Tangkis serangan syaitan dengan taqwa kepada Allah

SEBERANG JAYA, 4 Syaaban 1439H, Sabtu – “ Ketaqwaan kepada Allah s.w.t  ibarat ‘antibodi’ dalam diri manusia yang menyebabkan seseorang mampu menangkis serangan dari syaitan,” ujar Ustazah Norhayati Abdul Wahab dalam kupasan tafsir Surah An-Nisa ketika siri usrah wanita di Surau At-Taqwa Taman Sembilang, semalam.

Ketaqwaan perlu dibina dan dipelihara dengan menghadiri majlis ilmu, membaca Al-quran, melazimi zikir kepada Allah dan membantu anak-anak yatim dan orang-orang miskin. Pentingnya taqwa kerana ia akan menjaga iman iaitu keyakinan kita kepada Allah s.w.t.

Islam merupakan agama yang melibatkan hubungan sesama manusia. Allah amat menyukai orang-orang yang selalu memperbaiki dan menghubungkan silaturahim kerana ia adalah ciri orang bertaqwa.

“Sering kita dengar manusia diuji dengan pelbagai masalah antara manusia. Sebagai contoh, pergaduhan antara adik-beradik apabila ibu bapa telah tiada dan juga fitnah yang terjadi dalam keluarga mahupun kalangan masyarakat.”

“ Perlu kita ingat bahawa ujian sesama manusia itu hanya sedikit dan lebih baik jika dibandingkan ujian yang lebih besar apabila manusia  hilang pergantungan kepada Penciptanya. Semoga Allah menjauhkan diri kita dari ujian yang berat ini”, tambah Ustazah.

Manusia perlu sedar bahawa mereka diciptakan oleh Allah dari diri yang satu iaitu Nabi Adam. Oleh itu, mereka perlu saling menghormati dan tidak menzalimi manusia lain dalam menjalankan agama Allah.

 

Oleh,

Siti Nurfarhana binti Ahmad Puat

Wartawan Biro Wanita

ISMA SPU