KLS 2019 : Bantu Lepasan Sekolah Tentukan Hala Tuju Hidup

PERMATANG PAUH, 6 Jamadil Awal 1440H, Sabtu – Saban tahun, Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) cawangan Seberang Perai Utara telah menganjurkan sebuah Karnival  Lepasan Sekolah (KLS) istimewa buat para peserta yang baru menamatkan alam persekolahan. Kali ini, (KLS) 2019 telah disertai  seramai 96 orang peserta dari seluruh Pulau Pinang dan diadakan di Politeknik Seberang Perai , Pulau Pinang. Tujuan utamanya adalah untuk membantu para peserta menentukan hala tuju hidup selepas tamat persekolahan.

Program ini telah dirasmikan oleh Setiausaha Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Seberang Perai Utara, saudara Mohd Izwan Ishak. Menerusi ucapan beliau, saudara Izwan amat menekankan bahawa jati diri yang kuat perlu ada untuk para pelajar menempuh alam dewasa.  “Sekiranya tidak ada kekuatan atau support system yang baik, cabaran di alam dewasa boleh menukarkan kehebatan diri kita. Umpama anak singa menjadi kijang pengecut, burung rajawali menjadi burung denak dan anak jerung menjadi ikan lohan”, ujarnya sewaktu merasmikan program KLS.

Pengarah program, saudara Ammar bin Azhar pula turut memperkenalkan  Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dan  Biro Luar Negara (BLN) kepada para peserta dalam ucapan beliau. Tujuannya, supaya para peserta cakna, seterusnya mencari dan mendapatkan lingkungan sahabat yang terbaik semasa menyambung  pelajaran kelak.

Program yang  berlangsung dari jam 8 pagi hingga 6 petang ini telah  mendedahkan para peserta lepasan SPM, STPM, dan STAM  dengan realiti sebenar  alam kampus. Pelbagai input berguna di kongsi bersama mereka menerusi pelbagai slot yang telah di atur penganjur.  Antaranya Slot Motivasi Hala Tuju Selepas Sekolah, Forum Survival Kampus, dan Pameran Kerjaya. Istimewanya, para peserta boleh bertanya secara terus dengan panel-panel yang berpengalaman dalam bidang masing-masing.

Salah seorang peserta KLS 2019, Nur Fasihah selepas dihubungi  sehari selepas menyertai karnival ini menyatakan, “ Habis je karnival ni, saya rasa minda macam lebih terbuka, dan KLS banyak membantu dalam membuat pilihan kerjaya yang akan saya ceburi pada masa akan datang,” ujarnya.

 

Oleh

Siti Nadirah binti Ahmad

Wartawan KRIM Pulau Pinang

ISMA Seberang Perai Utara