Semanis Syukurmu

I)

Bukan ‘one man show’ tetapi itulah hakikat yang harus ditelan.

Rumaisa merupakan seorang yang telah 2 tahun tamat pengajian masternya. Namun, tidak semua graduan master dijamin dengan pekerjaan yang bergaji lumayan selepas betul-betul tamatnya pengajian. Ada yang terus mendapat pekerjaan yang diidamkan, namun tidak kurang juga yang terpaksa bekerja di tempat-tempat lain dahulu.

Begitu jugalah Rumaisa, dia bekerja sebagai satu-satunya kerani pentadbiran merangkap kerani akaun di salah sebuah syarikat pembinaan. Syarikat itu ialah sebuah syarikat yang menguruskan projek senggaraan dan pembinaan yang berskala kecil dan sederhana. Rumaisa umpama multiplier function kepada syarikat itu kerana segala urusan di pejabat, daripada sekecil-kecil tugasan sehinggalah kepada sebesar-besar tugasan yang berkaitan pentadbiran dan kewangan dia sahajalah yang uruskan.

Very Multi-Tasking!

Adakalanya dibantu oleh beberapa staf lelaki yang tidak banyak tahu tentang kerja-kerja pengkeranian di pejabat. Lagi memeningkan kepala, apabila terpaksa pula mengajar mereka yang diarahkan untuk membantu sambil ingin menyiapkan kerja-kerja yang berstatus ‘urgent’. Kesudahannya, Rumaisa terpaksa stayback di pejabat bagi menyiapkan kerja yang dirancang untuk hari itu. Jika ditunda, alamatnya bertimbun pulalah esok. Kerana esok ada tugasan lain pula yang sedang menanti.

 

II)

Setiap hari bermula jam 0730 pagi berlanjutan sehingga 0730 petang, jadualnya begitu padat dan penuh sekali. Bukan tidak pernah meminta supaya menambah bilangan pekerja untuk membantu, tetapi kata majikan, ingin berjimat, projek tidak selalunya untung.

Betulkah? Jimat sangatkah jika tidak menambah staf?

Kesabaran Rumaisa sentiasa memuncak dan sering diuji dengan lambakkan kerja dan arahan-arahan kerja yang bertalu-talu dan silih berganti. Ada sahaja kerja-kerja yang mencelah setelah tugasannya telah diatur elok untuk hari itu. Maka bersyukur dan bertabah sahajalah yang mampu dia lakukan.

Sebelum bermula, rutin kerjanya setiap hari, dia disuruh membuat kerja-kerja cleaner, mengelap habuk, mengelap cermin, menyapu lantai pejabat, mengemas bilik mesyuarat, bilik surau, pantry dan mencuci tandas. Alhamdulillah…

Setelah selesai kerja-kerja cleaner, belum pun sempat duduk dan menarik nafas lega, deringan telefon pula berbunyi, dia bertukar peranan menjadi seorang ‘receptionist’, menjawab panggilan telefon yang bertanya itu dan ini. Tidak pernah pula telefon itu berhenti daripada berdering, yang pasti setiap pagi selepas dia mengemas, telefon pasti berdering. Sehingga pernah pada suatu tahap, dia berasa ingin sahaja mencabut wayar telefon itu sekejap, agar dia dapat berehat seminit dua. Namun, ucapan ‘Alhamdulillah’ tetap meniti di bibir Rumaisa.

Kemudian, begitulah seterusnya dan seterusnya, kerja-kerja pentadbiran dan penyediaan akaun syarikat pula yang akan menyusul, ditambah dengan kerja-kerja penyediaan surat menyurat dan dokumen-dokumen pentadbiran syarikat. Begitulah rutin kerjanya setiap hari. Itu belum lagi jika disuruh menjadi runner, mewakili majikan untuk ke tapak projek dan menguruskan audit pentadbiran!

Cekal sungguh dia!

Alhamdulillah…

 

III)

Bukan senang hendak senang. Itu prinsipnya.

Ya! tidak semua lulusan universiti itu akan terus mendapat pekerjaan yang bagus-bagus, gaji yang lumayan, berada di bilik yang berhawa dingin dan duduk diatas kerusi yang empuk. Sebaliknya, ramai dan rata-ratanya perlu melalui suatu fasa pekerjaan yang agak mencabar. Hanya kecekalan yang menjadi pegangan, hanya keikhlasan yang menjadi bekalan.

