Sahabat Beliawanisku (2) – Another Day

Seperti yang dijanjikan, aku, Aini dan Amani turun ke foodcourt untuk membeli makanan berbuka. Dalam perjalanan menuju ke sana, kami ditahan oleh seorang kakak. Nak kata dia kakak senior tapi waktu semester interim hanya melibatkan pelajar part 1 sahaja. Katanya ada taklimat Kelab Pembina buat mahasiswi di surau dan makanan untuk berbuka juga disediakan. Tambahnya, tiada paksaan jika tidak berminat.

Rasa ingin tahuku semacam diumpan. Bukan kerana ingin tahu apa makanan berbuka yang akan diberikan tetapi ingin tahu tentang taklimat Kelab Pembina yang dikatakannya tadi. Tanpa berfikir panjang, aku mengajak mereka berdua untuk ke surau mendengar taklimat yang dikatakan kakak tadi. Pada mulanya, mereka enggan. Setelah aku pujuk, barulah mereka bersetuju dengan cadangan itu.

“Assalamualaikum wbt. Nama diberi Nur Farhana Diana Binti Khairul Anuar. Kalian boleh panggil akak, Kak Ana. Kak Ana wakil dari Kelab Pembina ingin mengucapkan terima kasih kepada adik-adik kerana sudi menghadiri taklimat ringkas kita pada petang ini. Bukan kami semua yang memilih kalian tapi Allah lah yang telah memilih maka bersyukurlah kerana kamu semua insan yang terpilih. Selamat datang juga ke Universiti Teknologi Mara Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam. Semoga kalian menikmati detik-detik menjadi mahasiswi yang cemerlang di universiti ini sebaik mungkin,” ucapan pembukaan daripada Kakak Farhana mewakili rakan-rakannya yang lain.

Kami diberikan template pengenalan Kelab Pembina dan diminta untuk mengisikan nama masing-masing serta beberapa maklumat peribadi pada borang ahli baru Kelab Pembina. Sementara itu, Kak Ana memberikan penerangan tentang kelab dan aktiviti yang akan diadakan sepanjang semester satu. Daripada pengkongsian yang diberikan oleh Kak Ana, PEMBINA ialah singkatan daripada Persatuan Belia Islam Nasional.

Antara objektif kelab ini adalah menjelaskan peranan utama mahasiswa dan belia dalam aspek pembangunan diri, masyarakat dan negara. PEMBINA juga berhasrat menyedarkan golongan belia akan kepentingan dan kebolehan menjadi pemimpin dalam setiap aspek kehidupan, melahirkan kesedaran kepentingan aktivisme bagi melahirkan pemimpin dalam setiap bidang yang diceburi dan mengingatkan kembali akan kekuatan umat Islam dan kemampuan dalam mentadbir negara serta membentuk sebuah tamadun yang hebat.

Kami diminta untuk membentuk beberapa kumpulan yang terdiri daripada 10 ahli. Aku, Amani dan Aini duduk di bahagian paling hadapan dalam barisan agar kami dapat menjadi satu ahli kumpulan.

Setelah itu, kami bersurai dan dibekalkan sebungkus polisterina yang berisi makanan. Lauk berbuka hari ini ialah ayam masak merah dan sayur kubis masak lemak. Sedap sungguh. Alhamdulillah. Kata Kak Ana, kami akan dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp masing-masing dan dibimbing oleh seorang kakak PEMBINA bagi setiap kumpulan. Setiap Ahad sepanjang bulan Ramadan akan diadakan tadarus Al-Quran bersama kakak PEMBINA masing-masing.

Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, aku mula risau. “Aku sudah lama tak mengaji, ilmu agama aku tak lah tinggi mana. Segan lah aku nanti,” rungutku sendirian.

Sebaik sahaja sampai di rumah, semua ahli sudah pun berkumpul di ruang tamu termasuk Syahida dan Nisa. Mungkin mereka menunggu waktu berbuka sambil berkenalan. Aku dan Aini memberi salam sebelum masuk ke rumah lalu bersalaman dengan mereka.

“Anis, Husna, Adibah dan Nabihah. Harap senang lah Ika nak ingat nama korang ni. Ika susah sikit nak ingat nama orang. Apatah lagi muka korang ada yang lebih kurang.” Gurauku sambil tersenyum menampakkan gigi yang tak berapa nak tersusun.  Mulai hari ini dan sepanjang semester satu ini, Aini, Syahida dan Nisa lah yang akan menjadi rakan serumahku. Susah aku, gembira aku dan sakit aku dengan mereka lah aku akan menumpang kasih.  Harap mereka supporting dan friendly.

