Jangan Lagi Diperkotak-katikkan Musuh

KEPALA BATAS, 10 Jamadil Akhir 1440H, Jumaat –  Umat Islam perlu ada agenda hidup yang jelas. Jika tidak, kita akan diperkotak- katikkan oleh musuh. Buktinya, sekarang ini umat Islam serata dunia ditindas. Muslim Uighyur di China dipaksa makan khinzir, malah dihalang menunaikan solat, membaca al-Quran, memakai tudung dan sebagainya. Begitu juga, muslim Rohingya dan Palestin. Saban hari ada kisah penindasan yang tiada berkesudahan.

Wakil Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Haji Omar Kassim mengakui meskipun Malaysia kelihatan aman, namun hakikatnya tidak terkecuali dari ancaman musuh. Ada yang mahu menukar identiti negara ini menjadi sekular, sedangkan sudah termaktub dalam perlembagaan bahawa Islam adalah agama Persekutuan.

“Justeru, ISMA tampil dengan Kempen Malaysia Negara Islam (MNI) untuk menegaskan bahawa Malaysia adalah negara Islam. Sasaran kempen, sebanyak 1 juta tandatangan untuk dihantar petisyen kepada pihak berwajib, hujung Mei nanti. Kempen MNI ingin menyedarkan masyarakat supaya bangun menegakkan Islam dalam konteks bernegara. Bahkan, menjadi platform untuk menggencarkan dakwah Islam,” tambahnya.

Beliau berucap sedemikian ketika merasmikan majlis Mesyuarat Agung Tahunan ISMA cawangan Seberang Perai Utara (SPU) 2019-2021 di Hotel Seri Malaysia Kepala Batas, Sabtu, 9 Februari lalu. Turut hadir, Yang Dipertua ISMA SPU, Ustaz Haji Abdul Rahim Sudin.

“Dalam satu riwayat, Saidina Umar Al-Khattab pernah bertanya kepada para sahabat. Impikanlah. Maka, seorang sahabat berkata, aku impikan harta dunia yang banyak. Dengannya, aku dapat gunakan untuk menegakkan agama Allah. Kemudian, Saidina Umar pun berkata, “Sesungguhnya aku impikan para pemuda seperti Abu Ubaidah dan Muadz Ibn Jabal supaya aku dapat hantar mereka berjuang di jalan Allah”.

“Umat Islam di akhir zaman ini ibarat main bola, tiada gol. Hilang tujuan dan agenda hidup. Yang kebanyakan mereka tahu, bangun pagi, pergi kerja dan besarkan anak. Dunia kini sangat memerlukan sumber manusia berbanding sumber kewangan. Nilai sumber manusia inilah yang menjadi kayu pengukur kejayaan sesebuah bangsa. Tiga agenda penting yang ISMA tidak akan tinggalkan adalah tarbiyah, tajmik dan dakwah,”

“Selari dengan agenda tersebut, ISMA menerapkan lima nilai dalam setiap ahlinya. Iaitu nilai rabbani, percaya diri yakni rasa izzah dan bersungguh, berani untuk ke depan, tekun dan peduli umat yakni bergerak untuk membantu dan mendapatkan keredaan Allah,” ujarnya.

 

Oleh Nur Husnuzzan Azizan

AJK Biro Komunikasi & Multimedia (BKOM)

ISMA Seberang Perai Utara