Back To School versi NAZIM Semai Rasa Seronok Ke Sekolah

SUNGAI NIBONG, 25 Rabiul Akhir 1439H, Sabtu – “Sesungguhnya, orang-orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu sangatlah ingkar kepada Tuhannya.” Ayat ke 27 surah al-Isra’ ini merupakan ayat hafalan anak-anak NAZIM, peserta program Back To School pada Ahad minggu lalu.

Kelab NAZIM (Kelab Anak-anak Hebat) Tanjung tampil menjayakan program Back To School versi NAZIM sebagai pembuka tirai bagi tahun 2018 ini. Bertempat di Surau Flat Mutiara Anggun, Sungai Nibong, Back To School NAZIM Tanjung mendapat penyertaan seramai 19 orang daripada penduduk setempat, terdiri daripada kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun.

“Objektif utama program adalah untuk memupuk semangat berdikari kepada para peserta. Di samping itu, Back To School memberi pendedahan tentang kebersihan dan jangan membazir kerana itu budaya syaitan,” kata Pengarah Program, Siti Nor Ain Zulkeply,.

“Setiap aktiviti kami susun supaya dapat menepati objektif program.  Antaranya, tazkirah mengenai kebersihan dan pembaziran.  Yang pentingnya, aktiviti-aktiviti menarik dan seronok untuk anak-anak.  Turut disediakan ayat hafalan surah al-Isra’ ayat 27 dan hadis Allah cintakan kebersihan bagi memantapkan pemahaman mereka”,

“Selain itu, anak-anak ini juga diajar melipat baju dan membasuh kasut sendiri. Kami berharap anak-anak NAZIM dapat menjaga kebersihan dan menjauhi pembaziran di rumah bersama keluarga dan di sekolah dengan kawan-kawan,” tambahnya lagi.

Maklum balas yang diterima daripada waris peserta amat memberangsangkan. Mereka bersyukur anak-anak dapat menyertai program NAZIM. Mereka bukan sahaja berhajat menghantar anak-anak mereka lagi pada masa akan datang bahkan, mereka menyokong program seperti ini diteruskan lagi di kawasan Tanjung ini.

Semoga anak-anak NAZIM dapat mempraktikkan apa yang dipelajari sepanjang program dalam kehidupan seharian. Beriman, Bijak, Berani, Cergas !

 

 

Oleh Nur Husnuzzan bt Azizan

Wartawan Kelab NAZIM Seberang Perai Utara