Selamat Pengantin Baru, Fareez dan Fathihah

KOTA BHARU, 5 Jamadil Akhir 1439H, Khamis – Ucapan tahniah diucapkan oleh warga Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Seberang Perai Utara (SPU) kepada pasangan pengantin baru, Mohd Fareez bin Abdullah dan isteri, Siti Nor Fathihah binti Azahari.

Pasangan Fareez, aktivis ISMA SPU dan Fathihah, aktivis ISMA Perlis ini telah selamat diijab kabul selepas solat Jumaat pada 16 Februari yang lalu. Keesokannya, Sabtu 17 Februari, majlis walimah bagi pihak perempuan berlangsung meriah di kediaman keluarganya di Taman Guru, Tanah Merah, Kelantan.

Majlis kesyukuran sebelah pengantin lelaki pula diadakan pada 18 Februari, Ahad bertempat di Kampung Alor Bakat, Melor, Kota Bharu, Kelantan. Jamuan makan berjalan lancar dari pukul 12 tengah hari sehingga 5 petang, dengan kehadiran keluarga terdekat, sahabat handai, aktivis ISMA serta jiran tetangga, yang sama-sama meraikan penyatuan dua jiwa ini.

Seluruh warga ISMA SPU mengharapkan ikatan yang dibina melahirkan rumah tangga muslim qudwah kepada masyarakat selain sentiasa dilindungi dan berada di bawah lembayung rahmat Allah S.W.T.

Doa kami kepada pasangan pengantin,

 “Barakallahulakuma wabarakallahulakuma wa jam’a bainakuma fi khayr”

Maksudnya:  Semoga Allah memberkati kamu berdua dan melimpahkan berkat dan menghimpunkan kedua kamu di dalam kebaikan.

Semoga Allah memberkati bait muslim yang dibina. Moga rumah tangga pasangan Fareez dan Fathihah diberikan sakinah, mawaddah dan rahmah senantiasa, insyaAllah amin.

 

 

Oleh

Noradawiyah Nordin

Wartawan ISMA SPU