Politik Islam Relevan Sepanjang Zaman mengesani Masyarakat

11 Rabiul Awal, Bertam – Mendepani cabaran era Malaysia Baharu ini, satu Forum Perdana Politik Islam telah diadakan di Masjid At-Taqwa, Taman Bertam Indah pada Sabtu yang lalu. Forum yang berdurasi hampir satu jam ini dijalankan selepas maghrib dengan menampilkan barisan panelis hebat yang terdiri daripada Ketua Biro Ekonomi ISMA Seberang Perai Utara selaku moderator forum, Ustaz Budiyanto Unggun, Penyelidik Pusat Kajian Pemikiran dan Peradaban Ummah, Ustaz Haji Mohd Hazizi Ab Rahman, dan Ahli Lembaga Pengelola Kolej Islam Teknologi Antarabangsa, Ustaz Ahmad Fahmi Abu Bakar. Forum yang membincangkan perihal “Politik Islam Relevan Sepanjang Zaman” ini mendapat perhatian yang menggalakkan dengan kehadiran yang amat baik daripada masyarakat setempat.

Pada pusingan pertama forum, Ustaz Mohd Hazizi menyatakan bahawa pemerintah Muslim wajib menjaga agama Islam dan memerintah berdasarkan acuan Islam. Beliau memberi contoh kerajaan di zaman Khulafa ar-Rasyidin yang menjalankan politik Islam. Tambah beliau, politik Islam yang bijak dan matang lahir daripada masyarakat yang bijak dan matang sebagaimana di zaman Khulafa ar-Rasyidin. Sementara itu, Ustaz Ahmad Fahmi pula menceritakan sejarah perkembangan politik di Malaysia selepas dijajah oleh kuasa-kuasa besar dunia pada ketika itu. Kemuncaknya, sewaktu British menjajah Malaysia, mereka telah menularkan fahaman sekular yakni memisahkan politik dengan Islam. Kesannya, masih terasa hingga ke hari ini. Malah, parti politik orang Melayu telah terpecah kepada PAS dan UMNO.

Seterusnya, pusingan kedua, kata Ustaz Mohd Hazizi lagi, kemuncak kepada politik Islam adalah Islam memimpin dunia. Namun, perkara ini tidak semudah yang dikatakan kerana memerlukan pendidikan yang berterusan bagi menyebarkan fahaman yang betul berkenaan hal ini. Berdasarkan kajian, beliau dapati hanya 20%  orang Islam di Malaysia yang solat penuh 5 waktu sehari semalam. Malah, ujar beliau lagi silibus pendidikan Islam di Malaysia juga amat wajar dikemas kini dengan mendedahkan masyarakat dengan ancaman fahaman yang berpotensi menggugat aqidah masyarakat Islam. Kesannya, masyarakat Islam berpecah dan tidak sepakat. Faktor itulah yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Melaka. Ustaz Ahmad Fahmi pula mengulas tentang politik Islam berupaya mendekati dan mengesani masyarakat dengan menyebarkan Islam. Tambah beliau lagi, pemain-pemain politik Muslim seharusnya berakhlak dan mengenepikan budaya asabiyyah. “Kalau ada penganut Hindu jemput ke kuil untuk rasmi majlis tertentu, kita tolaklah dengan berhikmah. Minta maaf saya tak boleh masuk kuil,” ujarnya.Pusingan seterusnya, Ustaz Mohd Hazizi menjelaskan bahawa demokrasi yang kita tunjangi selama ini, bukanlah daripada Islam. Syura adalah lebih baik dan yang sebetulnya. Syura dapat membuahkan permuafakatan. Namun begitu, ujarnya kita boleh menunggang demokrasi yang ada ini untuk menuju dan membawa Islam yang benar. Sementara itu, Ustaz Ahmad Fahmi turut menegaskan bahawa setelah berkecimpung dalam arena politik, seseorang muslim itu mestilah jelas matlamatnya supaya dapat beraksi dengan jayanya mengikut neraca Islam.

Konklusinya, politik Islam sentiasa relevan sepanjang zaman. Selagi mana, kuasa politik dikuasai oleh orang Islam, seterusnya ketuanan syarak dapat ditegakkan. Malah, politik Islam juga mestilah membudayakan nasihat-menasihati sesama ahli politik Islam walaupun berbeza parti politik. Kemenjadian dan kejayaan politik Islam ini, sangat bergantung kepada individu Muslim itu sendiri.

 

Oleh Nur Husnuzzan Azizan

Biro Komunikasi & Multimedia (BKOM)

ISMA Seberang Perai Utara