 

Allah Is The Best Planner

**********

 

Hari yang dijanjikan telah pun tiba. Petang Ahad kami diisi dengan usrah dan tadarus Al-Quran secara beramai-ramai. Aku tidak sabar mahu bertemu dengan kakak usrah kumpulan kami. Kami hanya berkenalan secara ringkas dua tiga hari lepas via aplikasi WhatsApp dalam group ‘Beliawanis Bertadarus’. Nur Afrina Batrisya. Ingin dipanggil sebagai Kak Ina.

Aku mengambil baju kurung yang sudahku gosok pagi tadi di dalam almari lalu menyarungkannya. Aku dan rakan serumahku turun ke surau bersama. Syahida dan Nisa tidak turut sama kerana mereka pulang ke rumah.

Setibanya di sana, Kak Ina sudah pun menanti kami. Perkara yang memeranjatkan terjadi apabila rakan-rakan serumahku adalah daripada kumpulanku juga. Aku membuka aplikasi Whatsapp dan meneliti ahli kumpulan ‘Beliawanis Bertadarus’. Nama-nama mereka tertera pada skrin telefonku. Bagaimana aku boleh tidak perasan?

Majlis dimulakan dengan solat asar berjemaah dan diteruskan dengan tadarus al-quran dalam kumpulan masing-masing. Majlis diakhiri dengan slot tazkirah yang ringkas. Seterusnya, kumpulan kami diberikan tugasan untuk bertadarus dari juzuk 13 hingga juzuk 15.

Aktiviti diteruskan setelah selesai solat berjemaah. Debaran untuk tiba giliran aku memulakan bacaan semakin terasa. Aku terpegun dengan bacaan salah seorang ahli kumpulan kami. Ternyata bacaan yang lunak tadi milik rakan serumahku, Nabihah. Sekian lama aku tidak mendengar bacaan yang dapat menggetarkan hatiku.

Alhamdulillah. Walaupun ada tersekat-sekat semasa membaca, tetapi masih dikira lancar. Selesai berbuka dan solat Maghrib, aku bertandang ke bilik sebelah, bilik Nabihah. Pasti waktu begini dia akan mengaji sementara menunggu solat isya’. Sangkaan aku tepat. Sungguh syahdu aku mendengarnya. Bagi mengelak rasa janggal, aku berpura-pura bermain telefon sambil bersandar di katil Adibah rakan sebiliknya. Adibah yang duduk di meja belajarnya sedang menyiapkan assignment bagi kod subjek CTU 101.

Gambar-gambar di Instagram hanya aku lihat sepintas lalu. Aku lebih tertarik dengan bacaan Nabihah berbanding dengan gambar-gambar yang dikirimkan oleh rakan-rakan mayaku. Dalam keasyikan dan sebak mendengar bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripadanya, tanpa disedari air mataku menitis.

Setiap kali selepas Maghrib aku pasti meluangkan masa bersama Nabihah. Alhamdulillah, dia tidak kisah, lagipun minggu interim tidaklah sesibuk mana. Hanya tiga subjek yang perlu ditumpukan. Adibah juga mengatakan dia tidak berasa terganggu kerana kebiasaannya dia hanya habiskan masa dengan membaca buku-buku ilmiah sementara menanti waktu isya’ tiba.

Subhanallah. Semakin aku mengenalinya, semakin banyak perkara yang aku tahu. Sememangnya ilmu yang dimilikinya tidak setanding ilmuku. Walaupun umur kami sama, namun dia lebih matang dalam bait-bait katanya dan tingkah lakunya berbanding aku. Daripada kisah-kisah Nabi, isi-isi ceramah yang didengarinya, teladan yang diperoleh daripada novel-novel dan buku agama, cerita-cerita dan filem yang ditonton sehinggalah pengalaman dan kisah hidup dikongsikannya kepadaku. Semuanya ada perkara positif yang dapat aku teladani.

Dia juga yang buat aku jatuh cinta kepada Bahasa Arab. Aku yang dulunya ingin sekali belajar bahasa mandarin di universiti kerana rakan-rakan sekolahku kebanyakannya berbangsa cina kini boleh berubah tiba-tiba hendak belajar bahasa syurga. Itupun bukan kerana permintaan Nabihah, tetapi aku sendiri yang ingin mempelajarinya kerana aku dapat merasakan keindahannya Bahasa arab. Aku ingin memahami setiap ayat dalam Al-Quran. Dia juga sukarela menawarkan diri untuk membantu aku jika mahu belajar bahasa itu.

