Al-Fath 29: Ketegasan dengan bukan Islam, kasih sayang sesama Muslim


Pengenalan

Hari ini kita melihat sebilangan masyarakat yang salah erti menafsirkan ‘rahmatan lil ‘alamin’ dan menjadikan ayat surah Al-Anbiya’ ayat ke 107 itu sebagai tiket untuk melonggarkan ketegasan terhadap orang kafir yang jelas menentang Islam khususnya di Malaysia. Pada mereka, tidak perlu bagi seorang muslim untuk mengambil tindakan terhadap pelampau yang menggugah keamanan Negara Malaysia dan kesucian agama Islam.

Malah sebaliknya berlaku, autoritas muslim yang cuba mengenakan hukuman terhadap orang kafir yang melampau batas pula dianggap extremis agama, tidak hikmah, menggunakan agama untuk kepentingan tertentu dan sebagainya. Seolah mereka terlupa bahawa di dalam Al-Quran, Allah telah merakamkan banyak kisah, ayat, arahan, seruan, agar kita berwaspada, bersikap tegas, tidak menjadikan orang kafir sebagai pemimpin, teman rapat dan banyak lagi ayat lain.

Penulisan kali ini, saya cuba ketengahkan sepotong ayat Al-Quran yang menceritakan hakikat sebenar Baginda Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat r.a dalam berinteraksi dengan golongan kafir yang melampaui batas. Saya mengambil ayat 29 surah Al-Fath sebagai contoh agar kita semua dapat melihat role model unggul sepanjang zaman dalam berhadapan dengan gologan ini dalam situasi yang tidak jauh bezanya dengan situasi kita di bumi Malaysia.

Perlu diingat bahawa penulisan ini hanya satu bahagian dari kertas kerja saya dan sahabat-sahabat yang lain dalam membahaskan seputar isu Jihad dan Tafsiran Rahmatan Lil ‘Alamin serta realiti di Malaysia. Dalam kertas kerja tersebut, akan dibicangkan tafsiran Rahmatan Lil ‘Alamin, tafsiran Assyidda’u ‘Ala Al-Kuffar, Jihad dan Islam, dan Bagaimana Berinteraksi dengan Orang Kafir.

Moga Allah memberi hidayah kepada kita semua.

 

Latar Belakang Ayat

Ayat ke-29 surah al-Fath ini tiada asbab al-nuzul (sebab penurunan) yang jelas. Setelah merujuk kepada beberapa kitab tafsir, didapati bahawa ayat ini diikuti selepas ayat ke-27 dan 28 yang menceritakan tentang mimpi Baginda Nabi s.a.w berkenaan perjanjian hudaibiyah dan mimpi Nabi tentang fathul Makkah (pembukaan kota Mekah).[1]

Menurut Al-Hakim dan lain-lain dari Al-Miswar bin Makhramah dan Marwan bin Al-Hakam, surah Al-Fath ini mulai dari awal hingga akhir diturunkan antara Mekah dan Madinah dalam konteks perjanjian damai Hudaibiyyah. Perjanjian ini kelak membawa kepada penaklukan kota Mekah dan wujud negara Islam sebagai kuasa besar baru di Jazirah Arab. Ayat ini harus dihubungkan dengan ayat sebelumnya, yang dalam istilah ‘Ulum Al-Quran disebut Munasabat Baina al-Ayat untuk difahami konteks keseluruhannya iaitu pada ayat ke-28;

“Dialah Yang telah mengutus Rasul-Nya dengan membawa kebenaran dan agama yang haq untuk memenangkannya atas agama-agama yang ada seluruhnya. Cukuplah Allah sebagai saksinya”. 

(QS al-Fath : 28).

 

Tafsiran Frasa Muhammad Rasulullah

Muhammad Rasulullah (Baginda Nabi Muhammad s.a.w) membawa maksud Allah s.w.t memberi khabar atau memberi tahu kepada sekalian manusia bahawa inilah utusan yang benar yang membawa hidayah dan agama yang haq. Tiada pada Baginda syak dan keraguan.[2]

Jika dibahas dari sudut bahasa, Frasa Muhammad Rasulullah dapat  difahami kedudukannya sebagai jumlah mubayyinah (kalimah yang menjelaskan) terhadap Rasul yang diutus oleh Allah s.w.t dengan membawa hidayah dan agama yang  haq. Mengenai kata Muhammad dalam ayat di atas, sebagian ulama tafsir mempunyai dua pandangan.

Pertama, ada yang menyatakan kata Muhammad sebagai mubtada’ (subjek), dan Rasulullah merupakan khabar predikat. Kedua, ada juga yang menyatakan bahawa kata Muhammad adalah subjek, Rasulullah adalah na’at (sifat subjek), sedangkan predikatnya adalah asyidda ‘ala al-kuffar. Jika kita memilih pendapat yang pertama, kefahaman ayat adalah seperti berikut; “Muhammad adalah utusan Allah”. Sebaliknya, jika pendapat kedua yang dipilih; “Muhammad, Rasulullah”.

