila beliau tertinggal dari rombongan kaum muslimin,” tambah Ustazah.

Berita bohong tersebut membuat Aisyah r.a sangat sedih dan Nabi s.a.w  menunggu wahyu daripada Allah bagi membersihkan Aisyah r.a dari tuduhan tersebut.

Sesungguhnya orang-orang munafik menanti-nanti peluang  untuk menabur fitnah dan mewujudkan persengketaan sesama  umat Islam.

“Kita juga perlu berhati-hati dengan ajaran syiah yang menjadikan bohong sebagai asas agamanya sehingga ramai umat Islam boleh terpengaruh dengan ajaran sesat itu,” mengakhiri kalamnya di Usrah Wanita kali ini.

 

Oleh

Siti Nurfarhana Bt Ahmad Puat

Wartawan Wanita ISMA SPU