Aku, Dia & Couple

Tuk…….Tuk……

“Mak..ooo mak….Mak cepatlah buka pintu. Orang nak masuk ni. Cepatlah. Nyamuk banyak  la kat luar ni”, sergah Maya. Mak Kiah yang sedang  lena tidur di ruang tamu terkejut. Lalu bingkas bangun membuka pintu.

“Kenapa adik balik lambat sangat? Dah lama mak tunggu. Adik pergi mana?” soal Mak Kiah kepada anak tunggalnya itu.

“Alah, orang pergi jumpa kawan. Takkan tu pun tak boleh!” balas Maya acuh tak acuh. Dia lantas masuk ke biliknya tanpa menghiraukan ibunya. Kasihan Mak Kiah. Dia hanya mampu menyeka air mata melihat perubahan demi perubahan anaknya sejak akhir- akhir ini.

Sumaiyah adalah sahabat karibku sejak di bangku sekolah menengah lagi. Dia memang baik. Sikapnya yang peramah menyebabkan dia begitu disenangi oleh banyak pihak. Tambahan pula, dia seorang pelajar yang pintar dan aktif di bangku sekolah suatu ketika dahulu.

Namun segala-galanya telah jauh berubah. Sejak memasuki salah sebuah institusi pengajian tinggi di ibu kota setahun yang lalu, dia mula menunjukkan anjakan-anjakan yang negatif. Meskipun kami di fakulti yang sama, iaitu Fakulti Sains dan Teknologi, namun segala nasihat yang aku berikan hanya mencurahkan air ke daun keladi. Sia-sia belaka.

Aku mula menyedari perubahan pada diri Maya sejak pertemuannya dengan seorang jejaka tampan, Ifham namanya. Seindah nama, kacak juga paras rupanya. Maya cantik, lemah lembut juga bijak orangnya. Pastilah menjadi igauan setiap kaum Adam. Ifham salah seorang daripadanya. Dia bertuah kerana tidak bertepuk sebelah tangan. Maya juga meminati jejaka tersebut.

“Hai Maya. Rajinnya kau. Soalan Fizik semalam kau siap tak? Tolong ajarkan kejap. Aku tak faham la”. Itulah antara ayat-ayat pertama yang memulakan bibit-bibit perasaan cinta di antara mereka berdua tanpa mereka sedari. Pada peringkat awalnya, memanglah Ifham selalu tanya soalan- soalan sebegitu. Lama-kelamaan, mereka berdua banyak jauh menyimpang daripada matlamat asal. Kebanyakannya mereka berbual soal peribadi. Aku mengerti tidak salah kalau hendak menolong Ifham. Tapi biarlah Maya berteman. Bukan dia dan Ifham semata. Natijahnya, nanti ada ‘orang ketiga’ yang turut serta dan macam- macam perkara boleh berlaku.

Sejak itu, keakraban mereka semakin hari semakin erat. Siang malam asyik berkepit sana- sini. Pergi perpustakaan sama-sama, makan pun sama-sama, kadang-kadang nak pergi kuliah pun Ifham tunggu. Macam itulah kalau dah berada dalam alam percintaan. Hidup di dunia ni, seolah-olah hanya mereka berdua. Sepertinya tiada yang memerhati. Aku dan rakan-rakan yang lain sakit hati apabila melihat perubahan Maya. Pantang sahaja ditegur, pasti dia melawan kembali. Asyik-asyik mempertahankan buah hati pujaannya. Sikap Maya yang dahulunya peramah mulai berubah. Dia mula kurang bergaul dengan rakan- rakannya dan lebih bersikap agresif.

Pencapaian akademiknya juga kian merosot. Pernah suatu hari, Puan Syarifah memanggil Maya berjumpa dengannya. Aku kasihan melihat Maya, namun melihat sikapnya yang selamba dan acuh tidak acuh dengan ujaran pensyarah, menyebabkan kami rakan-rakannya sedikit muak.

Seperti yang diminta, Maya melangkah ayu menuju ke bilik Puan Syarifah. Pintu bilik pensyarah muda itu diketuk lembut. Penuh tatasusila.

“Masuk”, ujar Puan Syarifah. Maya melangkah sopan menuju ke meja pensyarah berumur awal 30-an itu. Puan Syarifah memulakan bicara,

“Maya faham tak yang saya sampaikan tadi?”

“Faham, puan. Tapi kena study balik kot,” ujarnya ringkas.