 

Keras terhadap golongan Kafir

Tiba kepada frasa terusnya dalam penafsiran ayat ke-29 surah al-Fath yang juga menjadi perbincangan pokok kepada penulisan ini. Mungkin akan timbul persepsi kurang senang apabila kita membahaskan jumlah asyidda’u ‘ala al-kuffar (bersikap keras terhadap orang kafir) secara literal. Oleh kerana ini frasa ini perlukan kepada penjelasan dan penilitian.

Menurut Ibn ‘Asyur dalam tafsir beliau at-Tahrir wa at-Tanwir perkataan asyidda’  bermaksud sifat dan peribadi yang keras serta teguh pendirian dalam bermualamat.[3] Beliau menafsirkan bahawa keras yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah ketika berperang dan menzahirkan permusuhan dengan golongan kafir.

Malah ini merupakan sifat terpuji kerana mereka yang bersama Baginda Nabi s.a.w (para sahabat) merupakan golongan haq yang menyebarkan Islam dan mereka tidak menzahirkan permusuhan dan kebencian terhadap golongan kafir (yang memerangi Allah) ini melainkan kerana Allah. Mereka menyebarkan cinta sesama muslim dan kemarahan terhadap orang kafir atas dasar iman mereka terhadap Allah s.w.t.[4]

Imam at-Tobari pula menafsirkan ayat ini dengan menyatakan bahawa mereka yang benar mengikuti Rasulullah bersikap keras terhadap golongan kafir, hati mereka keras kasar terhadap golongan kafir, dan hanya sedikit kelembutan terhadap mereka.[5]

Selain itu, perlu kita sedar bahawa perperangan dan kekerasan yang dilemparkan ke atas golongan kafir ini bukan kerana kita membenci mereka secara membuta tuli atas nama sentimen, rasis, dendam peribadi dan sebagainya. Tetapi kita membenci mereka atas sebab mereka telah menyatakan peperangan mereka terhadap Allah s.w.t dengan cara mensyirikkan Allah, enggan beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w dan menghalang dakwah ini untuk terus berkembang.[6]

Penafsiran yang sama jika dirujuk kepada Tafsir al-Munir[7] oleh Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhaili, beliau mengatakan bahawa para sahabat Baginda Nabi s.a.w bersikap keras dan kasar terhadap mereka yang tidak beriman kepada Allah serta memusuhi orang Islam sepertimana firman Allah s.w.t;

“Wahai orang-orang yang beriman! Perangilah orang-orang kafir musyrik yang berdekatan dengan kamu dan biarlah mereka merasai sikap kekerasan (serta ketabahan hati) yang ada pada kamu”

(QS at-Taubah : 123).

 

Kalam Ibn Abbas dan Imam As-Suyuthi

Kata  asyidda’  adalah bentuk jamak taktsir (plural) dari kata  syadid (orang yang keras). Kata ruhama’ juga merupakan jamak taktsir dari kata rahim (orang yang mengasihi). Kebanyakan ahli tafsir, seperti Al-Qurthubi dan As-Syaukani, menjelaskan frasa asyidda’ ‘ala al-kuffar tersebut dengan menggunakan penafsiran Ibn ‘Abbas, pakar tafsir dikalangan sahabat, yang juga murid Baginda Nabi s.a.w, yang mengatakan: ghiladzun ‘alaihim ka al-asadi ‘ala farisatihi (keras terhadap mereka, bak singa terhadap mangsa buruannya).

Secara umum, imam As-Suyuthi, menjelaskan maksud frasa tersebut dan frasa berikutnya, bahawa mereka keras dan tegas terhadap siapa saja yang menyimpang dari agamanya, dan saling kasih-mengasihi di antara sesama mereka (Muslim). Inilah maksud dari frasa  asyidda ‘ala al-kuffar ruhama’ baynahum. Sebagian ahli tafsir, menyebutkan bahwa sifat tersebut merupakan sifat sahabat yang terlibat dalam kisah Hudaibiyah. Namun, pandangan ini dibantah oleh imam As-Syaukani, berdasarkan kaedah; Al-‘umum yabqa bi ‘umumihi maa lam yarid dalilun at-takhsis

 “Keumuman itu tetap berlaku sesuai dengan keumumannya selama tidak ada dalil pengkhusus yang dinyatakan (untuk mengkhususkannya)”.

