NAZIM Bertam Membudayakan Kebersihan Dan Jauhi Pembaziran melalui Back to School

KEPALA BATAS, 19 Rabiul Akhir 1439H, Ahad – Bagi menaikkan semangat dan rasa seronok ke sekolah, Kelab NAZIM  (Kelab Anak-anak Hebat) Bertam telah menganjurkan Back To School versi NAZIM bertempat di Surau Taman Sri Indah pada Sabtu yang lalu. Penyertaan yang diterima sangat baik daripada penduduk setempat melibatkan 24 orang peserta terdiri daripada kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun.

Menurut Pengarah Program Back To School Bertam, Norshuhada Sha’ari, program berjalan seperti  yang dirancang iaitu seawal jam 8:30 pagi dan berakhir jam 12:30 tengah hari meskipun berdepan hujan lebat di luar.

“Program kali ini bertujuan membina aura positif anak-anak ke sekolah sempena musim persekolahan 2018 yang baru bermula. NAZIM juga berhasrat mendidik anak-anak supaya faham konsep pembaziran dan kebersihan dalam hidup seharian sebagai seorang muslim.”

“Pelbagai aktiviti dijalankan seperti tazkirah mengenai kebersihan dan pembaziran. Untuk lebih faham, anak-anak turut diajarkan ayat hafalan surah al-Isra’ ayat 27,

Sesungguhnya, orang-orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu sangatlah ingkar kepada Tuhannya…

dan hadis Allah cintakan kebersihan. Di samping itu juga, anak-anak hebat ini dilatih dalam slot praktikal, melipat baju dan membasuh kasut sendiri. Harapnya, anak-anak NAZIM dapat menjaga kebersihan dalam kehidupan seharian serta dapat menjauhi pembaziran,” ujarnya.

Rata-rata respon yang diterima daripada waris amat memberangsangkan. Mereka sangat berpuas hati dengan program NAZIM  seperti ini dan berhajat ingin menghantar anak-anak mereka lagi di masa akan datang.

Salah seorang waris, Nadhia Fatmi Rahim Omar berkata, beliau melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana anaknya dapat mempraktikkan apa yang dipelajari sepanjang berada dalam kem tersebut.

Semoga anak-anak hebat ini dapat mempraktikkan apa yang dipelajari sepanjang program dalam kehidupan seharian. Semoga petikan firman Allah s.w.t dalam surah al-Isra’ ayat 27 tersebut dijadikan amalan seluruh keluarga bersama.

 

Oleh Nur Husnuzzan bt Azizan

Wartawan Kelab NAZIM Seberang Perai Utara