Rahsia Mahasiswa Perubatan Cemerlang

Jurusan perubatan mempunyai kisah unik yang tersendiri bagi mereka yang telah dan sedang melaluinya. Ia dilakarkan di atas kanvas kehidupan dengan pelbagai warna-warni dan suka duka perjalanan sebelum masuk ke alam kerjaya sebagai seorang pegawai perubatan. Sudah pasti ia mempunyai cabarannya yang tersendiri bagi setiap individu yang melaluinya kerana bidang perubatan adalah jurusan profesional yang sangat kompetitif kerana ia memerlukan kesungguhan dan minat yang mendalam bagi setiap pelajar untuk menamatkan Medical School sebelum melangkah ke alam Housemanship.

Bagi penulis sendiri, setelah melalui 4 tahun setengah melalui fakulti perubatan (kini semester akhir) hakikatnya ia adalah satu anugerah Tuhan yang tidak ternilai untuk mencari makna apakah erti hidup pergantungan kepada Tuhan. Kesusahan dan keringat untuk melayakkan diri ke Medical School ditambah dengan perjalanan setiap tahun yang berliku telah banyak melatih diri penulis untuk menjadi seorang yang banyak bersyukur, bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugasan dan amanah serta lebih rajin berusaha untuk bangkit dari kegagalan.

Hasil penulisan artikel ini bukanlah bermakna penulis adalah yang terbaik sewaktu menjalani fasa pra-klinikal dan klinikal di fakulti perubatan dalam dan luar negara, tetapi ia adalah himpunan pengalaman yang dikutip sepanjang lebih kurang 4 tahun berada dalam jurusan perubatan dikelilingi oleh latar belakang mahasiswa/mahasiswi perubatan yang hebat di samping panduan dan nasihat daripada mereka yang telah berjaya menamatkan medical school dengan First Class Honours dan berjaya menamatkan fasa housemanship dengan jayanya. Semoga ia memberikan bermanfaat buat para pembaca untuk sama-sama menjadi graduan perubatan yang cemerlang.

  1. Be a morning person!

Kebiasaannya, pelajar perubatan yang cemerlang mereka mempunyai budaya untuk berpagi-pagian ke wad untuk berjumpa dengan pesakit. Bagi pelajar perubatan yang biasa-biasa, kita akan menganggap  bahawa datang ke wad seawal 8 pagi adalah sangat membebankan. Bagi mereka yang biasanya gemar untuk bangun lewat dan tidur selepas solat subuh akan menganggap clerking dan review patient serta follow ward round pada awal pagi tidak menguntungkan dan membosankan. Tetapi hakikatnya itulah rahsia mereka yang berjaya apabila saya perhatikan gelagat mereka di wad setiap hari.

Rahsia berpagian di wad adalah terletak pada keadaan pesakit tersebut. Kebanyakan pesakit pada waktu pagi lebih segar dan fresh kerana telah berehat sepanjang malam. Mereka juga lebih bersedia untuk menerima hari baru dengan lebih baik dan mood mereka juga lebih baik pada pagi hari. Anda perlu ingat bahawa anda bukanlah satu-satunya manusia yang akan clerking pesakit tersebut. Boleh jadi, Specialist,  MO, Houseman, Nurse, Physiotherapist, dan Pharmacist juga akan menemuramah pesakit sewaktu rondaan wad pagi (morning ward round). Bagi kes-kes menarik di wad, pelajar-pelajar perubatan tahun lain yang akan turut clerking untuk sama-sama belajar. Sekiranya ia melibatkan kes acute (acute case) di wad sudah pasti soalannya lebih banyak. Sebagai seorang manusia, pesakit juga akan jemu apabila ditanya soalan yang sama berulang-ulang kali. Sudah pasti pesakit akan berasa kurang selesa dan akan bersikap tidak acuh untuk menjawab soalan. Hal ini akan menyebabkan kebarangkalian permintaan kita untuk menemu-ramah pesakit untuk ditolak akan lebih tinggi.

Kebanyakan pesakit apabila kita meminta izin untuk ditemu ramah (consent).

“Minta maaf, adik. Pak cik tadi dah 3 orang tanya soalan yang sama dengan pak cik.”

Biasa atau tidak mendengar refusal sebegini?

Bayangkan sekiranya anda tiba lewat di wad seperti pada pukul 10 pagi ke atas, sudah pasti anda bukanlah orang pertama yang menemuramah kerana ada pelajar lain atau staf hospital lain yang sudah menemu ramah pesakit tersebut.

Anda juga perlu ingat tidak semua kes di wad adalah baik untuk belajar, ada pesakit yang mempunyai masalah komunikasi (language barrier), komplikasi kronik (chronic complication) dan tidak mempunyai tanda fizikal dan simptom (physical signs and symptoms) yang masuk ke wad. Jadi kes yang baik untuk belajar dan diajar sewaktu bed side teaching adalah sangat terhad. Kita perlu merebut peluang untuk belajar dengan baik di mana pesakit yang mampu memberikan kerjasama untuk ditemu ramah secara penuh (taking full and complete history) dan mempunyai tanda fizikal dan simptom akan memberikan kita lebih banyak input untuk kita belajar.