Dari sini, beliau berpendapat, bahawa yang lebih tepat adalah menginterpretasikan makna umum sesuai dengan keumumannya. Dengan demikian, sifat tersebut merupakan sifat seluruh sahabat Baginda Nabi s.a.w dan seluruh umat Islam.[8]

 

Cinta Kepada Saudara Muslim

Aneh apabila ada dikalangan kita yang tidak mampu untuk berfikir lurus serta terus menerus menyebar kebencian terhadap saudara muslimnya sendiri. Sehingga apa yang dilakukan oleh saudara muslim itu kelihatan semuanya salah dan ‘tidak kena’ dengan jiwa. Sedang apa yang golongan kafir lakukan tidak perlu untuk dibenci dan dimarahi, tetapi cukuplah sekadar perlu ditegur dengan lemah lembut, berhikmah, diberi muka, platform untuk bekerjasama atas nama dakwah.

Benar, tidak saya nafikan kesilapan golongan muslimin yang tidak menuruti syariat dan bersikap sombong untuk menerima nasihat. Tetapi adakah dengan alasan ini kita terus meletakkan wala’ (ketaatan) kita kepada golongan kafir dan membenci saudara muslim? Tidak. Sedangkan banyak ayat di dalam al-Quran menegah kita untuk berkerjasama atau berkasih sayang dengan golongan kafir.[9]

Syeikh Solah Abdul Fattah Al-Khalidi menyatakan bahawa sifat seorang mukmin itu sentiasa bersikap keras terhadap orang kafir dan menunjukkan rasa cinta terhadap sahabatnya (mukmin) yang lain. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t;

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir

(QS al-Maidah : 54) [10]

Baginda Nabi s.a.w pernah bersabda;

“Orang mukmin bagi orang Mukmin lainnya adalah seperti bangunan dimana sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.” [11]

Imam at-Tobari pula menafsirkan frasa ruhama’u bainahum (berkasih sayang sesama mereka) ialah sifat lembut hati sesama muslim, bertoleransi, sopan santun terhadap saudara mereka dan Allah tautkan hati mereka.[12]

Tambahan pula, menyebarkan kecintaan dan kasih sayang sesama muslim mampu  menjadi satu tarikan dakwah kepada golongan kafir. Dasar wala’ (taat) dan mahabbah (kecintaan) sesama umat Islam mampu membentuk qudwah hasanah buat seluruh masyarakat termasuk golongan bukan Islam. Jika ini berhasil, maka umat Islam sendiri mampu membentuk kekuatan untuk memimpin Negara dan masyarakat dengan adil serta menjaga hak asasi manusia yang memang sedia ada di dalam syariat Islam.

 

Implementasi di Malaysia

Berbalik kepada bicara muqaddimah saya di atas, hari ini kita melihat sebilangan masyarakat yang salah erti menafsirkan ‘rahmatan lil ‘alamin’ dan menjadikan ayat surah Al-Anbiya’ ayat ke 107 itu sebagai tiket untuk melonggarkan ketegasan terhadap orang kafir yang jelas menentang Islam khususnya di Malaysia.

Sepertinya tiada langsung ruang untuk bertegas di dalam isu yang melibatkan aqidah umat Islam dan struktur perlembagaan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan. Saya petik satu kisah di dalam al-Quran ketika Baginda Nabi s.a.w cuba ‘dibeli’ dengan harta benda, wang, pangkat, wanita sehinggakan ada yang sanggup beriman kepada Allah tetapi dengan syarat orang Islam juga perlu sembah tuhan berhala mereka. Ini berdasarkan ayat ke 9 dari surah al-Qalam;

“Mereka suka kalaulah engkau bertolak ansur (menurut kemahuan mereka), supaya mereka juga bertolak ansur berlemah-lembut (pada zahirnya terhadapmu)”

(QS al-Qalam : 9)

Golongan musykirin Mekah pada ketika itu cuba melakukan tawar menawar dengan Nabi s.a.w.  Mereka cuba memujuk nabi untuk bertoleransi dengan mereka agar meninggalkan sedikit dakwah atau tidak terus mengajak kepada Islam dan mereka juga akan turut meninggalkan jahiyyah sedikit. Malah mereka juga bersedia untuk mengikut ajar Muhammad tetapi golongan Muslimin juga perlu cuba untuk menyembah tuhan berhala mereka. Sehingga akhirnya mereka menggunakan orang tengah iaitu bapa saudara Baginda sendiri, Abu Talib untuk memujuk Nabi.

Apakah reaksi Nabi terhadap perkara ini? Adakah Baginda Nabi s.a.w memberi ruang terhadap ‘tawar menawar’ golongan musyrikin?  Nabi Terus bertegas dan berkeras terhadap prinsip agama dan aqidah umat Islam. Walaupun ujian yang ditimpa Baginda dan para sahabat, walaupun mereka diseksa dan dibenci oleh golongan kafir, Baginda tetap bertegas dengan prinsip Islam.

