Allah, Pencipta Yang Maha Esa

SEBERANG JAYA, 3 Rejab 1439H, Rabu – “Tiada ibadah melainkan hanya kepada Allah dan keimanan kepada Allah Yang Maha Esa adalah perkara paling asas dalam kehidupan”, jelas Ustazah Norhayati  dalam siri Usrah Wanita yang diadakan di Surau At-Taqwa Taman Sembilang pada Sabtu, 17 Mac lalu.

Melalui perkongsian tafsir Surah Al-Fatihah ini, Ustazah Norhayati mengingatkan bahawa sebagai hamba Allah yang beriman, kita wajib  meletakkan segala puji dan syukur hanya padaNya.

Seterusnya, kita wajib meyakini bahawa Allah yang berkuasa mendidik, menjaga dan memelihara semua makhluk dan alam ini. Sebagai manusia, kita perlu meletakkan rasa kebergantungan dan meminta pertolongan hanya kepada Allah.

Jelas Ustazah lagi, aqidah adalah asas bagi agama Islam dan asas dalam kehidupan manusia. Tanpa aqidah yang benar dan kuat dalam hati mahupun pemikiran manusia, kehidupan tersebut tidak akan berjaya  diamalkan mengikut  sistem hidup Islam sebenar.

Hal ini terbukti apabila lahir pelbagai pemikiran di luar kerangka Islam seperti liberalisma dan pluralisma. Golongan Islam liberal mengajak umat Islam menafsir ayat-ayat Al-quran berdasarkan ilmu akal dan nafsu semata-mata. Sehinggakan mereka ini memperjuangkan semua agama adalah sama iaitu harus mengiktiraf semua agama adalah benar. Pandangan ini tidak boleh diterima.

Oleh itu, umat Islam terutamanya bermula dari institusi keluarga harus peka dengan ancaman-ancaman semasa yang melanda terutama yang berkaitan dengan aqidah Islam. Sama-sama kita hayati dan fahami maksud sebenar al-Fatihah yang selalu kita baca 17 kali sehari ini.

“Lengkapkan diri dengan ilmu dan aqidah yang benar supaya  kita berada di atas jalan yang lurus dan hidup hanya bertuhankan Allah Yang Esa”, tambah beliau.

 

Oleh

Siti Nurfarhana Bt Ahmad Puat

Wartawan Wanita ISMA SPU