Sungguh aku benar-benar mencintaimu Akhi

 

 

 

“Assalamualaikum abang. Malam ni boleh kita jumpa secara personal tak lepas usrah?”

Aku memandang tepat ke arah mesej Telegram yang masuk ke dalam peti simpanan telefon pintar. Kemas, formal dan ringkas. Hairan. Jarang sekali beliau ingin berjumpa secara personal. Aku cukup kenal dengan perwatakan Khairi yang sentiasa bersemangat tinggi setiap kali berjumpa dan mesej. Persis seorang rijal dakwah yang disegani. Cuma agak pelik pada pagi-pagi begini beliau akan mesej aku secara personal. Tambah-tambah lagi waktu subuh sebegini. Lalu dengan segera aku membalas.

“Okay, boleh in sha Allah,” pendek balasanku. Dengan harapan ia mampu memberikan makna kepada beliau.

Masalah besar barangkali. Aku mengangguk keseorangan hanya mengiyakan. Aku mengabaikan seketika telefon bimbit di tangan lalu meneruskan kembali tilawah al-Quran pada pagi itu.

Selang beberapa saat, jam digital solat berbunyi memecah kesunyian masjid di pagi hari menandakan waktu syuru’ sudah masuk. Tepat jam 7.05 pagi aku menoleh ke jam di dinding masjid tersebut.

“Alhamdulillah, cukup setengah juzu’ pagi ini,” Aku bermonolog berseorangan lalu menghabiskan ayat 56 Surah Al-Qasas pada pagi itu.

إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَن يَشَاءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

“Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.”

Aku merenung ayat tersebut. Cukup dalam maknanya. Cukup memberikan kesan yang besar kepada para duat yang berada di atas jalan-Nya. Entah kenapa tiba-tiba hatiku tiba-tiba menjadi sebak. Mungkin kerana kisah di sebalik penurunan ayat tersebut yang mengingatkan aku mengenai kesedihan Rasulullah terhadap bapa saudaranya, Abu Talib yang mati dalam kekufuran walaupun beliaulah individu yang banyak melindungi Rasulullah daripada pemulauan dan pemberontakan musyrikin Kafir Quraisy.

Kisah tersebut masih terngiang-ngiang dalam kotak fikiranku sejak dari usrah minggu lepas. Minggu lepas Naqib kami mensyarahkan mengenai sirah yang diadun baik dengan kupasan beberapa ayat Quran termasuklah ayat 56 Surah al-Qasas ini. Memang cukup menghidupkan jiwa. Kisah-kisah para Nabi dan Rasul memang cukup memberikan nafas baru buat para duat yang masih berjinak-jinak dalam dunia dakwah dan tarbiah seperti aku.

Aku menyeka air mataku yang bergenang dikelopak mata lantas dengan segera mengucup al-Quran terjemahan berwarna hijau terbitan Pustaka Maghfirah itu dan meletakkannya di rak Al-Quran yang tersusun rapi.

Aku segera mempercepatkan langkahku keluar dari perkarangan Masjid Hashim Yahaya, Jalan Perak untuk menyertai Ward Round di hospital bersama pakar pada pukul 8 pagi.

Memang begitulah rutin harianku hampir setiap hari. Solat subuh berjemaah memang menjadi kebiasaan sebelum memulakan rutin harianku sebagai pelajar perubatan. Solat berjemaah, itulah sumber kekuatanku, itulah inspirasiku setiap hari. Teringat dahulu ketika mula-mula mengikuti tarbiah, solat Jemaah khususnya Subuh agak sukar dan sangat asing bagi kami sesama ahli usrah. Dulu buat hanya sekadar melengkapkan rutin mutabaah amal, tetapi hari ini aku rasakan ianya sudah sebati dalam jiwa dan ianya adalah keperluan. Benar sepertimana taujihat Naqib ketika di sekolah dahulu,

“Antum dengan ana mungkin boleh berkompromi dan mengelat dalam urusan tarbiah. Nak culas dan lewat hadir program. Tetapi dalam urusan ibadah tiada kompromi! Antum tidak boleh culas kerana akhirnya antum akan dihisab berseorangan di akhirat. Amalan antum yang akan  menentukan pengakhiran di sana,”

