Tanam rasa ‘pengawasan’ Allah kepada anak

SEBERANG JAYA, 7 Jamadil Awal 1439H, Rabu – Anak-anak perlu diingatkan ibu bapa bahawa  Allah s.w.t  sentiasa memerhati, mencatat dan menghitung setiap perbuatan baik atau buruk mereka. Setiapnya akan diberi balasan walau sekecil-kecil perkara.

Usrah Wanita kali ini bertempat di Surau At-Taqwa, Taman Sembilang, Seberang Jaya dan membincangkan asas pembinaan keluarga Muslim. Kisah Luqman, seorang ayah yang tidak berputus asa menasihati anaknya sehingga anak itu kembali insaf, menjadi motivasi buat ibu bapa untuk mendidik anak-anak menjadi hamba Allah yang taat.

“Kefahaman aqidah yang betul adalah asas kepada pendidikan anak-anak. Antara perkara yang mesti ditekankan ibu bapa adalah mengajar dan melatih anak-anak untuk solat, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah perbuatan maksiat, serta bersabar atas musibah dalam melaksanakan perkara tersebut” ujar Ustazah Norhayati ketika mengupas tafsir surah Luqman ayat 16-17.

Anak-anak perlu sedar bahawa Allah mempunyai pengetahuan yang Maha luas dan sentiasa mengawasi  mereka. Dengan kesedaran itu, mereka akan memperbaiki perlakuan mahupun ketika bersendirian dan mendorong mereka untuk melakukan kebaikan.

Tegas beliau lagi, ibu bapa yang lalai dalam tugas mendidik anak-anak dan menanam rasa pengawasan Allah di dalam diri anak akan menjadi  ibu bapa yang derhaka .

Firman Allah s.w.t  “Dan Kami akan memasang timbangan yang tepat  pada hari kiamat, maka tidak ada seorang pun dirugikan walau sedikit, sekalipun hanya seberat biji sawi, pasti Kami mendatangkannya pahala. Dan cukuplah Kami yang membuat perhitungan,” surah Al-anbiya’ ayat 27.

Oleh itu, ibu bapa wajib mendidik anak-anak mengenal Allah dan mengutamakan didikan ini kerana akan di soal kelak di hadapan Allah s.w.t.

 

Oleh

Siti Nurfarhana Bt Ahmad Puat

Media Wanita ISMA SPU