I am a fighter!

Welcome to IB World 

Langkahan pertama ke institusi tersebut disambut oleh ucapan mesra yang diiringi oleh senyuman penuh makna. Aku sangat teruja untuk meneroka dunia baru yang disebut sebagai International Baccalaureate atau lebih dikenali sebagai ‘IB’. Menurut kaunselor di sekolah menengahku, program IB ini sangat bagus kerana program ini mendedahkan pelajar kepada dunia luar dan membentuk pelajar supaya menjadi seorang yang international minded.

“Weh, tahu tak orang cakap nanti tugasan kita kat sini banyak gila. Setiap subjek ada kerja kursus, kena buat projek kemasyarakatan, berpersatuan dan siap kena buat essay 4000 perkataan lagi. Matila kalau camtu. Asal aku masuk IB ?!,” kata seorang pelajar free hair yang berbaju kurung moden kepada rakan di sebelahnya berbaur sesal.

“Sebab tu graduan IB dikenali sebagai IB survivor,” sambut kawannya bangga.

“ Walaupun nampak macam susah, kita kena ingat semua susah payah ni nanti akan terbayar juga bila kita dapat pergi overseas nanti,” sambung sorang gadis manis bertudung litup yang duduk di barisan hadapan mereka. ‘Datang dari sekolah yang sama barangkali’.

Aku hanya memerhati. Sejujurnya aku masih berasa canggung dengan suasana di dewan itu. Seorang pun tidak kukenali. Namun, saat inilah cabaran disambut. Perjuanganku bermula.

 

***

“Aina, awak sedar tak sekarang ni awak letak banyak benda on the stakes?”

Diri ini hanya mampu menunduk menunjukkan kekesalan yang melanda.

“Fikirkan apa yang akan jadi jika awak tak dapat sambung lagi pengajian di sini. Saya rasa awak dah mampu untuk menilai apa yang baik untuk masa depan awak.”

Sambung cikgu Layla lagi, seorang guru yang mengajar subjek ekonomi di kelasku. Dalam fikiranku telah bermain-main beberapa sketsa yang akan berlaku jika saya ditendang keluar dari kolej ini. Biasiswa akan ditarik balik dan peluang untuk melanjutkan pengajian ke luar negara akan melayang begitu sahaja. Mama dan Abah? Usah ditanya. Mahunya dibuang keluarga kerana menconteng arang dimuka mereka. Iyalah, datang sekolah untuk belajar, bukannya main. Seorang Aina akan mengakhiri kehidupannya tersadai di kaki lima kerana telah menyia-nyiakan kehidupannya di kolej.

You know your limit. Cikgu lagi suka orang tak pandai yang berusaha daripada orang pandai tapi malas”

Cikgu Layla sentiasa mengulang-ulang ayat ini di dalam kelas. Aku tahu niat guruku itu baik, namun dalam tafsiranku apa yang dimaksudkan oleh Cikgu Layla ialah ‘kalau kamu tahu kamu bodoh, belajar lah’ dan bagiku kata-kata itu sangat terkesan di jiwaku. Sebelum ini di sekolah menengah semua orang mengulang frasa “kalau Aina semua boleh”. Jadi percaya atau tidak, tahap keyakinan saya menggunung tinggi. Ini jugalah pertama kali dalam hidup saya merasakan diri ini tersangatlah bodoh. Namun perjuangan harus diteruskan.

Tiada sesiapa untuk diluahkan kesakitan yang melanda. Betullah kata-kata imam As-Syafi’e bahawa “Sesiapa yang tidak dapat tahan lelahnya belajar akan rasa peritnya kebodohan.” Bila rasa macam bodoh, rasa sangatlah sakit di dalam. Walau bagaimanapun, aku bukanlah jenis orang yang senang untuk menceritakan masalahku kepada orang lain walaupun kepada mama dan abah. Jadi semuanya disimpan di dalam hati. Betul, perjuangan harus aku teruskan.

 

***

“Aina, tolong update kepada saya mengenai kehadiran ibu bapa kamu untuk Hari Akademik secepat mungkin ye.” Aku hanya mengangguk. Pilu.

Mamaku bukanlah seorang ibu yang suka akan perjumpaan rasmi terutamanya mengenai akademikku. Memang dari sekolah lagi mama tidak ambil tahu akan masalahku di sekolah, jadi aku sebenarnya tidak perlu untuk bertanyakan lagi hal ini kepadanya namun pada hematku, aku perlu menelefon untuk kepastian ataupun lebih tepat sebagai formaliti.

“Ibu bapa wajib ke pergi?” aku terdiam.

