Pemuda ISMA Seberang Perai Utara ‘ghabat’ Teluk Kampi

GEORGETOWN, 19 Mac – Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Pulau Pinang terus mengetengahkan misi Ghabat Gunung 2018 di Teluk Kampi yang berteraskan budaya hidup sihat kepada pemuda.

Ketua Pemuda, Muhamad Zulazmi Saidin berkata, penganjuran kali kedua ini mendapat sambutan menggalakkan.

“Alhamdulillah, program ini dapat berjalan dengan lancarnya. Harapan kita adalah supaya ghabat gunung ini akan mendapat sambutan yang lebih meriah berbanding sebelum ini. Sasaran hiking seterusnya adalah di Gunung Pulau pada bulan Mei,” katanya.

Dalam tazkirah ringkasnya, Muhamad Zulazmi Saidin mengingatkan bahawa peserta menggunakan peluang yang ada dengan melaksanakan perkara yang menambah amal akhirat.

“Jiwa manusia ini kosong, jadi manusia akan sentiasa akan memenuhi kehendak jiwa mereka yang kosong dengan sesuatu perkara dalam kehidupan ini. Rugilah manusia yang memenuhi jiwanya dengan kehendak nafsu semata-mata, dan beruntunglah bagi mereka yang memenuhi jiwa mereka dengan agama dan syariat Allah SWT,”.

“Bagaimana kesungguhan kita dalam mendaki, begitu jugalah kita perlu bersungguh dalam mengerjakan ketaatan kepada Allah SWT. Kita bukan sekadar panjat semata-mata, tetapi kita sentiasa memanfaatkan perjalanan kembara ini untuk melihat kebesaran Allah SWT serta bertambah keimanan dan keyakinan kita terhadap agama Allah SWT ini,” ujarnya.

Sementara itu, peserta, Harun Majidin berkata pengalaman kali kedua menyertai program kali ini cukup bermakna.

“Program ini bukan sekadar mendaki gunung bahkan mengingatkan kita kepada agama Allah SWT. Saya merasa sangat dekat dengan Islam apabila menyertai program anjuran Pemuda ISMA seperti ini. Saya berharap saya akan dapat mengikuti segala program anjuran Pemuda ISMA termasuk program ghabat gunung yang seterusnya.”

Oleh Muhamad Zulazmi Saidin

Ketua Pemuda ISMA Pulau Pinang