Terbang Tinggi Bersama NAZIM Pulau Pinang

SUNGAI DUA, 21 Zulkaedah 1439H, Jumaat – Kelab NAZIM (Kelab Anak-anak Hebat) Seberang Perai Utara (SPU) tampil lagi pada kali ini dengan tema Terbang Tinggi bertempat di Surau Al-Ittihad, Kulim Perdana dan Surau Al-Furqan,Taman Sri Indah pada Jumaat dan Sabtu yang lepas. Penyertaan sangat baik diterima daripada penduduk setempat melibatkan 44 orang penyertaan dari Kulim dan 24 orang peserta dari Bertam terdiri daripada kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun. Program berjalan seperti yang dirancang iaitu seawal jam 8:30 pagi dan berakhir pada jam 12:30 tengahari.

Menurut Pengarah Program, Wafa Elyani binti Abdul Rahim, objektif utama program adalah mendidik para peserta memahami erti sabar dalam menghadapi sesuatu perkara. Secara tidak langsung, melatih mereka berusaha untuk mengatasi perasaaan putus asa. Seterusnya, menyemai dalam diri mereka mencintai Allah dan menanam keimanan yang teguh.

“Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana diberi momentum dan kekuatan untuk mengendalikan program bulanan NAZIM yang bertemakan Terbang Tinggi. Semoga dengan usaha yang kecil ini, anak-anak NAZIM dapat memperoleh ilmu dan dapat mempraktikkan apa yang dipelajari ,” ujarnya.

Menariknya pada kali ini, mereka mendapat pengisian mengenai erti jihad dalam kehidupan seharian dan tips untuk tidak berputus asa dalam melakukan sesuatu perkara. Praktikalnya sejurus itu, para peserta membuat reka cipta roket daripada straw dan kertas.

Selari dengan itu, ayat yang dihafal oleh peserta NAZIM pada kali ini adalah ayat 6 Surah Al-Ankabut yang bermaksud “Dan sesiapa yang berjuang maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri, sesungguhnya Allah Maha Kaya tidak berhajatkan sesuatupun daripada sekalian makhluk.”

Semoga anak-anak NAZIM dapat mengambil input dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

 

 

Oleh

Fatin Athirah binti Abdul Aziz

Wartawan Kelab NAZIM Pulau Pinang