Puan Syarifah berbual-bual mengenai subjek kimia yang diajarinya tadi, sebelum masuk ke topik utama bicara. Beliau tahu, Maya memang meminati subjek kimia. Pantang sembang pasal kimia, pasti becok dia bercakap. Justeru itu, beliau cuba mengambil hati Maya terlebih dahulu sebelum masuk ke agenda sebenar. Tambahan pula, Puan Syarifah merupakan seorang pensyarah yang prihatin. Beliau bijak membaca tingkah laku dan perubahan para pelajarnya. Kemerosotan keputusan Maya sejak akhir-akhir ini, membimbangkan beliau. Beliau menduga Maya mempunyai masalahnya yang tersendiri.

“Macam mana awak dengan Ifham?” Puan Syarifah cuba menduga. Maya sedikit kaget dan terkejut, tapi dia buat selamba saja.

“Kenapa puan tanya macam tu? Biasa okey sahaja. Saya selalu study group dengan dia,”

“Oooo….awak study group dengan dia. Patutlah sejak akhir-akhir ni, result dia meningkat. Tapi, yang saya peliknya kenapa awak makin lama makin jatuh. Sedangkan awak berdua study group sekali kan?

“Eh ye ke? Tapi saya rasa, result saya maintain saja. Puan silap kot,” ujar Maya selamba. Dia kini hanyut dengan alam percintaannya. Aku lihat sejak dia bercouple dengan Ifham, waktu studynya sering terabai. Kalau dah macam belangkas memang tak ingat dunia. Berkepit sana-sini 24 jam. Kononnya study group. Tapi kalau seorang lelaki dengan seorang gadis, study di tempat yang sama, duduk depan- berdepan, bolehkah fokus? Getus hati kecil Puan Syarifah. Beliau memang sedia maklum bahawa Maya dan Ifham bercouple. Zana rakan sebilik Maya yang memberitahu. Zana dan rakan-rakannya yang lain risau melihat prestasi akademik Maya yang kian merosot dan keakraban Maya yang terlampau erat dengan Ifham. Tuntas mereka membuat keputusan untuk memaklumkan kepada Puan Syarifah.

“Awak buat lawak pula yer. Takkan saya nak cerita kat awak benda yang salah. Maya awak ni budak yang baik bijak,” Puan Syarifah perlahan-lahan memulakan bicaranya. Baginya pelajar seperti Maya mampu bergerak lebih jauh kalau bijak mencatur diri.

Kenapa awak perlu couple sekarang? Saya faham jiwa remaja pada usia-usia begini. Perasaan nak dibelai dan sayang-menyayangi memang membuak-buak. Tapi, Allah anugerahkan kepada kita akal fikiran. Jadi, kita boleh bezakan antara baik dan buruk sesuatu perkara. Kebanyakan pasangan-pasangan yang bercouple ni, bercinta macam nak rak. Bergayut siang malam. Masa bercinta semua nampak indah pada pasangan masing-masing. Cinta itu butalah katakan. Tapi bila dah berkahwin, ramai yang tunjuk wajah sebenar. Kesannya, baru kahwin beberapa bulan bercerai. Si isteri pulak mengandung. Nanti bila bayi itu lahir tak dapat kasih sayang daripada seorang bapa, hah, macam-macamlah pula yang berlaku lepas tu.

 

Lagipun awak sedia maklumkan, sekiranya sesebuah perkahwinan itu berlaku penceraian bergoncang arasy Allah. Maksudnya Allah tak suka perceraian berlaku di kalangan hamba-hambanya. Tambahan pula, berapa ramai pasangan-pasangan yang bermadu kasih meniti jinjang pelamin dan bahagia ke anak cucu. Tak ramaikan. So, up to you lah Maya. Kalau awak rasa si Ifham tu jodoh awak Maya, teruskan sajalah. Tapi, sebagai manusia biasa, boleh ke kita tahu siapa jodoh kita.Tak tahukan. Pengetahuan kita cetek sangat. Terbatas. Malah, bercouple ni pun salah satu perkara-perkara yang menjurus kepada zina kan?”.

“Ishhhh….puan nih. Masa bila pula saya berzina dengan dia. Jauh terlanjur tu puan. Saya ingat lagilah siapa saya,” getus Maya tiba-tiba. Hatinya tercuit bila Puan Syarifah menyentuh soal zina.

