HATI

HATI, kita semua memilikinya.

Bidalan Melayu ada berkata: Ikut kata binasa, ikut nafsu lesu, ikut hati mati. Tidak dinafikan kita memiliki perasaan yang berbeza-beza, di antara satu dengan yang lain, cuma bergantung bagaimana kita menguruskan hati.

Kebanyakan hati sangat lembut dan seni. Adakalanya halus, adakalanya kasar, pengasih, penyayang, cinta dan benci. Bersifat kebudak-budakan, matang dan adakalanya macam orang gila dan nyanyuk.

Mungkin perasaan di atas berbeza pada usia kanak-kanak, remaja, dewasa dan usia emas, merengek dan ingin dilindungi. Mencari identiti dengan terikut-ikut rakan sebaya. Ingin dihormati dan disanjung lantaran ilmu dan kedudukan serta status kekayaan. Manakala di usia emas orang selalu merajuk dan amat sensitif lantaran sifat ingin dihargai dan perfectionist.

Perbezaan metodologi yang ketara antara indragogi dan pedagogi amat rumit sekali kaedah untuk kita menanganinya.

HATI, hati yang kita miliki akan hanya kenyang dengan zikruALLAH. Maksud sabda junjungan sidna Nabi Muhammad SallALLAH Alaihi Wasallam, “Perbezaan di antara orang hidup dan mati adalah jika ia berselawat”.

Setiap kita sering mencari ketenangan hati. Tidak sama tenang di hati dengan tenang di fikiran. Tenang fikiran boleh dicari dan lakukan apa yang kita suka seperti melancong, makan-makan dan minum, berjumpa rakan lama atau menyendiri dan tersenyum macam orang sasau atau menjerit sekuat hati. Manakala tenang hati adalah ketenangan yang Haq dan Haqiqi, berkekalan malah dapat dilihat dari riak muka, wajah yang tenang berseri-seri, terserlah dari dalam keluar kekal hingga ke akhir hayat. Tetapi tenang fikiran umpama pesakit yang menelan ubat yang punyai hayat tertentu, habis tempoh kena makan ubat lagi dan terus bergantung dengan ubat.

Kalau kita teliti kepada fikiran dan hati, ia mempunyai satu persamaan musuh iaitu Hawa Nafsu dan Iblis. Mana mungkin kita boleh mengalahkan Hawa Nafsu dan Iblis ?! ..tetapi kita boleh memujuk dan mengendalikannya… seumpama kita tidak boleh menghilangkan stress (tekanan) tetapi kita boleh mengurus/ menangani tekanan (stress management).

Sabda Baginda RasulALLAH SallALLAH Alaihi Wasallam yang bermaksud, “Ketahuilah bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, maka baiklah semuanya, apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh badan, ketahuilah itulah yang dikatakan HATI”.

Hati akan menjadi baik jika makan makanan yang Halal lagi baik (Halalan Thoiyyiba) dan berzikir mengingati ALLAH ketika berdiri, duduk dan baring. Berbanding makanan bagi otak yang paling sinonim dengannya adalah ilmu pengetahuan, ceramah agama, kaunseling dan seumpamanya adalah baik untuk akal dan nutrisi.

Demikianlah seperti yang difirmankan ALLAH Taala tentang mereka yang bermaksud …. “Ketahuilah bahawa para Auliya’ ALLAH itu tiada ketakutan bagi mereka lagi tidak bersedih HATI” (Surah Yunus: 62)

Sewajarnyalah hati kita perlu dirawat. Rawatan pada hati itu seharusnya merujuk kepada ahlinya. Jadi sudah tentulah rujukan dan rawatan itu kepada seorang guru atau Sheikh yang Mursyid lagi Sah dan Kamil. Yang berpandukan Al-Quran dan Sunnah. Marilah kita berdoa kepada ALLAH agar dihindari dari HATI yang berbolak balik.

 

إن الله لا ينظر إلى صوركم ولا إلى أعمالكم ولكم ينظر إلى قلوبكم ونياتكم

“Sesungguhnya ALLAH tidak memandang kepada rupa lahirmu, tidak juga kepada amalanmu, akan tetapi ALLAH memandang kepada HATI dan niatmu”

 

Coretan:

Mej Hj Sulaiman Shah bin Hj Abdullah P.J.K

(Tabib Abdullah al-Banjari)

Taman Bertam Putra

28/10/2018. Lepas solat Maghrib

 

DISCLAIMER:
*Ini merupakan karya asal penulis sebagai peserta Bengkel Penulisan Karya Kreatif anjuran BKOM ISMA SPU pada 18 Nov 2018.