Tahniah Doktor !

GEORGETOWN, 26 Syawal 1439H, Rabu – Dr. Norfarhanim Abdullah, Dr. Muhammad Ridzuan Rusdi dan Dr. Mohammad Aiman Hazim Zamri. Kami di Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Seberang Perai Utara (SPU) berbangga dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan ketiga-tiga profaz ummah ini.

Mereka merupakan ahli ISMA SPU merangkap aktivis I-Medik Pulau Pinang yang telah berjaya menamatkan pengajian perubatan mereka dari Penang Medical College (PMC) pada Ahad, 1 Julai yang lepas.

Dr. Farhanim ketika ditemui media ISMA SPU mengucapkan alhamdulillah atas susah payah perjuangannya dan rakan-rakan selama 7 tahun akhirnya diberi nikmat untuk memegang gelaran doktor. Berpegang pada kata-kata, “Don’t start something that you can’t finish”, beliau terus bangkit walaupun jatuh berkali-kali kerana yakin bahawa perjuangan tersebut bukan untuk diri, tetapi untuk ummah.

“Kata-kata tidak akan pernah cukup untuk menggambarkan segala apa yang terbuku di hati. Kehilangan insan tercinta iaitu arwah ibu saya beberapa bulan sebelum peperiksaan akhir tidak pernah mematahkan semangat juang saya. Ini adalah hadiah, amanat serta tanggungjawab yang cukup besar untuk agama, bangsa dan negara”, tambahnya.

Dr. Aiman Hazim selaku pengerusi PEMBINA cawangan Pulau Pinang turut bersyukur kepada Allah SWT atas kejayaannya bergraduasi. Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua atas doa dan sokongan yang diberikan kepada beliau selama ini.

Bersama-sama 130 graduan yang lain, mereka dianugerahkan sijil Ijazah Sarjana Muda Perubatan, Ijazah Sarjana Muda Pembedahan dan Ijazah Sarjana Muda Obstetrik (MB BCh BAO) dalam satu majlis di Hotel Equatorial. Majlis kali ke 18 ini bersejarah kerana selepas ini PMC akan dikenali sebagai Royal College of Surgeons in Ireland (RCSI) dan University College Dublin (UCD) Malaysia Campus.

“Alhamdulillah. Saya amat bersyukur kerana Allah permudahkan segala urusan pengajian saya dan akhirnya sekarang telah berjaya bergraduasi. Pelbagai cabaran dan dugaan yang telah dilalui. Berkat doa dari  keluarga, isteri dan sahabat, alhamdulillah segala dugaan dan cabaran dapat ditempuhi dengan jayanya”, ujar Dr. Ridzuan yang diraikan keluarga tercinta pada hari tersebut.

ISMA SPU mengucapkan selamat berkhidmat sebagai doktor ummah dan menjadi pakar rujuk di kawasan masing-masing.  Semoga segala ilmu dan pengalaman yang mengajar dalam aspek akademik, tarbiah mahupun dakwah yang sempat digarap di bumi Pulau Mutiara ini menjadi amanah dalam mengotakan cita-cita mulia tersebut.

 

Doktor paling untung, dihormati

Doktor paling untung, murah rezeki

Doktor paling untung, sentiasa di gudang pahala

Doktor paling untung, sentiasa boleh bantu manusia

Tetapi lihatlah pada niatnya

Agar tidak rugi kerana letih dan penat bukan kerana Allah

Tetapi kerana mengejar dunia semata

Sebaiknya jadilah Doktor Muslim yang cemerlang berjiwa Al-Quran !

(Petikan buku Doktor Bukan Tuhan, Dr Anayasmin binti Azmi)

 

Oleh

Noradawiyah Nordin

Wartawan ISMA SPU