Anak-anak Hebat NAZIM Kulim Cintakan Ibu Bapa dalam ‘Birrul Walidain’

KULIM, 28 Jamadilawal 1439H, Rabu – NAZIM Kulim tampil menganjurkan program bertemakan  “Birrul Walidain” bertempat di Surau Al-Ittihad Kulim Perdana, Taman Berteknologi Tinggi Kulim pada Sabtu yang lalu. Program kali ini disertai 46 orang peserta, terdiri daripada kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia antara 7 hingga 12 tahun.

Menurut Pengarah Program, Wafa Elyani Abdul Rahim, Program ‘Birrul Walidain ini bertujuan menerapkan kembali rasa cinta anak-anak kepada ibu bapa. Anak-anak NAZIM dingatkan bahawa cinta dan berbakti kepada ibu bapa sangat dituntut dalam Islam.

“Kami di NAZIM mempunyai matlamat untuk melahirkan biah yang soleh dan solehah sejak anak-anak kecil lagi. Masyarakat sekarang, jika disebut cinta, hanya memikirkan ke arah cinta berlainan jantina. Oleh itu, konsep kali ini dipilih. Saya harap peserta NAZIM memahami konsep sebenar “Birrul Walidain” yang bermaksud berbuat baik kepada kedua ibu bapa.

Memetik tazkirah yang disampaikan Ustazah Wan Nor Anisah Wan Abdullah, “Anak-anak perlu sentiasa doakan mama, ummi, mak, abi, ayah, walid dan panggilan yang sewaktu dengannya. Ini salah satu cara kita berbakti kepada mereka.”

“Kalau mereka minta tolong, segeralah sahut dan tolong. Jangan berlengah. Besarnya pengorbanan ibu melahirkan kita, dan begitu juga pengorbanan seorang ayah. Justeru, kita kena berbuat baik kepada kedua-duanya,” ujarnya.

Sesi hafazan kali ini, mengetengahkan hafalan Surah An-Nisa’ ayat 36 yang berbunyi “Sembahlah Allah dan jangan menyekutukanNya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua orang ibu bapa” dan hafalan hadis berkaitan keredhaan ibu bapa.

Aktiviti kali ini tambah menarik dengan kad ucapan yang dihasilkan sendiri oleh para peserta buat ibu ayah mereka. Beberapa gelagat para peserta memberi bunga ros kepada waris mereka sempat dirakamkan.

Menurut seorang waris peserta, Puan Nor Shaidah Abdul Wahab katanya,  “Anak baru jadi ahli. Balik dia kata suka dan seronok sangat”.

“Alhamdulillah. Terima kasih penganjur dan urusetia yang melaksanakan program berfaedah ini. Memang berbaloi-baloi. Banyak yang anak-anak pelajari. Terima kasih banyak-banyak, ibu dan abah dapat kad istimewa dan bunga ros. Suka sangat-sangat,” ujar seorang lagi waris, Puan Nur Farhana.

Semoga, anak-anak NAZIM menjadi anak yang soleh dan solehah buat ibu bapa.

 

Oleh

Nur Husnuzzan bt Azizan

Wartawan Kelab NAZIM Kulim