Mosque Open Day: PEACE, ISMA Seberang Perai Utara & Masjid AT-Taqwa santuni bukan Islam

BERTAM, 16 Zulkaedah 1439H, Ahad – Mosque Open Day atau Hari Terbuka Masjid, program yang julung kalinya dianjurkan oleh PEACE, Islamic Da’wah Centre of Excellence kerjasama dengan Ikatan Muslimin Malaysia Seberang Perai Utara (ISMA SPU), Yayasan Ikhlas dan pihak Masjid At-Taqwa, Bertam Indah. Program yang diadakan di Masjid At-Taqwa, Bertam Indah ini menyasarkan masyarakat bukan Islam di sekitar Taman Bertam Indah.

“Alhamdulillah kerana diberi momentum untuk mengendalikan satu program menyantuni masyarakat bukan Islam di Taman Bertam Indah. Dengan usaha yang sekecil ini, PEACE berharap agar menjadi  titik tolak untuk mereka mendekati Islam dan menerima hidayah daripada Allah SWT”, ujar Pengarah Program Mosque Open Day, Ustaz Syazwan Menon.

Program ini membuka tirainya dengan sesi forum mahabbah dengan tajuk “Merungkai Kekhilafan” bagi menerangkan konsep sebenar Islam dan memecahkan persepsi negatif  masyarakat bukan Islam tentang Islam. Antara soalan yang ditanya salah seorang peserta adalah kenapa orang Islam tidak boleh memegang anjing. Ustaz Shah Shanmugam mengulas, “Anjing, kalau dia basah jadi najis. Kalau kering takpa. Tapi, kita pasti ka tangan kita sentuh anjing tu kering? Takkan tak berpeluh. Anjing pulak duk jilat bulu dia. Basah. Berbeza dengan kucing. Kucing antara haiwan yang bersih. Dalam lidah dia, ada bulu yang berfungsi untuk tapis bakteria,”.

Selesai  forum, para peserta didedahkan berkenaan sejarah Masjid At-Taqwa dan kemudahan yang terdapat di masjid tersebut. Antara kemudahan yang disediakan adalah ruangan solat yang mampu menampung jemaah seramai 1500 orang, dewan seminar, Pusat Dialisis, Bazar Wakaf Rakyat, Pusat Kitar Semula dan Taqwa Inn.

Para peserta juga dibawa melawat sekitar masjid. Mereka dibawa ke tempat wuduk dan di sana mereka didedahkan cara untuk berwuduk. Mereka juga berpeluang untuk mengambil wuduk sendiri setelah diberi penerangan oleh saudara baru. Setelah selesai berwuduk, mereka dibawa ke ruangan solat dan ditunjukkan cara menunaikan solat. Para peserta berasa sangat teruja untuk melakukan setiap pergerakan dalam solat.

Tambah menarik, sudut Street Dakwah dan Hijab Corner turut disediakan untuk menambahkan pengetahuan mereka untuk mengenali Islam. Di Street Dakwah, pelbagai risalah dan Al-Quran dalam pelbagai Bahasa Cina, Tamil, serta Inggeris disajikan. Malah, para peserta boleh mendapatkan penerangan daripada para urus setia yang menjaga sudut ini. Manakala Hijab Corner pula, sudut yang mempamerkan ala-ala mini fesyen bertudung tetapi mematuhi etika dan syariat Islam. Para peserta wanita Cina dan India tidak melepaskan peluang untuk bertudung dan berswafoto di sini. Tudung ‘shawl’ diberikan kepada mereka secara percuma.

Salah seorang peserta lelaki India berkata, “Sebelum ni kalau kami lalu depan masjid mesti rasa takut. Tak tau kenapa. Tapi, selepas berkunjung ke sini kami rasa boleh datang lagi lepas ni”, ujarnya.

Semoga, pengalaman ini menjadi titik tolak untuk mereka mendapat hidayah daripada Allah SWT dan menjadikan kita masyarakat Islam, mensyukuri nikmat Islam yang kita peroleh sejak lahir ini.

 

Oleh

Ahmad Muslihuddin Seman

Wartawan Biro Dakwah

ISMA Seberang Perai Utara