Mahasiswa tolak Valentine Day

Tanggal 14 Februari merupakan tarikh yang ditunggu-tunggu oleh pasangan kekasih, tidak kira sama ada bangsa apa sekali pun. Bagi pasangan kekasih, hari Valentine adalah hari yang istimewa untuk menzahirkan perasaan cinta kepada pasangan masing-masing. Namun, ramai yang tidak menyedari terdapat kisah di sebalik kewujudan hari Valentine yang mana ia mampu mengancam akidah umat Islam.

Apa sebenarnya hari Valentine? Ia mengisahkan tentang hari kematian seorang paderi Kristian yang bernama St Valentine. Yang mana kisahnya bermula sebelum St Valentine di bunuh, iaitu ketika beliau berada di dalam penjara. Beliau telah jatuh cinta dengan seorang anak pegawai penjara dan sempat menulis sepucuk surat cinta kepada perempuan tersebut di akhir hayatnya, dengan bertanda-tangan:

“From Your Valentine”.

 Sempena memperingati peristiwa itu, maka orang kristian pun mengambil tarikh kematian St Valentine ini untuk menyambut hari Valentine, iaitu pada 14 Februari setiap tahun. Jika dilihat dari konteks sejarah ini. Hari valentine sebenarnya adalah hari memperingati paderi mereka, dan ia merupakan perayaan agama.

Sebagai seorang mahasiswa muslim seharusnya menolak sekeras-kerasnya sambutan hari Valentine kerana ia mengancam akidah umat Islam dan sama sekali tiada dalam ajaran agama Islam.

Tambahan lagi, ia menyumbang kepada dosa dan maksiat secara berleluasa kerana waktu inilah mereka mengambil peluang untuk meluangkan masa bersama pasangan masing-masing secara terang-terangan sedangkan ia adalah salah dalam syariat Islam. Masa yang terluang digunakan untuk menonton wayang, berdua-duaan di pusat rekreasi tanpa rasa segan silu. Bukankah itu secara jelasnya adalah dosa di sisi Islam?

Selain itu, mahasiswa juga terdedah dengan budaya barat sehingga menjadi ikutan dan trend masa kini. Sudah tentu ramai mahasiswa yang bertanya,

“Apa salahnya jika menyambut Hari Valentine?”

Secara terang-terangan, terdapat firman Allah dalam Al-Quran menyebut bahawa :

“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah.

(Surah Al-An’am : 116)

Rasulullah juga pernah bersabda, “Barang siapa meniru satu kaum, maka dia termasuk dalam kaum tersebut.”

(Hadis Riwayat Tarmizi)

Justeru, Hari Valentine ini perlu ditolak sekerasnya oleh semua golongan khususnya mahasiswa agar kesan buruk dapat dielakkan pada masa akan datang.

#SayNotoValentine

#MahasiswaTolakValentine

 

Nurul Suhaida Ibrahim

Jawatankuasa cawangan Pembina Pulau Pinang