Setelah bersiap-siap, aku segera membawa kesemua buku catatan halaqah, al-Quran terjemahan kecil dan bahan halaqah yang akan dikupas bersama dengan anak usrah pada malam ini.  Ku muatkan bersama whitecoat dan stethoscope ke dalam beg Sling. Aku membawa terus bahan halaqah pada malam ini kerana aku risau sekiranya akan pulang lewat kerana pada petang ini akan ada tutorial sehingga lewat petang. Kebiasaannya tutorial bersama pensyarah akan memakan masa sehingga lewat petang. Tambahan pula, Jalan Masjid Negeri yang menghubungkan beberapa jalan utama memang agak sesak teruk dengan keadaan trafik bagi mereka yang baru pulang dari kerja. Untuk tiba selepas maghrib di Masjid Al Malik Khalid di USM akan mengambil masa lebih kurang 30 minit dari kolej.

******************************************************

Man, aku nak tanya sikit, kenapa eh, aku tengok kau ni asyik rushing je balik kelas setiap hari. Dah tu balik rumah lewat-lewat malam. Pukul 12 malam lebih baru balik. Kau pergi mana eh?” tegur teman serumahku Hatif sewaktu  turun tangga dari blok akademik seusai kelas.

Aku terdiam. Lidah kelu diam membisu. Tidak tahu ingin memberi respon apa. Aku hanya memandang ke anak tangga yang baru dituruni dan terus melangkah kaki ke tempat parkir.

“Ya, la kan.. Aku tau la kau join usrah bagai.. tapi tak kan tiap-tiap malam. Weekend pula kau jarang dekat rumah,” Hatif bertanya lagi menambah kesangsian. Raut wajahnya menunjukkan 1001 keraguan akan tingkah lakuku.

Aku mula rasa serba salah apabila diajukan soalan sebegini. Tidak tahu jawapan apa yang seharusnya aku katakan. Aku hanya mampu tersenyum sahaja.

Sambil mengenakan topi keledar motosikal dan menekan butang starter motosikal kapcai, spontan aku menjawab,

“Usrah”. Aku memandang beliau dengan penuh positif. Diharap jawapan tersebut akan merungkai keraguan beliau.

Aku bukan apa Man, risau juga sebab kita ni study Medic, banyak nak kena cover. Exam kita dahlah berkala dan banyak. Tengok kau banyak program luar kadang-kadang risau juga takut exam sangkut,” pesan beliau sekadar ingatan.

“Dakwah, dakwah juga, akademik jangan lupa.. exam nak dekat..haha..” Beliau bersoloroh dengan nada bergurau.

“In sha Allah, Tif, doakan aku. Risau juga nih. Huhu..” aku hanya sekadar menjawab dengan sekadarnya.

‘Aku gerak dulu ya, Assalamualaikum” Aku cuba menutup perbualan supaya tiada lagi soalan sensasi yang akan menguji minda. Bimbang juga hari yang sudah semakin gelap. Matahari senja kian mengufuk ke barat.

Kesesakan lalu lintas melalui Jalan Masjid Negeri dan terus menghubungkan utama Jelutong dan Gelugor tidak menganggu fokusku kepada apa yang dikatakan oleh sahabatku mengenai akademik. Masih terngiang-ngiang akan kata-kata beliau tadi. Benar kata beliau. Urusan akademik adalah perkara yang sangat penting bagi seorang duat. Seandainya ia tidak diuruskan dengan baik, maka akan memberikan fitnah yang sangat besar kepada seorang duat.

Betapa ramai yang aku melihat mereka rakan-rakan dan para senior yang dahulunya bersemangat waja di atas jalan dakwah, namun atas faktor akademik ramai yang kecundang. Pernah aku mendengar seorang ikhwah yang mohon izin untuk direhatkan dari urusan dakwah dan organisasi kerana perlu memberi fokus kepada akademik. Lalu akhirnya beliau menghilang dan terus menyepi. Perasaan malu dan berat barangkali.

Tidak kurang juga yang aku lihat anak-anak usrah binaan ikhwah lain yang mula hilang tsiqah kerana prestasi ikhwah itu tidak memberangsangkan lalu mereka juga turut menghilang. Sukar untuk diduga akan ujian tersebut.

Secara jujurnya bukanlah aku tidak ingin study, tetapi aku sangat teringin duduk di rumah menelaah segala jenis lecture notes dan nota power points yang dikongsi oleh pensyarah tetapi atas tuntutan dan komitmen dakwah, aku merelakan ia pergi.

