Melayu Islam bersepakat, gencarkan dakwah di Pulau Pinang

KEPALA BATAS, 4 Jamadil Akhir 1440H, Sabtu – “Saya menyeru semua orang Melayu Islam, tanpa mengira parti politik dan NGO, ayuh kita sepakat mempertahankan Islam, hak-hak Melayu dan institusi Raja Berperlembagaan,” tegas Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Seberang Perai Utara (SPU), Ustaz Haji Abdul Rahim Sudin.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya di Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ISMA SPU 2019-2021 di Hotel Seri Malaysia Kepala Batas, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Menurutnya, orang Melayu bukan pemalas seperti dicanangkan. Sejarah telah membuktikan bahawa nenek moyang telah berjuang bermatian mempertahankan Tanah Melayu. Senario hari ini, Melayu kelihatan terkebelakang disebabkan perancangan musuh Islam, iaitu Envangelis dan Zionis sejak berabad lamanya.

“Terdapat satu video didedahkan oleh pengkaji, Puan Zaharah Sulaiman; British telah membawa sejuta imigran sewaktu era penjajahan. Mereka ini diberikan tanah secara percuma dan dikenakan cukai yang rendah. Kemudian, dipajak pula pada bank. Mereka menjadi jutawan segera, sedangkan bangsa Melayu dibiarkan di kampung. Kesannya, dilihat sehingga kini. Anak cucu cicit mereka terus kaya-raya, sedangkan kita terus jauh ketinggalan,” tambahnya lagi.

Bertemakan Mewaris Risalah Menggencar Dakwah, Ustaz Haji Abdul Rahim memberitahu, ISMA SPU komited untuk membina jati diri individu muslim dan menggilap kembali potensi Melayu Islam di Pulau Pinang. Beliau mengajak rakan NGO, perwakilan masjid, surau serta parti politik yang hadir untuk bersama memperjuangkan agenda ini.

Katanya, apabila Melayu bersepakat, Islam akan berdaulat. Beliau memberi contoh terdekat di Pulau Pinang, iaitu ketika terjadinya sebaran Bible di sekitar Bukit Mertajam dan paparan lambang ‘salib gergasi’ di bangunan baru di Jelutong.

Antara tetamu kehormat yang hadir di majlis tersebut adalah wakil dari PAS Pulau Pinang, PAS Kepala Batas, Gabungan Bela Hak Insan, PERKIM, MAPIM, PPKPI, IPSI, Myikut Pulau Pinang, MIRA Utara, HALUAN, wakil Masjid Jamek Hj. Abd Rashid Sungai Dua, Masjid ‘Ibadur Rahman, Serdang dan Masjid At-Taqwa Bertam Indah.

 

Oleh Nur Husnuzzan Azizan

AJK Biro Komunikasi & Multimedia (BKOM)

ISMA Seberang Perai Utara