″Yelah…..saya tahu. Saya tak kata awak berzina dengan dia. Tapi awak kena ingat. Apabila seseorang itu berdua-duaan bersama seseorang yang bukan mahram, maksudnya yang halal dikahwininya, nanti akan ada ‘orang ketiga’ yang akan join sekali. Jadi awak fikir-fikirkanlah. Saya hanya nasihatkan saja. Lebih dari itu, memang awak sedia maklum,” Puan Syarifah mengakhiri bicaranya. Lantas, Maya meminta izin untuk beredar dari situ. Maya fikir mereka cemburu dia bermadu kasih dengan Ifham. Maya tak mengerti.

Selepas beredar dari bilik Puan Syarifah dia melangkah laju ke bilik 10B. Dia ingin menemui Siti. Detik hatinya mengatakan Siti yang menghasut rakan-rakannya untuk memulaukan dirinya. Siti jualah yang melaporkan hubungannya dengan Ifham kepada Puan Syarifah.

Setibanya di bilik 10B, Maya terus mencari Siti. Kelihatan Siti sedang asyik menonton rancangan Korea bersama dua rakan sebiliknya.

“Hoi, Siti. Kenapa kau tak sayang mulut hah. Kau nak aku cilikan mulut kau ke?!” sergah Maya garang. Tak pernah dia tampak marah sebegitu.

“Kenapa  kau ni, Maya. Salam tidak apa tidak, tiba-tiba kau hoi-hoi je. Kau ni kenapa?” ujar Siti sedikit terkejut mendengar sergahan Maya. Dia dapat menduga ada sesuatu yang buruk berlaku.

″Amboi-amboi….Kau buat tak tahulah pulak ya. Kau yang lapor kat Puan Syarifah kan? Kenapa kau suka jaga tepi kain orang hah, kain kau dah cukup bersih sangat ke?”

“Ya Allah….Maya, buat bertenang. Apa kau cakap ni, kami tak fahamlah,” Ros rakan sebilik Siti cuba menenangkan keadaan.

“Kau tanyalah kawan kau ni. Kau tahu dia mengadu kat Puan Syarifah yang aku couple dengan Ifham. Aku tahulah kau tu jealous. Tapi tolong erk….dah dia minat kat aku, dan bukan kau, so aku nak buat macam mana. Orang hensem minat kat kita, takkan tak layan kot. Tolak rezeki namanya tu,” ujar Maya garang. Ada riak bangga di wajahnya.

Bagi Maya, Siti dan rakan-rakannya memang bersekongkol dengan Puan Syarifah untuk menjauhkan dirinya daripada Ifham. Kesian Maya. Kata-kata nasihat Puan Syarifah langsung tidak menembusi hati nalurinya. Dia memang angau pada Ifham. Langsung dia tidak terfikir natijah yang bakal dihadapi. Sejak daripada peristiwa dia menyerang Siti, hubungan Maya dengan mereka semakin renggang. Jarang sekali ingin melihat Maya menjengah ke bilik 10B itu. Yang pasti, hubungannya dengan Ifham semakin hari semakin erat.

Sedar tak sedar, cuti semester pun tiba. Kami akan bercuti selama tiga bulan. Aku dan Maya tinggal di kampung yang sama. Memang sudah menjadi kebiasaan, aku akan mengajaknya pulang bersama-sama setiap kali pulang ke kampung. Pelik…buat pertama kalinya Maya tidak mahu pulang. Kononnya ingin menyiapkan presentation di rumah rakannya di Kajang. Rumah siapa? Pernah juga aku tanya. Namun sia-sia. Malah, dituduh pula aku penyibuk. Bimbang pulang seorang diri, aku mengajak Zana pulang bersama-sama denganku. Syukur. Ajakanku disambut. Meskipun daerah berbeza, tapi kami masih berada di negeri yang sama. Zana menetap di Ipoh, sementara aku di Taiping.

Kini, hampir sebulan kami bercuti. Pada suatu pagi, sebuah kereta Myvi hitam melintasi halaman rumahku. Macam kukenal pemandunya. Oh ya……..Ifham. Mengapa dia ke sini? Takkan mahu berjumpa dengan kekasih hatinya. Sahih memang Ifham. Rupa-rupanya dia menghantar Maya pulang. Pelik, cuti sudah masuk sebulan, Maya baru balik. Presentation apa yang banyak sangat dia buat. Malas aku memikirkannya. Petang itu, Mak Kiah ke rumahku.

