Pelajar Lepasan Sekolah Temui Hala Tuju Sebenar di KLS Pulau Pinang 2018

KEPALA BATAS, 27 Rabiul Akhir 1439H, Isnin – Karnival Lepasan Sekolah (KLS) Pulau Pinang 2018 pada Ahad, 7 Januari lalu, telah mendapat sambutan hebat daripada para pelajar lepasan sekolah sekitar Pulau Pinang dan juga Kedah. Disertai 95 orang peserta yang melibatkan pelajar sekolah lepasan SPM, STPM dan STAM, Karnival penuh manfaat ini berlangsung dari jam 9 pagi sehingga 5.30 petang.

Program KLS 2018 yang bertempat di Dewan Millenium, Kepala Batas kali ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar untuk membuat persediaan memasuki alam kampus dan kerjaya seperti perancangan hala tuju, ted talk kerjaya, bicara santai “Survival Kehidupan” dan pameran kerjaya.

“What’s Next After SPM” disampaikan oleh Dr. Muslim telah memberi gambaran awal yang lebih jelas kepada para peserta akan hala tuju sebenar mereka selepas tamat persekolahan.

Kemudian, peserta didedahkan mengenai cabaran di alam IPT dalam dan luar negara, kepentingan melibatkan diri dengan aktiviti bermanfaat serta inspirasi untuk membina jati diri yang kukuh. Kesemua ini diselitkan dalam slot “Ted Talk Kerjaya”, “Bicara Santai” dan “Survival Kehidupan” yang menampilkan barisan panelis jemputan yang cemerlang dari pelbagai bidang.

Selain itu, KLS 2018 juga memberi pengkongsian bidang kerjaya yang melibatkan 20 orang profesional dari pelbagai bidang, antaranya seperti Perundangan, Sains dan Teknologi, Keusahawanan, Kewangan dan Pendidikan. Para profesional dijemput khas bagi berkongsi mengenai industri, karier, profesion dan pengalaman mereka dalam Slot Pameran Kerjaya.

Seorang peserta, Muhammad Irfan Ameer berkata, “Alhamdulillah saya berasa sangat gembira dan bersyukur kerana diberi peluang yang tidak semua orang dapat merasa. Kini saya berasa lebih jelas tentang kerjaya yang akan disambung”.

“Program ini memang best. Program seperti ini membantu saya lebih faham dan jelas dengan hala tuju saya selepas SPM”, ujar seorang lagi peserta KLS, Anis Syakirah Che Omar.

KLS merupakan program tahunan anjuran Kelab Remaja ISMA (KRIM) di seluruh negara. Penganjur bersama adalah PEMUDA ISMA, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Biro Luar Negara ISMA (BLN).

 

 

Oleh

Hidayatunnur Hashim

Wartawan KRIM Pulau Pinang