Kadang-kadang dalam hatiku mula terdetik rasa cemburu dengan rakan-rakanku yang lain mempunyai banyak masa untuk study. Tiada komitmen dengan orang lain. Masa-masa berhargaku banyak dicuri oleh program-program tarbiah dan dakwah yang aku ikuti. Masa belajarku kadang-kadang hanya sekadar pada waktu pagi dan petang di Hospital dan kelas. Kadang-kadang aku cuba juga untuk cover pada waktu pagi sebelum waktu Subuh. Moga-moga adanya keberkatan di sebalik kesibukan itu.

**************************************************

“In sha Allah, ikhwah, kita akhiri usrah kita dengan doa Rabithah, tasbih kifarah dan surah al-asr”

Setelah semua ahli usrah bersalaman dan bermujamalah. Aku segera melontarkan pandanganku ke arah Khairi.

“Ya Khairi, enta nak jumpa ana?”

“Aah, bang. Abang free ka?” soal Khairi. Sengaja bersopan denganku.

“ Ya, free. In sha Allah” Aku meraikan jawapan beliau dengan senyuman.

“Ana actually ada masalah,” respon beliau. Lalu terus diam membisu seribu bahasa.

Jam sudah mencecah 11 malam. Hanya deruman kipas syiling masjid sahaja yang memecah kesunyian. Aku menanti dengan sabar akan sebarang luahan hati anak usrahku itu.

Aku cukup kenal benar akan perwatakan Khairi, beliau seorang yang amat ceria dan segar perwatakannya.

“Ana nak quit usrah akhi,”

Aku begitu terkejut dengan kenyataan tersebut. Namun aku cuba menyembunyikan perasaan ketidakkeruanku akan kenyataan tersebut di dalam hati. Aku hanya menunjukkan reaksi muka berminat untuk mendengar akan lebih lanjut mengenai penjelasan beliau.

“Ana rasa ana tak mampu untuk berada di atas jalan dakwah dan tarbiah ini. Ana tak layak, dan ana…” Khairi mula sebak.

Titisan kaca jernih mula membahasi kelopak mata beliau. Nada suara beliau juga mula berubah dan terputus-putus. Karakter beliau yang amat sensitif amat sesuai dengan perwatakan beliau sebagai anak bongsu dalam keluarga.

“Akhi.. kenapa ya,? Boleh ana tahu sebab apa?” Aku memberanikan diri bertanya dan memberikan respon.

Aku tahu tindakan aku itu salah. Seharusnya aku membiarkan keadaan reda dan tenang dahulu sebelum memberikan jawapan. Cuma aku bimbang keadaan menjadi lebih teruk lalu aku cuba memberikan respon.

“Ana… ana fail exam semester lepas. Ana dah 2 kali re-sit paper yang ni. Kalau gagal mungkin akan dibuang universiti.” Sayu jawapannya. Tersedu-sedu. Sambil merangkul erat lututnya.

“Mak ana suruh fokus study. Ana adalah harapan keluarga sebab ana adalah satu-satunya anak yang berjaya ke universiti dalam keluarga ana. Tambahan sekarang ni ayah ana sakit stroke. Dulu kos sara hidup di universiti ayah ana yang tanggung, sekarang ni semua ana yang uruskan sendiri. Hampir setiap minggu ana perlu balik ke kampong untuk bantu ayah ana menguruskan keperluan dia. Waktu ana terluang ana banyak buat part time untuk tampung perbelanjaan ana di universiti dan keluarga,” tambahnya lagi.

Aku terdiam. Tidak tahu bagaimana untuk memberi respon. Aku memandang tepat ke wajah beliau. Sungguh.. luahan sebegini agak sukar bagiku.

Patutlah sejak dua menjak ini, aku melihat Khairi kurang responsif seperti dulu. Kalau ikutkan beliaulah orang yang selalu bersemangat menghadiri program-program tarbiah.

“Dan…. Ana….” terputus di situ. Suara Khairi menjadi semakin serak.

Dengan tangkas seperti kilat Khairi segera memeluk tubuhku yang kecil ini.

“Ana tak cukup baik untuk berada dalam tarbiah…..” kini tangisan dia kian mengesak dengan lebih kuat. Kuat pelukannya seolah-olah menandakan itu adalah bebannya yang dipikul selama ini.

Aku sedikit kaget di situ. Aku membalas pelukan beliau lalu mengusap lembut di belakangnya dengan harapan ia meredakan.

