Penulisan Kreatif beri suntikan baru

12 Rabiulawal, Sungai Dua – Biro Komunikasi dan Multimedia (BKOM) Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Seberang Perai Utara (SPU) tampil menjayakan Bengkel Penulisan yang dikendalikan oleh seorang penulis sambilan lulusan Universiti Korea, Zulaihah Karim.

Penulis telah banyak menghasilkan karya. Karya beliau yang diterbitkan antaranya Opah Gangnam Style, Yongwonhan Chingu (Friends Forever) dan cerpen Perempuan Merah.

Bengkel yang dijalankan separuh hari ini disertai 19 peserta terdiri daripada ahli ISMA dan juga penduduk sekitar.

 

“Apabila nak menulis karya kreatif ni, kita kena fikir luar kotak. Tapi, dalam masa yang sama,  dalam kotak jangan dibuang terus. Contoh bunga. Apa yang kita nampak di sebalik bunga,” ujar  Zulaihah Karim.

Beliau turut berkongsi cara menghasilkan sesuatu karya bermula dari awal sehingga karya itu siap dihasilkan. “ Lebih baik masa nak menulis tu, kita taip di laptop terus. Pada peringkat ni, kita tulis je. Salah taip ka salah  ayat, itu belakang kira. Biasanya, untuk siapkan satu karya ambil masa dua ke tiga minggu. Tapi, untuk semak semula karya selepas siap, kita buka semula karya tu tiga ke tujuh hari selepas itu. Bergantung pada diri sendiri,” tambahnya lagi.

Selain itu, beliau turut berkongsi teknik untuk menghasilkan sebuah karya yang kreatif melalui penggunaan teknik penceritaan, sudut pandang, gambaran latar tempat yang terperinci, teknik pendahuluan yang mendebarkan dan penutup yang melankolik, gembira ataupun tergantung. Tambahnya lagi, karya tampil menarik apabila ada kosa kata Melayu baru yang dimasukkan. Ini boleh diperolehi di atas talian Dewan Bahasa dan Pustaka.

“Penulisan kreatif ni, bukannya bila kita dah siap satu-satu karya tu, hantar kepada majalah dan sebagainya terus dapat diterbitkan. Ambil masa yang panjang juga. Keadaan tu biasalah kan. Sementara orang nak kenal,” ujar Zulaihah Karim.

Meskipun dengan kesibukan kerjaya dan menjadi penulis separuh masa tidak mematahkan dan merencatkan perkongsian beliau, “Apa yang menyebabkan saya terus menulis meskipun dihambat oleh pelbagai komitmen dan tanggungjawab adalah dari kata-kata Syed Qutb iaitu; sebutir peluru mampu menembusi satu kepala. Satu tulisan mampu menembusi ribuan, malah jutaan kepala,” ujarnya lagi.

Salah seorang peserta, Haji Sulaiman berkata, “Saya bersyukur sebab banyak ilmu dapat dipelajari. Banyak juga pengalaman yang dikongsi dan saya boleh kenal ramai orang di sini”. Sementara itu, Puan Zulaiyahaa, seorang lagi peserta menyatakan sangat teruja dan ingin mengikuti bengkel seperti ini lagi pada masa akan datang.

Oleh Nur Husnuzzan Azizan

Biro Komunikasi & Multimedia (BKOM)

ISMA Seberang Perai Utara