Itulah pertanyaan yang sering diaju jika mana-mana institusi yang saya masuk mengadakan Hari Akademik sejak sekolah menengah lagi. Hampa. Mungkin bagi sesetengah pelajar, mereka akan berasa lega dengan ketidakhadiran ibu atau bapa mereka, namun bagiku hal ini sangatlah menyedihkan kerana kelihatan seperti mereka tidak langsung mengambil berat tentang pelajaranku. Even so, aku tetap perlu teruskan perjuanganku.

 

***

Malamnya.

Langit berdentum dentam. Kilat sabung menyabung. Bilik itu diselubungi kegelapan. Kelihatan sekujur badan di atas sofa terkulai layu. Penat. Mana tidaknya, dari petang lagi menangis tak henti-henti. Fikiranku serabut memikirkan keputusan peperiksaan semester satu yang menepati piawaian untuk ‘exit policy’ kolej. Banyak persoalan menerpa minda.

‘Kenapa dapat result macam ni?’

‘Kenapa aku kena belajar?’

‘Ada orang peduli ke kalau aku berhenti kolej?’

‘Kenapa nak hidup pun kalau camtu?’

‘Baik mati je.’

Fikiranku kosong.

‘Baik ke kalau mati?’

‘Apa perjuangan aku selama ini?

 

Sedang aku ralit berfikir, tiba-tiba ada mesej daripada aplikasi whatsapp masuk. Ting tong. Seorang kakak yang selalu datang untuk program mentoring menyapa. Namanya Kak Aisyah. Dia merupakan graduan perubatan di India. Menurutnya, tadi dia ternampak aku yang bermuka monyok di surau, lalu dia membuat keputusan untuk bertanya khabar melalui whatsapp memandangkan dia tidak boleh lama di kolej. Tanpa berfikir panjang, aku tanpa segan silunya menceritakan segala yang berlaku. Aku lebih senang bercerita kepadanya berbanding mana-mana ahli keluargaku kerana beliau lebih memahami perit jerih yang dihadapi oleh pelajar di universiti terutamanya di kolej persediaan seperti kami.

 

Untuk memberiku suntikan motivasi, Kak Aisyah ada menceritakan mengenai seorang pelajar A-level yang tidak lepas requirement untuk fly namun dengan kehendak-Nya pelajar tersebut berjaya mencapai impiannya. Macam mana? Sila ‘pm’.\(> . <)/. Disini aku boleh simpulkan bahawa setiap apa yang kita inginkan pasti terselitnya ujian. Sesuatu yang bernilai itu tidak akan senang dapat macam tu sahaja. Kena ada usaha. Kalau rasa dah usaha, tengok sekeliling. Cukup ke usaha kita kalau nak dibandingkan dengan orang lain yang mendapat markah cemerlang? Sebelum itu kita kena refleks balik tujuan kita hidup di dunia ini iaitu sebagai seorang abid dan khalifah.

 

Allah pasti berikan apa yang terbaik buat hambanya dan pointer 27 adalah yang terbaik buat si comel Aina untuk semester satu. Buktinya, aku lebih berusaha untuk belajar dengan lebih tekun dan rajin berjumpa cikgu untuk setiap mata pelajaran untuk meningkatkan prestasiku. Tambahan pula, aku lebih strict dalam menjaga ibadahku melalui mutabaah amal kerana aku telah faham akan hakikat bahawa segala kejayaan itu datangnya daripada Allah dan kejayaan yang haqiqi ialah apabila seseorang itu dapat masuk ke syurga tanpa dihisab. Perjuanganku mendapat nafas yang baru.

 

***

Congrats weh dah jadi IB survivor!” Ucapan tersebut disambut ketawa kegembiraan. Dua tahun yang singkat itu merupakan satu cebisan memori yang sangat berharga bagi semua pelajar disitu.

Bulan Mei diganti Jun. Seterusnya bulan Julai pun berlabuh. Tujuh Julai merupakan sebuah hari yang paling keramat dalam hidup pelajar IB. Hari keputusan peperiksaan didedahkan. Hari yang menjadi titik penentuan bagi masa hadapan yang dididamkan. Aku bersedia di hadapan komputer ribaku. Detiknya semakin hampir. Aku menaip pin pelajarku dan beberapa saat lagi aku akan tahu. Bismillah.

Aku tertegun. ‘Alhamdulillah ala kulli hal’. Walau apa pun yang berlaku, perjuangan ini tidak akan terhenti’

 

 

Oleh:

Awan

Aktivis PEMBINA Pulau Pinang

 

 

**Ini merupakan karya asal penulis sebagai peserta Bengkel Penulisan Karya Kreatif anjuran BKOM ISMA SPU 18/11/18.