NAZIM Didik Berbakti Kepada Ibu Bapa

KEPALA BATAS, 24 Jamadilawal 1439H, Sabtu-  Program anjuran NAZIM Seberang Perai Utara (SPU) bertemakan ‘Birrul Walidain’ telah berlangsung dengan jayanya di Surau Al Furqan, Taman Sri Indah, Kepala Batas, Pulau Pinang hujung minggu lalu. Penyertaan yang diterima sangat baik, merekodkan seramai 31 orang peserta terdiri dari kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun.

Menurut Pengarah program, Puan Norshuhada Sha’ari berkata, program ini bertujuan menerapkan nilai cinta anak-anak terhadap ibu bapa. Beliau berharap dengan adanya pelbagai aktiviti yang telah dijalankan, anak-anak NAZIM lebih memahami konsep ‘Birrul Walidain’ yang bermaksud berbuat baik kepada kedua ibu bapa.

“Kami mahu anak-anak NAZIM tahu dan faham bahawa cinta kepada ibu bapa sangat dituntut agama berbanding cinta kepada kawan berlainan jantina yang acapkali berlaku dalam masyarakat sekarang,” tambahnya.

Program yang sama turut berjalan serentak di Syukbah Tanjung iaitu di Surau Flat Mutiara Anggun, Sungai Nibong, Pulau Pinang. Program kali ini menerima kehadiran seramai 22 orang peserta; terdiri daripada 11 orang lelaki dan 11 orang perempuan.

Menurut Pengarahnya, Cik Siti Norfarhana Bt Ahmad Puat, tazkirah ringkas dan aktiviti-aktiviti yang diadakan diharapkan dapat membantu anak-anak NAZIM untuk terus menjadi anak soleh yang sentiasa mendoakan dan berbakti kepada kedua ibu bapa.

Anak-anak NAZIM kali ini menghafal Surah An Nisa’ ayat 36 yang berbunyi “Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukannya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada kedua orang ibu bapa”. Turut dihafal adalah Hadis berkaitan keredhaan ibu bapa, yang diharapkan memberi semangat untuk anak-anak ini menjadi anak soleh dan solehah.

Aktiviti yang lebih santai diteruskan dengan penghasilan sendiri kad ucapan oleh para peserta dengan bantuan fasilitator. Tayangan video berkaitan berbakti kepada ibu bapa juga ditayangkan bagi menerapkan rasa cinta yang lebih tinggi kepada ibu dan ayah. Pada akhir sesi, anak-anak seronok dapat memberi bunga ros kepada ibu bapa masing-masing.

Kebanyakan respon para waris menyatakan rasa terharu kerana mendapat hadiah kad dan bunga ros dari anak mereka.

Puan Emmyza, ibu salah seorang peserta menyatakan rasa gembira selepas menerima kad ucapan yang cantik dan bunga ros daripada anak-anaknya yang pulang dari program NAZIM ini. Beliau berharap agar program sebegini dapat diadakan pada masa akan datang dan mendapat sambutan yang lebih menggalakkan dari penduduk setempat.

 

Disediakan oleh,

Fatin Athirah Abdul Aziz

Wartawan NAZIM Seberang Perai Utara