‘Back To School’ Ajar Anak-anak Berdikari

 

KULIM, 18 Rabiul Akhir 1439H, Sabtu – Memandangkan sesi persekolahan 2018 baru bermula seminggu,  Kelab NAZIM  (Kelab Anak-anak Hebat) Kulim tampil menjayakan Back To School versi NAZIM pada Jumaat lepas. Bertempat di Surau Kulim Utama 2, Taman Berteknologi Tinggi Kulim, penyertaaan diterima sangat baik daripada penduduk setempat, dengan kehadiran 42 orang peserta terdiri daripada kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun. Meskipun cuaca tidak begitu baik, program diadakan mengikut perancangan seawal jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 12.30 tengahari.

Menurut Pengarah Program, Puan Balkhis Hamid, objektif utama program adalah untuk membina aura positif dan rasa seronok anak-anak ke sekolah. Selain itu, Back To School juga mendidik mereka memahami pembaziran dan kebersihan sebagai seorang muslim.

“Bagi menjayakan objektif program, pelbagai aktiviti menarik disajikan. Antaranya, tazkirah mengenai kebersihan dan pembaziran. Banyak contoh yang diberikan anak-anak tentang pembaziran seperti makan tak habis, tak tutup kipas, lampu dan air.”

“Dari segi kebersihan pula, anak-anak diingatkan untuk kemas bilik sendiri dan menjaga kebersihan diri dan rumah. Mereka juga diberi ayat hafalan surah al-Isra’ ayat 27 dan hadis Allah cintakan kebersihan. Secara praktikalnya, mereka diajar melipat baju dan membasuh kasut sendiri,” ujarnya.

Salah seorang waris, Snizam Said berkata, anaknya terus menyoal beliau apabila memasuki kereta untuk pulang. “Ayat apa di dalam al-Quran menceritakan perihal pembaziran?”, tanya anaknya.

Berpeluh fikir ayat apa. Akhirnya, mereka membaca ayat 27 surah al-Isra’ tersebut dan terjemahannya. Saya dengar dengan penuh khusyuk. Bangga anak dapat sesuatu daripada NAZIM. Tahniah NAZIM!

“Anak saya balik rumah terus tunjuk cara lipat baju. Lega lepas ni ada orang nak tolong. Lepas tu, sambung pulak hafalan di rumah,” ujar Puan Mastiah, seorang lagi ibu peserta, dengan rasa gembira.

Rata-rata respon yang diterima daripada para waris amat memberangsangkan. Mereka sangat berpuas hati dengan program NAZIM  seperti ini dan berhajat ingin menghantar anak-anak mereka lagi di masa akan datang.

Semoga anak-anak NAZIM dapat mempraktikkan apa yang dipelajari sepanjang program dalam kehidupan seharian. Semoga petikan firman Allah s.w.t dalam surah al-Isra’ ayat 27 ini terus menyemai dalam hati anak-anak.

“Sesungguhnya, orang-orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu sangatlah ingkar kepada Tuhannya” (Surah Al-Isra’ 17:27)

 

Oleh Nur Husnuzzan bt Azizan

Wartawan Kelab NAZIM Kulim