Kerjanya bukan main lagi, tetapi dihujung bulan bayarannya bukan main ciput pula. Maklumlah, bekerja di sebuah syarikat SME ‘small medium enterprise’, faham-faham sahajalah, semuanya hendak jimat. Begitulah realiti kehidupan para lepasan universiti tika ini. Bukan mudah untuk mendapat pekerjaan. Harus percaya! jika terlalu cerewet dan memilih, alamatnya tidak bekerjalah sampai kesudah.

Ibu selalu pesan, ‘Jangan mengeluh, jangan bersungut, pasti ada sesuatu yang Allah ingin Rumaisa belajar’. Bila mengenangkan pesan Ibu, dia menjadi kuat dan terus tetap teguh melangkah.

‘Move on’ Rumaisa!

Ayah pula turut mengingatkan, ‘Sabar itu pahit semacam kopi, tapi syukur itu manis semacam gula, kalau kedua-duanya dicampur dengan sukatan yang betul, kopi menjadi enak, sabar juga menjadi indah sebab adanya syukur. Maka sabarlah, seiringkanlah kesabaran itu dengan rasa syukur, pasti terubat, pasti manis dan indah diakhirnya’

‘Pesan ibu dan ayah, sentiasa Rumaisa ingat, sentiasa Rumaisa sematkan di dalam sanubari’ bisik hati kecil Rumaisa.

Hanya gambar mereka menjadi peneman, menjadi tatapan saban hari sebagai anak rantau di sebuah pekan.

 

IV)

Ya! hidup ini harus terus berjalan, harus terus melangkah. Bila rasa ingin terjatuh, bangun semula, bila rasa ingin mengalah, bangkit semula dan bila rasa tertekan atau putus asa, ingatlah pada janji Allah, kan DIA telah berfirman yang DIA sesekali tidak akan menguji hamba-hambanya diluar batas kemampuan dan kesanggupan hamba-hambanya (Surah Al-Baqarah, ayat 286).

Sentiasa sabar, syukur dan ucap Alhamdulillah, pasti terubat.

Sudah malam baru Rumaisa pulang dari pejabat. Rumaisa berbaring di atas sofa, kemudian terlelap akibat keletihan. Seharian kudrat dan otaknya dikerah untuk bekerja.

Lelapnya terganggu seketika, apabila kedengaran nada telefon bimbitnya berbunyi. Malasnya bukan kepalang lagi, dibimbangi majikannya yang menelefon. Selalunya begitulah. Alasan majikannya ‘urgent’ memanjang.

Namun, tidak malam itu. Ibu yang menelefon Rumaisa.

“Assalamualaikum, hello Rumaisa, ibu buka surat Rumaisa siang tadi” Ibu jeda seketika.

Rumaisa langsung sahaja bertanya ibu,

“Surat tentang apa ibu?” dia agak teruja mendengar perkhabaran daripada ibu.

“Surat daripada institusi pengajian tinggi, Alhamdulillah Rumaisa, kamu dapat tawaran sebagai Tenaga Pengajar Muda di sebuah institusi pengajian tempatan, akhirnya makbul juga doa Ibu, ayah dan Rumaisa selama ini”

Tidak dapat dia gambarkan suara ibu tika itu. Dia tahu ibu terlalu gembira. Getar suara ibu di sebalik perbualan mereka di dalam talian telefon sebentar tadi cukup memberitahuku yang ibu terlalu terharu dan sebak.

Jiwa Rumaisa berbisik…

‘Alhamdulillah! Ya Allah, kau telah perkenankan doa dan impian ibu dan ayah, akan aku jadikan teori serta kesempatan pengalaman yang telah kau ajarkan selama ini untuk mendidik anak bangsa, tidak akan aku sia-siakan, Alhamdulillah…’

Benar pesan ibu, rupa-rupanya ada sesuatu yang Allah ingin Rumaisa pelajari. Benar pesan ayah, sabar itu ubat dan syukur itu diakhirnya indah dan manis.

Sentiasa ingat pesan ibu.

Sentiasa ingat nasihat ayah dan,

sentiasa ingat janji Allah.

Syukur, Alhamdulillah…

 

 

 

Oleh:

Zulaiyahaa Abdul Rahman
zulaiyahaabdulrahman@gmail.com

 

DISCLAIMER:
**Ini merupakan karya asal penulis sebagai peserta Bengkel Penulisan Karya Kreatif anjuran BKOM ISMA SPU 18/11/18.