SEMUT

“ Assalamulaikum, jauh termenung. Dah sampai mana tu, Ina?”

“ Waalaikumussalam, Aini. Hrmmm baru dekat dengan Seoul, hang dah potong line. Tak sempat nak mendarat.”

Hahahahaha

Kedengaran letusan ketawa berderai daripada dua orang sahabat baik itu. Aini dan Ina kenal antara satu sama lain sejak kecil. Mereka memasuki pra sekolah dan sekolah rendah yang sama. Sekarang, mereka juga belajar di sekolah menengah yang sama iaitu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang. Mereka selalu bersama seperti belangkas. Kalau ada Aini, pasti ada Ina di sisinya dan begitulah sebaliknya.

Sedang asyik menikmati angin petang yang sepoi-sepoi bahasa di tepi padang, kedua-dua sahabat tersebut ternampak sekumpulan semut sedang mengangkut sesuatu dalam barisan yang panjang.

“ Banyaknya semut,” ujar Ina kepada Aini.

“ Kan, semut tu tengah angkut makanan. Ada orang tertumpahkan makanan kat hujung sana. Btw, apa yang Ina tau pasal semut?,” tanya Aini kepada Ina tiba-tiba.

“ Hrmmm, semut.. Semut ni ialah binatang invertebrata iaitu binatang yang tak ada tulang belakang. Lagi satu, semut ni rajin macam Ina. Betul tak, Aini?”, balas Ina.

“ Pasal binatang invertebrata tu betul tapi pasal rajin macam Ina tu macam kurang tepat sikit. Hahahaha. Aini bergurau ja. Ina, nak tau sesuatu tak? Banyak perkara yang kita boleh belajaq daripada semut.”

“Pertama, macam yang Ina cakap tadi ; RAJIN. Semut ni sangat rajin. Semut kan kecik, jadi mesti semut makan sikit ja kan. Tapi kenapa setiap kali kita nampak makanan yang tumpah yang tak disapu, mesti akan ada semut yang pi dekat makanan tu. Semut akan angkut makanan yang tumpah tu. Macam tu juga, kita sebagai manusia. Kita kena jadi rajin macam semut. Rajin buat kerja rumah, rajin tolong orang, rajin buat ibadah dan rajin dalam buat sesuatu yang membawa kepada kebaikan. Jangan rajin buat perkara yang buang masa sudahlah. Lagi satu, kita kena selalu rebut dan memanfaatkan peluang yang kita ada. Contohnya, ada majlis ilmu kat surau, kita kena rebut peluang tu imarahkan surau dan untuk tambah ilmu kita. Kalau semut akan dekat dengan makanan ; yang bagi manfaat dekat semut, kita pun kena dekat dengan perkara yang bermanfaat terhadap diri kita walaupun benda tu susah untuk kita buat.

Yang kedua pulak, semut ni ajaq kita supaya tanamkan dalam diri semangat bekerjasama. Ina jangan ingat Wonderpets ja yang bekerjasama. Kan slogan Wonderpets ; Apa yang penting? KERJASAMA! Tengok semut yang duk angkut makanan tu. Kalau seekor semut ja yang duk angkut makanan tu, boleh jadi stok makanan semut tu tak cukup sebab walaupun semut kecik, tapi semut ni sangat banyak. Jadi semua semut tu rasa bertanggungjawab untuk bantu sesama mereka untuk dapatkan sumber makanan.

 

Apabila kita berada dalam sesebuah kumpulan atau organisasi, kerjasama ini sangat penting. Jika setiap ahli masing-masing pentingkan diri dan tidak mahu memberikan kerjasama, kumpulan tersebut tidak akan mencapai matlamat atau objektif yang telah ditetapkan. Setiap ahli mestilah berusaha menjalankan tugas yang diberikan dan sedia untuk membantu ahli yang memerlukan bantuan.

Ok, Ina. Perkara last yang boleh kita belajaq daripada semut ni yang Aini nak bagitau ialah tentang DISIPLIN. Semua benda ada peraturan yang perlu dipatuhi. Sebagai contoh kita kena masuk kelas pukul 7.45 pagi, kalau kita lambat nama akan diambil oleh pengawas. Peraturan tersebut mampu mendisiplinkan kita dan menjadikan kita seseorang yang menepati masa. Berbalik kepada cerita semut, semut tu tunjukkan disiplin dengan berbaris untuk angkut makanan ke sarang. Boleh ja kan semut tu nak jalan ikut jalan yang semut tu nak, tapi kenapa dia berbaris jugak. Walaupun barisan tu panjang, semut tu tetap berbaris dan perlahan-lahan menuju ke sarang bersama makanan yang diangkut. Hebat kan disiplin semut?

Panjang pulak celoteh Aini petang ni. Satu lagi lupa nak bagitau salah satu surah dalam Al-Quran ialah surah al-Naml yang bermaksud semut. Semut sebagai satu nama surah. Subhanallah.. Jadi, semoga celoteh Aini hari ni beri manfaat kat Ina dan bagi peringatan kat diri sendiri yang menyampaikan.

Terima kasih Ina sebab sudi dengaq celoteh Aini hari ni,” ujar Aini kepada Ina.

“ Tak ada apalah Aini, Ina enjoy ja dengaq Aini beceloteh. Banyak input yang Ina dapat hari ni. Banyak perkara yang kita boleh belajar hatta daripada salah satu makhluk yang kecil seperti semut. Semuanya bergantung kepada kita sama ada untuk melihat sesuatu dengan mata semata-mata atau dengan mata hati. Eh, kawan-kawan kita yang lain dah nak balik bilik tu. Jom ikut depa”, kata Ina kepada Aini.

Kedua-dua sahabat itu berlalu meninggalkan sekumpulan semut itu dan menuju ke bilik.

 

Coretan:

Nur Atiqah Mat Yusof

Aktivis PEMBINA USM

 

 

DISCLAIMER:
*Ini merupakan karya asal penulis sebagai peserta Bengkel Penulisan Karya Kreatif anjuran BKOM ISMA SPU 18/11/18.