Masih segar dalam ingatanku pada suatu ketika minggu interim, ketika itu dia sedang asyik mengulang hafazan surah yusuf. Menyedari kehadiranku di biliknya, dia menghabiskan bacaannya dahulu, lalu bertanyakan aku tentang kisah yusuf. Aku terkedu.

“Setahu Ika, Nabi Yusuf ni seorang lelaki yang sangat kacak sehingga ada wanita yang menawarkan diri untuk menidurinya tetapi Nabi Yusuf menolak ajakannya lantaran takutkan azab Allah. Eh, betul ke?,” jawab aku dengan keraguan.

“Ha ah, betul lah tu. Ika tahu, ada banyak lagi cerita hidup Nabi Yusuf yang boleh dijadikan teladan? Allah menceritakan secara terperinci Kisah Nabi Yusuf dalam Surah Yusuf,” tambahnya lagi.

“Kalau Bi tidak keberatan ceritalah kat Ika,” pujukku dengan nama panggilan manjanya.

“Boleh, apa salahnya? Alang-alang nak tunggu waktu berbuka kan?,” balasnya tanda setuju dengan permintaanku.

Dia pun menceritakan satu per satu daripada kisah baginda. Sifat cemburu buta saudara-saudara Nabi Yusuf kerana dimanjakan oleh ayahnya, Nabi Ya’qub sehingga sanggup membunuh saudaranya itu. Nabihah juga menceritakan bagaimana baginda dimasukkan ke dalam penjara dan akhirnya mampu menduduki tampuk kepimpinan di Mesir. Diceritakan juga kehebatan Nabi Yusuf menakwilkan mimpi. Sehinggalah peristiwa pertemuan semula baginda dengan ayahnya. Kadang-kadang diselitkan juga ayat-ayat daripada Surah Yusuf olehnya dan jika berlaku ketidakpastian, dia akan merujuk surah tersebut semula. Yang hebatnya, dia mampu ingat jalan cerita dan peristiwa-peristiwa tersebut berdasarkan ayat yang keberapa. Disitulah aku dapati bahawa dia sememangnya benar-benar menghayati surah tersebut.

“Apa yang Ika dapat daripada kisah ni?” Tanya Nabihah setelah tamat berkongsi kisah Yusuf kepada aku.

“Emm… penderitaan merupakan permulaan daripada kebahagiaan yang tidak diduga, kita kena banyak bersabar, kuat melawan nafsu, janganlah juga kita terlalu membeza-bezakan anak kita dan kita juga harus memiliki sifat pemaaf dalam diri. Akhir sekali, kita kena percaya akan balasan daripada Allah dengan apa yang telah kita lakukan,” jawabku.

“Yap. Bagus! Ika boleh amalkan doa Nabi Yusuf ni. Dalam surah Yusuf ayat 101. Yang bermaksud ‘Ya Tuhanku, matikanlah aku dalam keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang soleh’. Jap eh, Bi tuliskan,” katanya lalu mengambil sehelai kertas kajang di dalam begnya. Aku memerhatikan tulisan tersebut.

“Okay, nah,” ujarnya sambil menghulurkan kertas kajang itu kepada aku.
“Bi ada tuliskan juga beberapa lagi doa dari Al-Quran yang boleh Ika amalkan. Maksud ayat ni Ika cari and salin dari Al-Quran ye? Task for today okay? Ada masa lagi Bi kongsikan lagi ye,” tambahnya.

“Terima Kasih Bi,” kataku kepadanya.

Aku terjaga daripada lamunan panjang. Teringat yang aku masih simpan kemas kertas itu. Aku pun mengambil kertas pemberiaanya yang diselitkan di dalam planner bulananku. Cantik dan kemas tulisan arabnya. Tertulis padanya Surah yusuf:101, Surah An-Namlu:19, Surah Al-Ahqaf:15, Surah Al-Furqan:74 dan Surah Sad: 35 berserta maksudnya yang aku tulis dibawah ayat-ayat Al-Quran yang ditulisya.

Walaupun baru sahaja aku kenal namun bertapa mudahnya untuk bermesra dengannya. Nabihah tidak pernah kedekut ilmu dan tidak pernah memperlekehkan aku walaupun banyak benda yang belum aku teroka. Dia juga menerima aku seadanya dan selalu memberikan kata-kata semangat andai aku terjatuh. Sungguh rindu aku akannya.

 

Another Day

**********

 

Nukilan,

Nur Fahimah Atikah Binti Rahim

No ahli PEMBINA: 49128

Aktivis PEMBINA Pulau Pinang