“Ana, Mak Kiah nak pinjam kipas boleh tak? Kipas rumah Mak Kiah rosak. Kasihan Maya, dia panas. Nak belajar pun susah,” pinta ibu tua itu. Kasihan kulihat. Sanggup bersusah payah ke sini meminjam kipas dan memberi  keselesaan kepada si anak. Maya memang rapat dengan ibunya. Namun itu dulu sebelum dia mengenali Ifham. Selalunya, setiap kali pulang ke kampung, Maya pasti membelikan buah tangan untuk ibunya. Malah, dia juga sering menolong ibunya menjaja di sekeliling kampung.

Tapi kepulangannya kali ini jauh berbeza. Mungkin Maya terkena tempias kemewahan Ifham. Ayah Ifham seorang jurutera sebuah syarikat pembinaan yang terkemuka di ibu kota. Manakala ibunya seorang pakar perubatan di sebuah hospital swasta. Pastilah hidup senang–lenang dia. Tambahan pula anak lelaki tunggal. Apa yang dipinta pasti dapat. Berbeza dengan Maya. Dia anak yatim. Ayahnya telah pulang ke rahmatullah semasa usianya sepuluh tahun. Ibunya yang terpaksa menyara mereka berdua dengan menjaja nasi lemak. Itupun berapalah sangat pendapatannya.

“Sat Mak Kiah, Ana pergi ambil. Masuklah dulu Mak Kiah,” lantas aku masuk ke bilikku dan mengambil sebuah kipas hijau, Panasonic. Lalu aku menyerahkannya pada Mak Kiah. Mak Kiah tergesa-gesa pulang. Begitulah betapa kasihnya seorang ibu kepada anaknya. Namun, tak ramai anak-anak yang tahu dan menghargai serta menilai kasih sayang seorang ibu.

Keesokan harinya, aku pergi mengambil adikku di sebuah sekolah di pekan. Dia hendak pulang cuti hujung minggu. Rindu nak berjumpa dengan ku katanya. Dengan membonceng motosikal Kris milik ayah, aku segera bergegas ke sana. Dalam perjalanan ke sana, aku ternampak Ifham di rumah Maya. Pelik. Acap kali sangat dia ke sana. Hairan. Aku membiarkan saja persoalan demi persoalan bermain di benakku. Lantas aku memecut laju. Sekembalinya dari menjemput adik, saja aku ringan-ringankan kaki menjenguk ke rumah Maya. Dengan penuh beradab, aku memberikan salam. Syukur, salamku bersambut.

″Ana, masuklah. Maya tak ada. Dia pergi beli buku dengan kawannya di Ipoh,”ujar Mak Kiah.

″Oooh…gitu. Mak Kiah buat apa? Nak Ana tolong?” soalku ramah.

″Tak payah susah-susahlah Ana. Mak Kiah nak masak sikit saja. Maya tak balik makan, dia makan dengan kawan kat luar,” ujar Mak Kiah. Biarpun tampak biasa raut wajahnya, namun ku mengerti hati ibu tua ini. Terguris dan dihiris sembilu dengan perilaku  si anaknya itu.

 

″Dah lama Ana tak rasa masakan Mak Kiah. Boleh Ana makan tengahari dengan Mak Kiah ? ” pintaku untuk mengubat kekosongan hati Mak Kiah. Mak Kiah menerimanya dengan tangan terbuka. Kelihatannya dia begitu gembira sekali. Macam-macam yang kami borak tengahari itu. Tak kering gusi kami dengan telatah masing-masing.

Kini segala-galanya telah berubah. Aku kini seorang pegawai penyelidik di MARDI. Manakala Maya……….dia ditangkap basah di sebuah hotel terkemuka di ibu kota bersama Ifham pada pagi dia mengambil Maya di rumahnya lima tahun yang lalu. Mak Kiah yang mendengar berita itu terkejut lantas diserang sakit jantung, lalu meninggal dunia. Manakala Ifham, demi menjaga maruah keluarga, ayahnya menghantar dia ke UK, rumah saudara mereka di sana. Tinggallah Maya terkontang-kanting di sini. Dia tidak punya sesiapa lagi. Dia berasa menyesal dan berdosa teramat sangat kepada ibu dan dirinya. Atas nasihatku dan Puan Syarifah, Maya dibawa ke Raudhatus Sakinah. Di sana, Maya menjalani pemulihan rohani. Syukur. Allah masih mengasihi Maya.

 

 

Oleh:

Hainana

 

**Ini merupakan karya asal penulis sebagai peserta Bengkel Penulisan Karya Kreatif anjuran BKOM ISMA SPU 18/11/18.