NAZIM Kulim Didik Jaga Kebersihan Hati

KULIM, 24 Jamadil Akhir 1439H, Isnin – NAZIM begitu sinonim dengan matlamatnya untuk melahirkan biah yang soleh dan solehah. Susulan itu, program NAZIM Kulim sekali lagi diadakan di Surau Al-Ittihad Kulim Perdana, Taman Berteknologi Tinggi Kulim pada Jumaat lepas. Untuk bulan Mac ini, program bertemakan “i-Backyard Science”.

Menurut Pengarah Program, Nur Husnuzzan Azizan, penyertaan diterima sangat baik iaitu seramai 59 orang kanak-kanak, terdiri daripada lelaki dan perempuan berusia antara 7 hingga 12 tahun. Bulan ini, NAZIM mendidik anak-anak menjaga hati untuk menjadi orang yang lebih beriman. Secara tidak langsung, mereka akan takut untuk melakukan dosa.

“Menariknya, kali ini kita tampilkan eksperimen yang mengaitkan sains dan Islam dalam suasana santai. Eksperimen ini berkaitan ketumpatan warna. Ibarat macam kita buat dosa, jika tidak segera dibersihkan, ia akan berat dan tertanam jauh dalam diri,” ujarnya.

Memetik tazkirah yang disampaikan oleh Puan Balkhis Hamid, “Hati ini kita kena sentiasa jaga. Biar sentiasa bersih. Nampak kita buat eksperimen tadi? Lapisan warna itu macam dosa. Bila dipenuhi titik-titik hitam dosa, ia bertampuk-tampuk dalam diri. Kalau dibiarkan, lama-kelamaan makin jauh tertanam dalam hati.”

“Simbolik macam kuali ini juga, hitam berkerak. Macam itulah ibaratnya hati yang tidak dibersihkan. Hendak cuci hati ini, banyak cara. Antaranya, jaga solat, baca Quran, zikir, dengar cakap ibu, ayah dan sebagainya,” katanya.

Bagi hafazan, anak-anak NAZIM dikehendaki menghafal Surah Asy-Syams ayat 8 hingga 10 yang bermaksud;

“Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaannya {8} Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan (jiwa)nya {9} Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya {10}”

Semoga program kali ini bermanfaat untuk anak-anak NAZIM dalam usaha menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.

 

Oleh

Nur Husnuzzan bt Azizan

Wartawan Kelab NAZIM Kulim