 Begitu juga padangan as-Syahid Said Qutb ketika menafsirkan ayat ini. Baginda Nabi merupakan insan yang paling lembut akhlak di dalam mualamat, paling mengambil berat terhadap saudara dan ahli keluarga baginda, dan paling mudah untuk dibawa bincang demi memudahkan sesuatu urusan. Tetapi apabila bercakap dengan aqidah dan prinsip agama, maka Islam adalah Islam. Tiada padanya tolenransi dan ruang bicara untuk mencairkan prinsip agama ini.[13]

 

 

 

Kesimpulan

Seperti yang saya sebut sebelum memulakan perbahasan tentang tafsiran ayat ke-29 surah al-Fath ini, pasti akan timbul perasaan kurang senang apakah akhlak Islam sebegini? Adakah sikap umat Islam sentiasa keras dan tidak boleh langsung dibawa bincang ke meja bulat?

Sikap muslim terhadap orang kafir ini jelas. Kita bertegas pada isu aqidah, prinsip, perjanjian yang telah disepakati bersama dan asas-asas kenegaraan dalam Negara Islam. Sedangkan akhlak muslim dari sudut mualamat, berjual beli, interaksi sosial selagi tidak melibatkan isu yang disebut di atas, melanggar perjanjian, mencabar undang-undang Islam, menghina dan sebagainya maka muslim di didik untuk berakhlak yang akhlak yang paling mulia, lembut, bertolak ansur, bertoleransi dan berakhlak dengan akhlak Baginda Nabi s.a.w.

Kita tidak pernah memaksa golongan kafir untuk menganut ajaran Islam. Kerana itu bukanlah akhlak seorang muslim yang sebenar untuk memaksa golongan kafir dalam bab aqidah. Tetapi kita mengajak untuk seluruh umat manusia tunduk dan patuh kepada sistem pemerintahan Islam yang sentiasa menjamin hak sentiap insan yang berada dibawah naungannya sepertimana terbukti di dalam sejarah.

Islam perlu difahami sebagai satu sistem yang sempurna dan menyeluruh. Bukan hanya dari sudut I’tiqad (kepercayaan aqidah) semata. Tetapi Islam merupakan agama yang syumul (menyeluruh), mencakupi semua bidang kehidupan. Islam adalah negara dan tanahair atau pemerintah dan umat. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Pengetahun dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan gagasan (fikrah). Akidah yang benar dan ibadat yang sah.[14]

Jika mereka tidak mahu menganut ajaran Islam, maka bayarlah jizyah (cukai yang dikenakan kepada golongan kafir zimmi) dan patuhlah kepada undang-undang dan perjanjian yang telah digariskan. Penjagaan hak golongan kafir juga tidak terabai. Rumah ibadat mereka tidak dikacau, anak isteri serta golongan tua turut berasa selamat.

Maka aman damailah seluruh umat manusia dibawah naungan Islam.

 

Oleh,

Ustaz Afifi Saleh Bin Abdul Rahman

Ketua Biro Dakwah ISMA SPU

 

Rujukan :

[1] Imam Ibn Kathir, Tafsir Al-Quran Al-Adzim, 4/3047

[2] Dr Solah Abdul Fattah Al-Khalidi, Tafsir Ibn Kathir Tahzib wa Tartib, 6/3050

[3] Ibn ‘Asyur, at-Tahrir wa at-Tanwir, 25/204

[4] Ibid

[5] Imam At-Tobari, Jamii’ al-Bayan ‘An Ta’wil Ay al-Quran, 7/22

[6] Said Qutb, Fi Dzilal al-Quran, 6/3669

[7] Prof Dr Wahbah Az-Zuhaili, Tafsir al-Munir fi al-Aqidah wa as-Syariah wa al-Manhaj, 4/206

[8] Rujuk Imam as-Syaukani, Fath al-Qadir, tafsir surah al-Fath

[9] Surah Ali-Imran ayat 28, Surah Surah an-Nisa ayat 138-139, Surah al-Mumtahanah ayat 1,Surah al-Maidah ayat 51

[10] Dr Solah Abdul Fattah Al-Khalidi, Tafsir Ibn Kathir Tahzib wa Tartib, 6/3050

[11] Hadis riwayat Bukhari no. 481, riwayat Muslim no. 2585

[12] Imam At-Tobari, Jamii’ al-Bayan ‘An Ta’wil Ay al-Quran, 7/22-23

[13] Said Qutb, Fi Dzilal al-Quran, 6/3659, Dr Sa’id Ramadhan al-Buthi, Fiqh as-Sirah an-Nabawiyah

[14] Hassan Al-Banna, Usul Pertama, Usul 20

 

*artikel ini boleh dibaca di blog peribadi penulis,
Al-Fath 29: Ketegasan dengan bukan Islam kasih sayang sesama Muslim