Ramadhan, anugerah terindah daripada Allah

SUNGAI DUA, 29 Sya’ban 1439H, Rabu – “Allah s.w.t mengurniakan Ramadhan bertujuan membersihkan dan menyempurnakan nikmatNya kepada kita, agar kita menjadi hambaNya yang bersyukur,” jelas Ustazah Norhayati dalam Forum Sembang Santai Ramadhan Untukmu Wanita bertempat di Surau Al-Falah, Taman Mahsuri pada petang Ahad yang lalu.

Hikmah Allah menghadiahkan Ramadhan kepada kita adalah untuk menyedarkan orang Mukmin bahawa Allah sentiasa mengawasi diri kita. Selain itu, Allah ingin agar umat Islam kembali meletakkan ketaatan kepada Allah dengan kehambaan yang tinggi iaitu ketika berpuasa.

Keyakinan kita bahawa Allah adalah pencipta dan Islam sebagai agama yang benar hanya akan terbukti melalui perbuatan dan ibadat kepada Allah, khususnya ibadah wajib seperti solat dan puasa. Bak kata pepatah, ilmu (pengetahuan) tanpa amal ibarat pohon tidak berbuah.

Kepayahan, lapar dan dahaga yang ditempuhi selama berpuasa, mendidik kita menjadi orang yang bersyukur sekaligus menyuburkan sifat mahmudah dalam diri. Bulan Ramadhan menggalakkan umat Islam memberi sedekah dan merasai kesengsaraan umat Islam yang dalam kesusahan contohnya di Palestin, Syria dan yang tertindas di seluruh dunia.

Kesungguhan orang- orang mukmin menjalani ibadah di bulan Ramadhan akhirnya menjadikan mereka orang- orang yang bertaqwa, melakukan segala suruhan Allah dan meninggalkan perkara maksiat yang ditegah Allah.

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (jawablah): sesungguhnya Aku (Allah) adalah dekat. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”

Surah Al Baqarah: ayat 186

 

Ambillah peluang berada di bulan Ramadhan ini dengan memanfaatkannya semaksimum mungkin. Semoga kita keluar dari madrasah Ramadhan ini dengan berubah dari segala segi. InsyaAllah.

Selamat menyambut Ramadhan Kareem !

 

Oleh

Siti Nurfarhana Bt Ahmad Puat

Wartawan Wanita ISMA SPU