Boleh saya bertanya??

(Berdasarkan Kisah Nabi Musa dan Pemuda Soleh di dalam Surah Al-Kahfi)

Sila rujuk surah al-Kahfi bermula dari ayat 60 sehingga ayat 82 yang telah merakamkan kisah yang penuh pengajaran ini.

Secara ringkas kisah ini menceritakan tentang Nabi Musa yang berjalan bersama pemuda soleh (yang kenali sebagai Nabi Khidir menurut Ibn Kathir, ada juga yang mengatakan beliau adalah Yusha’ bin Nun, ada sebahagian mufassirin tetap berpegang dengan pemuda soleh seperti termaksud di dalam al-Quran tanpa menafsirnya), di dalam perjalanan itu disyaratkan agar Nabi Musa tidak boleh bertanya dan bercakap atas apa yang bakal berlaku. Dan Nabi Musa bersetuju.

Dan dalam perjalanan itu, pemuda soleh itu telah melakukan 3 perkara yang aneh di mata Nabi Musa. Pertama beliau memecahkan kapal atau sampan di tengah lautan. Kedua beliau membunuh anak kecil yang tidak berdosa. Ketiga beliau membina tembok atau dinding di sebuah kampung yang langsung tidak memberi makan kepada mereka dan tidak mengambil upah ke atasnya.

Setiap perkara di atas, Nabi Musa akan bertanya sebab dan rasionalnya. Menampakkan ketidaksabaran Baginda dan keanehan di fikiran Baginda terhadap perbuatan pemuda tersebut.

Kemudiannya dijawab oleh pemuda soleh itu pada akhir perjalanan mereka. Adapun sampan itu dirosakkan kerana di belakangnya ada seorang raja yang zalim yang ingin merampas semua perahu dan sampan yang masih elok.Maka dirosakkan sedikit agar tidak diambil oleh raja itu. Adapun anak kecil itu dibunuh kerana apabila besar nanti dia akan mengajak ibu bapanya kepada kekufuran dan perbuatan zalim. Adapun berkenaan binaan tembok itu, Allah s.w.t memerintahkan dibina semula tembok itu kerana terdapat harta benda milik dua orang anak yatim bagi memelihara hak mereka.

Pengajaran dan Iktibar:

Berdasarkan kisah di atas, dapat saya highlight kan beberapa poin penting dan pengajaran untuk kita bersama.

  1. Jangan rasa kita yang paling pandai. Menurut Hamka di dalam tafsirnya, Nabi Musa diperintahkan Allah s.w.t untuk menambah pengalaman dan mencari guru yang lebih bijaksana dan jauh pandangannya. Sebab Nabi Musa sudah sampai ke satu tahap yang merasakan bahawa dia paling pandai dalam masyarakat. Dari pengalaman Baginda bersama pemuda soleh ini, maka insaflah Nabi Musa bahawasanya banyak lagi yang belum diketahuinya.
  2. Tawaduk (rendah diri) dengan guru.Berkata imam Fakhruddin ar-Razi, berdasarkan ayat 66 surah al-Kahfi, Nabi Musa meminta izin dengan pemuda soleh untuk menjadi pengikutnya. Ini menggambarkan tingginya penghormatan dan sifat tawaduk Nabi Musa.
  3. Sedar akan kejahilan.Pada ayat 66, Nabi Musa berkata “agar kamu dapat mengasuh dan mendidikku”. Ini merupakan pengakuan bahawa dirinya jahil dan mengisbatkan gurunya dengan ilmuan. Ini juga adalah pandangan imam Fakhruddin ar-razi.
  4. Mengaku salah dan memohon maaf. Antara adab dengan guru juga adalah kita sentiasa mengaku kesalahan jika tersilap dan terus memohon maaf tanpa mempertahankan kesalahannya. Jika dilihat dari kisah di atas, Nabi Musa sentiasa memohon maaf dan menyesali kesalahan Baginda yang bertanya kepada Nabi Khidir kerana syarat untuk mengikuti beliau adalah tidak boleh bertanya.
  5. Bertanya hanya jika perlu dan selepas keizinan. Sama juga iktibarnya dari kisah di atas. Saya kongsikan juga kisah dari Abdul Rahman Bin Harmalah al-Aslami, beliau berkata : “Tiada seorang yang berani bertanya kepada Sai’d Bin Musayyib sehingga meminta izinnya terlebih dahulu sepertimana seorang rakyat meminta izin kepada pemerintah.
  6. Sentiasa bersabar. Ini sangat penting. Jangan terburu-buru mendapatkan ‘hasil’ dari proses pembelajaran.Sepertimana kisah Nabi Musa yang tidak dapat menahan sabar dengan perbuatan pemuda soleh yang kelihatan salah dan tidak patut oleh Nabi Musa. Sedangkan hikmah dan pengajaran disebaliknya sangat berharga.

Demikianlah kisah agung yang dirakamkan di dalam al-Quran agar kita mengambil pengajaran darinya. Menurut As-Syahid Sayyid Qutb ketika menafsirkan surah al-Kahfi, Kisah Musa dan hamba soleh ini merupakan kisah yang cukup menarik berkenaan adab menuntut ilmu dan juga rahsia serta hikmah Tuhan yang tidak mungkin dicapai oleh akal manusia semata.

 

Oleh,

Ustaz Afifi Saleh Bin Abdul Rahman

Ketua Biro Dakwah ISMA SPU

 

Rujukan :

Tafsir al-Quran al-‘Azim, Ibn Kathir

Mafatih al-Ghaib, Fakhruddin Ar-Razi,

Fi Zilal Al-Quran, As-Syahid Sayyid Qutb,

Tafsir al-Azhar, Hamka

Adab dan Ilmu, Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri

 

*artikel ini disiarkan di blog peribadi penulis, https://afifiabdulrahman.wordpress.com/2016/10/06/boleh-saya-bertanya-berdasarkan-kisah-nabi-musa-dan-pemuda-soleh-di-dalam-surah-al-kahfi/