Jauhi sifat sombong dan takabbur

 

SEBERANG JAYA, 6 Jamadil Akhir 1439H, Jumaat – “Jauhi sifat sombong dan takabbur kerana ia punca kepada segala keburukan. Pelakunya akan dimasukkan ke dalam api neraka, ” jelas Ustazah Norhayati Abdul Wahab dalam siri usrah wanita di Surau At-Taqwa, Taman Sembilang, Seberang Jaya, Pulau Pinang, Sabtu lalu.

Dalam tafsir surah Luqman ayat 18, Luqman menasihati anaknya supaya  tidak sombong dan angkuh ketika bergaul dengan masyarakat.

Sifat sombong timbul apabila merasa besar diri dengan nikmat yang dikurniakan Allah seperti harta kekayaan, anak pinak dan kemegahan, serta tidak bersyukur atas pemberian tersebut. Orang sombong selalu memperkecilkan orang lain dan menolak kebenaran akibat rasa kagum pada diri sendiri.

Rasulullah s.a.w mengingatkan kita dalam hadis riwayat Muslim bahawa, “Tidak masuk syurga sesiapa yang ada di dalam hatinya walau sedikit sifat sombong.”

Sifat sombong menjadikan seseorang tidak berusaha untuk berbuat kebaikan, sedangkan Allah tidak menjamin dirinya termasuk dalam golongan orang yang baik. Malahan, tiada jaminan bahawa kita akan berterusan menjadi orang yang baik pada masa depan.

Manusia hanya dapat melihat yang zahir, tetapi Allah jua yang menilai batin seseorang  itu. Oleh itu, bimbinglah anak-anak supaya mengamalkan adab dan berakhlak mulia sepanjang masa seperti yang dituntut oleh agama Islam.

“Pertama, ketika bercakap dan bersalaman dengan manusia, pandanglah wajah mereka, dan berikan senyuman yang ceria. Jangan memotong kata-kata mereka, sabar dan dengarlah ucapan mereka sepenuhnya,” ujar Ustazah Norhayati.

“Kedua, jangan berjalan di muka bumi Allah dengan rasa angkuh tetapi melangkahlah dengan sederhana dan tidak tergopoh-gapah ,” tambah beliau.

 

Oleh

Siti Nurfarhana Bt Ahmad Puat

Media Wanita ISMA SPU