“Akhi… Allah sayang anta akhi…. Sabar akhi,” Aku berbisik di telinganya. Aku ulang sekali lagi ayat tersebut kali ini lebih jelas dan lembut.

Tangisannya mula kian reda untuk seketika

Khairi mula melepaskan pelukannya dan mengesat air mata jantan yang bercucuran jatuh di pipinya.

“Kerana Allah sayang entalah, Allah uji enta akhi. Tak semua orang akan diuji macam enta” Tambahku.

“Allah akan uji pada titik kelemahan diri kita kerana ingin meninggikan darjat kita akhi, dia nak tengok siapa yang akan terus tsabat di atas jalan dakwah. Bukan enta seorang sahaja yang pernah diuji, semua orang pernah diuji. Ana juga pernah diuji. Para Rasul dan sahabat juga diuji dengan harta, kesihatan, anak-anak, keluarga dan masalah dalam dakwah. Ketahuilah bahawa ujian ini adalah tanda Allah sayang enta akhi. Dia nak tengok sejauh mana anta bergantung kepada-Nya dan sejauh mana enta istiqamah di atas jalan Allah. Masa usrah tadi pun kita dah bincang pasal ujian dalam ayat 2 surah Al-Ankabut” pesanku dengan penuh hemah.

 “Anta pernah dengar berkenaan proses intiqa’?” Aku bertanya sekadar ingin mengetahui respon daripada Khairi.

Beliau hanya menggeleng perlahan. Lemah dan masih tidak bermaya. Sayu raut wajahnya.

“Intiqa’ adalah proses tapisan dari Allah untuk memilih sulbah yang akan mendokong dakwah ini. Ujian adalah proses yang berlaku untuk Allah memilih Qaedah Sulbah yang benar-benar asolah dan ikhlas untuk bersama dalam gerabak dakwah. Setiap orang akan ditapis sehingga akhirnya mereka yang berada di akhir perjalanan dakwah dan mendokong risalah suci ini adalah mereka yang benar-benar qawiy dan tsabat. By the way, Bukan kita dah bincang masa daurah bulan lepas?” aku menambah sambil tersenyum.

Khairi mula tersenyum.

“Waktu kita tengah belajar, dua perkara besar yang akan kita diuji adalah urusan akademik dan kewangan. Ana dah tengok ramai yang futur dan menghilang kerana urusan akademik yang tidak selesai. Mula-mula beri alasan untuk berehat dari tarbiah tak nak ikut usrah dan nak fokus belajar, lama-lama terus diam hilang membisu… “ aku pula kian beremosi. Nada semakin merisaukan.

“Tiada jaminan masalah enta akan selesai kalau enta quit usrah akhi..” kini nadaku lebih bersahaja.

“Kalau enta quit usrah pun, kalau enta tak belajar, enta tetap fail dalam exam.. masalah yang lain-lain seperti isu kewangan dan kesihatan ayah juga tidak akan selesai kalau enta quit usrah.. Masalah perlu diurus dan bukannya kita melarikan diri.. Enta kena plan something dan work out something especially bab study…. Dan caranya begini…”

*********************************************************

Abang, terima kasih sebab concern pasal ana tadi…. Sorry lah tadi emosi pulak… tq juga share pasal study tips tadi.. In sha Allah ana try work out dengan tips tadi.. Doakan ana ya… huhuhu..”

Aku membaca peti mesej telegram yang masuk ke dalam telefonku. Sticker dan emoji yang dipaparkan di skrin melegakan hatiku akan masalah beliau. Aku hanya menggelengkan kepala. Aku tidak sangka dialog petang tadi bersama rakan tadi merupakan petunjuk Allah kepada peristiwa yang lebih besar pada malam ini.

“Hmmm..Besar peranan Naqib ini… fikir masalah orang sedangkan diri sendiri juga ada masalah…” aku hanya bermonolog kesepian di dalam hati.

Aku melihat jam di dinding bilik yang sudah mencecah 1.30 pagi dan mataku mula kuyu di atas katil. Bersedia untuk menanti hari esok yang lebih mencabar. Untuk waktu seketika, aku terus membalas mesej Khairi,

“Sungguh aku benar mencintaimu akhi… sepenuh hatiku.. sepenuh jiwa ragaku.. kerana Allah. Terus tsbat dan sabar in sha Allah 😊”

 

Mohammad Aiman Hazim Zamri

Aktivis Ikatan Muslimin Malaysia Seberang Perai Utara (ISMA SPU)