Halangan Bukan Penghalang


SUNGAI DUA, 7 Zulhijjah 1439H, Ahad – Gunung Pulai terdiri daripada 90% batuan tajam. Walaupun begitu, halangan tersebut bukan penghalang buat Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (PEMUDA ISMA) Pulau Pinang, menganjurkan program mendaki gunung pada 11 dan 12 Ogos yang lalu. Sinonim dengan loghat utara, maka ghabat digunakan sebagai ganti kepada mendaki. Program Misi Ghabat Gunung Pulai 2018 telah berjaya ditawan dengan jayanya di Gunung Pulai, Baling, Kedah susulan daripada misi-misi pendakian sebelum ini. Misi ini telah mendapat sambutan menggalakkan daripada para pemuda iaitu seramai 39 orang peserta.

Muhamad Zefri bin Zul, Pengarah Misi Ghabat Gunung Pulai 2018 berkata, “Misi ghabat Gunung Pulai ini merupakan antara misi paling sukar antara misi-misi yang telah dilaksanakan sebelum ini. Sebelum ini, kita telah berjaya menyelesaikan Misi Teluk Kampi, Taman Negara, dan Ghabat Bukit Bendera. Tapi kali ni lain. Sangat mencabar kerana faktor kecuraman Gunung Pulai. Tambah mencabar, kita mendaki seawal jam 3 pagi. Waktu tu memang gelap. Kawasan gunung pula 90% adalah terdiri daripada batuan tajam,” ujarnya.

Program bermula dengan taklimat di Pejabat ISMA Sungai Dua. Sejurus itu, para peserta bergerak ke destinasi pendakian dan tiba di sana pada jam 2.45 pagi Ahad. Di bawah pimpinan malim Gunung Pulai, pendakian bermula pada jam 3.15 pagi. Setelah mengharungi pelbagai ranjau cabaran, akhirnya puncak berjaya ditawan pada jam 6.30 pagi. Usai sampai di sana, para peserta menunaikan solat Subuh secara berjemaah. Mereka juga tidak melepaskan peluang melihat matahari terbit dari puncak gunung. Mereka bergerak turun pada jam 9.30 pagi setelah selesai bersarapan dan tiba di kaki gunung pada jam 11 pagi.

Salah seorang peserta, pelajar dari JMTI berkata ,”Inilah kali pertama naik Gunung Pulai. Takkan naik lagi dah di sini kerana sangat memeritkan,”ujarnya. Malah, terdapat juga seorang peserta yang tidak dapat menamatkan misi kerana kecederaan lutut. Maka, dia terpaksa berhenti di pertengahan jalan dengan ditemani pengiring.

 

Oleh

Muhamad Farid Umor Parok

Setiausaha PEMUDA

ISMA Seberang Perai Utara