NAZIM Pulau Pinang pupuk penghayatan bulan Ramadhan dalam diri anak-anak

 

SUNGAI DUA, 10 Ramadhan 1439H, Sabtu – NAZIM Pulau Pinang telah menganjurkan program bersempena bulan Ramadhan pada minggu yang lalu. Kali ini diberi tema ‘We Love Ramadhan’. Program telah dianjurkan di dua buah surau iaitu Surau Al Furqan, Taman Sri Indah, Kepala Batas dan Surau Flat Mutiara Anggun, Sungai Nibong dengan penyertaan peserta keseluruhan seramai 30 orang.

Menurut pengarah program, Cik Nur Husnuzzan Azizan, tema kali ini dipilih seiring dengan bulan Ramadhan yang dilalui bersama. Objektif kali ini adalah untuk memberi kefahaman dan penghayatan yang lebih kepada anak-anak NAZIM tentang kepentingan berpuasa di bulan Ramadhan.

“Ada perkongsian tentang cara pemakanan yang sihat untuk anak-anak ini kekal bertenaga. Ada juga tayangan video dan hafalan surah dan doa berkenaan malam Lailatul Qadar. Selaku penganjur, besar harapan NAZIM Pulau Pinang agar mereka dapat lebih menghayati kelebihan-kelebihan yang ada di bulan mulia ini,” tambahnya.

Salah satu aktiviti menarik sepanjang program adalah penyampaian tazkirah berkenaan keistimewaan bulan Ramadhan. Di samping itu, anak-anak NAZIM juga diminta menghafal hafazan ringkas iaitu surah Al-Qadr dan doa mendapatkan malam Lailatul Qadar. Aktiviti yang lebih bersifat santai turut diadakan iaitu aktiviti ‘jom memasak popia berinti coklat’ dan teka silang kata. Menjelang akhir program, jamuan iftar NAZIM dengan kerjasama pihak surau turut berlangsung meriah.

Kebanyakan respon para waris menyatakan rasa gembira kerana anak-anak mereka dapat meluangkan masa dengan aktiviti yang bermanfaat pada hari tersebut. Respon positif dari salah seorang waris iaitu Puan Halina berkata, “Anak-anak sangat suka dengan pengisian tazkirah yang disampaikan pada hari ini!”.

 

Oleh,
Fatin Athirah Binti Abdul Aziz
AJK MEDIA NAZIM SPU