Kelab Anak-Anak Hebat NAZIM Pulau Pinang Anjur ‘Smart Solat’

SUNGAI DUA, 9 Syaaban 1439H, Rabu – Kelab Anak-anak Hebat (NAZIM) Pulau Pinang pada bulan April ini tampil menjayakan program Bengkel “Smart Solat” di tiga tempat di sekitar Pulau Pinang. Diadakan pada  14 April dan 21 April yang lalu, program NAZIM kali ini mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat dengan jumlah keseluruhan seramai 106 peserta terdiri daripada kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun.

Tiga tempat tersebut adalah Surau Al-Ittihad Kulim Perdana, Kulim, Surau Al-Furqan Taman Sri Indah, Kepala Batas, dan Surau Flat Mutiara Anggun, Sungai Nibong.

Menurut Pengarah Program, Wafa Elyani Abdul Rahim, tema “Smart Solat” bertujuan melatih dan mendidik anak-anak NAZIM untuk menguasai cara berwuduk dan doa wuduk secara sempurna. Peserta juga belajar secara praktikal cara menunaikan solat ketika sakit  iaitu dengan baring, duduk atas kerusi, duduk melunjur ataupun isyarat mata.

“Kami harap anak-anak ini sedar bahawa solat itu adalah wajib dan perlu solat meskipun ketika sakit. Seiring dengan matlamat NAZIM untuk melahirkan biah yang soleh dan solehah, kami harap program berkenaan solat ini mengajar anak-anak ini mencintai Allah dalam keadaan susah ataupun senang, sihat ataupun sakit”, ujarnya.

Sesuai dengan memperingati peristiwa agung Israk Mikraj, tazkirah bulan ini berkisar kepada bagaimana kewajipan solat itu difardhukan kepada umat Islam, iaitu apabila Rasulullah s.a.w berjumpa dengan Allah di Sidratul Muntaha dan mendapat perintah untuk menunaikan solat.

Sesi hafazan pula mengetengahkan hafalan Surah Ibrahim ayat 40 yang bermaksud:

“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku”.

Semoga program kali ini bermanfaat untuk peserta NAZIM semua dalam usaha membina diri anak-anak ini menjadi soleh dan solehah.

 

Oleh

Nur Husnuzzan bt Azizan

Wartawan NAZIM Pulau Pinang

ISMA Seberang Perai Utara (SPU)