NAZIM Tanjung Bereksperimen Sambil Mendidik

SUNGAI NIBONG, 27 Jamadil Akhir 1439H, Khamis – Dengan matlamat untuk melahirkan persekitaran yang soleh dan solehah sedari usia kanak-kanak, NAZIM Tanjung sekali lagi menganjurkan program bulanannya bagi bulan Mac ini di Surau Flat Mutiara Anggun, Sungai Nibong pada Ahad minggu lalu.

Program NAZIM kali ini bertemakan “i-Backyard Science”, iaitu mengetengahkan eksperimen sains dalam mempelajari Al-Quran. Penyertaan seramai 20 orang yang diterima terdiri daripada kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia 7 hingga 12 tahun yang tinggal di sekitar kejiranan Sungai Nibong ini.

Ujar Pengarah Program, Cik Azidatul Anis Aziz,  “Tema kali ini dipilih supaya dapat menanam azam dalam diri anak-anak NAZIM untuk menjadi orang yang lebih beriman. Harapnya mereka lebih sedar bahawa mereka ada pilihan yang baik dan yang buruk. Secara tidak langsung, anak-anak akan takut untuk melakukan dosa”

“Istimewa kali ini, ada eksperimen yang mengaitkan sains dan Islam dalam suasana santai. Eksperimen ini berkaitan ketumpatan warna, yakni ibaratnya bila kita buat dosa, jika tidak segera memohon maaf dan dibersihkan, ia akan berat dan tertanam jauh dalam diri”, tambahnya.

Bagi sesi hafazan, para peserta NAZIM Mac ini ditugaskan menghafal Surah Asy-Syams ayat 8 hingga 10 yang berkaitan dengan pilihan hati;

“Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaannya {8} Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan (jiwa)nya {9} Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya {10}”

Menurut Cik Syarifah Mohammad, dalam tazkirahnya berkata, “Dalam eksperimen tadi, lapisan warna paling tumpat akan mendap di bawah sekali. Lapisan tersebut ibarat macam dosa. Bila dipenuhi titik-titik hitam dosa, ia bertampuk-tampuk dalam diri. Kalau dibiarkan, lama-kelamaan makin jauh tertanam dalam hati”.

“Itulah simbolik hati yang tidak dibersihkan. Hati ini kita kena selalu cuci. Biar sentiasa bersih. Hendak cuci hati ini perlu pelbagai cara. Antaranya, jaga solat, baca Quran, zikir, dengar cakap ibu ayah dan sebagainya,” tambah beliau.

 

Oleh

Nur Husnuzzan bt Azizan

Wartawan NAZIM Seberang Perai Utara