Persediaan Menimang Cahaya Mata

Kepada pasangan yang sudah menikah pastinya akan menunggu hari yang bahagia iaitu menimang cahaya mata yang dinanti-nantikan. Justeru, persediaan yang baik perlu dibuat bagi menimang cahaya mata menurut Islam supaya kurniaan ini dapat disambut dengan penuh kesyukuran dan demi meraih keberkatan daripada Allah SWT. Tambahan pula, sudah menjadi matlamat ibu bapa muslim akan sentiasa berusaha menjadikan keluarga muslim yang akan membentuk masyarakat muslim yang sejahtera terutamanya dari masalah gejala sosial yang merunsingkan ibu bapa pada hari ini.

Berdasarkan buku Tarbiyatul Aulad Fil Islam (Jilid 1) yang ditulis oleh Dr Abdullah Nasih Ulwan, terdapat beberapa aspek yang perlu bakal ibu bapa mahupun yang sudahpun bergelar ibu bapa mengambil pelajaran dalam membuat persediaan ini.

Perkara yang paling utama yang perlu ibu bapa perlu cari adalah ilmu pengetahuan tentang menimang cahaya mata. Bermula dari mencari pasangan yang soleh atau solehah kerana niat perkahwinan adalah meramaikan lagi umat Nabi Muhammad SAW serta mendapat hikmah perkahwinan itu sendiri. Pencarian pasangan itu hendaklah berdasarkan hadis yang bermaksud:

“Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda: Wanita dikahwini kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikkannya dan agamanya. Carilah yang mempunyai agama, Allah pasti mencukupkan untuk kamu rezeki” (Imam Bukhari dan Muslim).

Setelah usaha itu, ibu bapa hendaklah tahu mengenai pentingnya adanya perasaan psikologi terhadap anak-anak. Saya ringkaskan seperti poin-poin berikut:
1. Mempunyai perasaan kasih sayang, mesra, lemah lembut dan belas kasihan terhadap anak-anak
2. Menjauhi sikap jahiliah seperti mengagungkan jantina tertentu seperti hanya ingin memiliki anak lelaki bukan anak perempuan dan sebaliknya
3. Mendahulukan kecintaan jihad dan dakwah melebihi cinta keluarga dan anak apabila datangnya seruan kerana cinta yang sebenar perlu diutamakan kepada Allah dan Rasul supaya umat Islam dapat mencapai kemenangan yang dijanjikan
4. Walau sangat kasih kepada anak-anak, hukuman perlu diberi jika mereka membuat kesalahan. Hukuman dalam Islam adalah mengikut peringkat-peringkat tertentu iaitu memberi nasihat, memulaukan dan memukul dengan pukulan yang tidak mencederakan tapi dapat mendidik.

Ibu bapa dan pendidik wajar mengetahui dan mempelajari kaedah pendidikan Islam supaya dapat mendidik generasi yang positif daripada kerosakan kepada kehidupan yang baik dan berakhlak mulia.

Hukum-hakam am berkenaan anak yang baru lahir hendaklah diambil kira walaupun ia dikira sunnah kerana kita ingin menghidupkan syariat Islam dalam segenap kehidupan.

Berikut adalah hukum-hakamnya:
1. Disunatkan bergembira dan mengucapkan tahniah apabila menerima berita kelahiran
2. Disunatkan mengazan dan mengiqomatkan anak selepas dilahirkan
3. Disunatkan mentahnikkan anak selepas dilahirkan
4. Disunatkan mencukur rambut anak
5. Memberi nama anak yang baik dalam Islam
6. Disunatkan mengakikahkan anak
7. Mengkhatankan anak

Perkara-perkara di atas wajar dirancang oleh ibu bapa kerana ia menunjukkan ibu bapa telah memberi perhatian kepada anak sejak kelahirannya dan mengambil berat urusan penjagaanya dari detik pertama mereka menjenguk dunia dan menghirup udara kehidupan. Anak-anak juga akan mendapati dirinya berada dalam jagaan sebuah keluarga muslim yang mempraktikkan Islam sesuai yang diajar oleh Rasulullah SAW.

Inilah perkara asas yang perlu ibu bapa tahu akan persediaan menimang cahaya mata selain menyediakan keperluan asas anak dan ibu seperti persediaan semasa di hospital, berpantang dan sebagainya. Walaupun sudah mendapat anak tersebut, ilmu pengetahuan tentang anak dan keibubapaan masih perlu dicari dan digali kerana anak yang dikurniakan kepada ibu bapa bukan sekadar memenuhi fitrah ingin memiliki anak tetapi ia seiring dengan tanggungjawab yang besar bagi mendidik seorang khalifah di muka bumi Allah ini.

Oleh:
Puan Siti Nor Fatihah Zulkifli
AJK Biro Keluarga dan Masyarakat ISMA SPU