Oh ya, dengan mengikut morning ward round (rondaan wad pagi) juga kita akan tahu kes mana yang sudah lama di wad dan kes mana yang baru masuk (new admission). Hal ini akan memudahkan kita mengetahui kes apa yang baru dan menarik yang boleh dipelajari. Tambahan pula, kebarangkalian pesakit yang baru masuk ke wad untuk ditemu ramah adalah lebih tinggi dan memudahkan kita untuk belajar lebih banyak daripada pesakit. 😊

  1. Clerking: One day, one case – then present!

Sewaktu mula melangkah ke fasa klinikal, seorang pensyarah perubatan pernah berpesan kepada kami sewaktu sesi bed side teaching, “Remember, one day, clerk one case and then present,”. Sewaktu memulakan pengajian klinikal ketika di tahun ketiga, penulis mula tertanya-tanya di mana relevannya untuk clerking pesakit setiap hari. Kini, apabila melangkah semester akhir perubatan, baru penulis sedar di mana kekuatannya kenyataan tersebut.

Practice makes perfect! Itulah kuncinya. Kita kena ingat peperiksaan profesional perubatan bukanlah hanya melibatkan teori (knowledge) sahaja semata-mata, tetapi ia melibatkan bagaimana kebolehan seorang pelajar perubatan untuk menjual idea sewaktu pembentangan kes di hadapan pakar perubatan sewaktu peperiksaan. Long Case dan OSCE merupakan peperiksaan yang memerlukan kemahiran tinggi daripada para pelajar perubatan untuk mendapatkan sejarah pesakit (patient history) yang terperinci untuk mendapatkan diagnosis yang tepat (Accurate Diagnosis). Kebanyakan mereka yang berjaya memperoleh diagnosis yang tepat dan mendapat markah yang tinggi sewaktu peperiksaan adalah mereka yang boleh membentangkan kes dengan baik, lancar dan menarik di hadapan  pemeriksa (examiner). Dan tidak dapat tidak, kelancaran dan kefasihan untuk berbahasa Inggeris itu memerlukan latihan agar kita tidak berasa kekok untuk menggunakan istilah-istilah lebih mesra dengan kehidupan klinikal di hospital.

Sekiranya kita tidak berpeluang untuk membentangkan kes semasa bed side teaching di hadapan pensyarah atau pakar, kita boleh membentangkan kes di hadapan rakan-rakan kumpulan dan minta kritikan yang telus mengenai kekurangan dan kelemahan dan bagaimana untuk menambah baik bagaimana untuk membentangkan kes.  Tidak ada rugi sebenarnya membuat pembentangan kes kerana esok apabila sudah masuk ke alam kerjaya, kita akan membentangkan kes kepada pakar setiap hari!

  1. Pick Up the Signs

Penulis tidak dapat nafikan, kadang-kadang akan ada satu waktu dan ketika kita akan berasa malas dan lost di wad. Kadang-kadang kita juga akan kerap down kerana kebanyakan kes-kes baik untuk belajar kebiasaannya sudah di clerk oleh pelajar lain. Apabila situasi ini berlaku, penulis akan mengambil inisiatif untuk bergerak dari katil ke katil dan dari satu cubicle ke cubicle yang lain untuk melihat tanda fizikal pesakit. Kebanyakan pesakit yang ditemui di wad mereka akan lebih terbuka untuk diperiksa berbanding ditemu ramah (disebabkan temu ramah amat mengambil masa yang lama). Apa yang akan penulis lakukan adalah meminta izin (gain consent) dan terus melakukan pemeriksaan fizikal (physical examination).

Kadang-kadang apa yang kita baca di dalam buku langsung tidak sama dengan tanda fizikal yang ada pada pesakit. Dan sebenarnya kita akan lebih menghargai tanda-tanda tersebut apabila kita sendiri yang merasai menggunakan deria pancaindera.

Sebagai contoh kes Kardiovaskular, bagaimanakah untuk membezakan pansytolic, systolic dan diastolic murmur sewaktu auscultation. Untuk kes Respiratori, bagaimanakah untuk membezakan bunyi Rhonchi dan Creps. Untuk kes Gastrologi, bagaimana kita ingin menghargai tanda hepatomegaly dan splenomegaly.

Dan sudah tentu itu hanya satu-dua contoh yang penulis kemukakan untuk membuka idea para pembaca supaya berfikir bersama. Kita juga perlu ingat setiap orang mempunyai tanda kadar (intensity signs) yang  berbeza. Tidak dapat tidak ia memerlukan latihan yang berulang kali untuk membezakan yang normal dan tidak normal. Dan jawapannya sudah semestinya dengan latihan berulang kali!

  1. Consistent – Istiqamah

Penulis melihat rakan-rakan yang cemerlang dalam pelajaran mereka istiqamah untuk belajar satu topik pada setiap hari. Setiap kali topik yang diajar oleh pensyarah perubatan sewaktu pagi dan petang, mereka akan terus review dan mengulang kaji kembali nota-nota dan lecture notes yang diambil di dalam kelas dan wad. Setiap kes yang mereka jumpa di wad, mereka akan rekodkan dalam buku catatan dan akan membuat rujukan apabila pulang ke rumah. Mereka cuba hadam kes dengan baik dari A-Z seperti definition, epidemiology, pathophysiology, aetiology, investigation and management.

Penulis masih ingat lagi seorang sahabat yang mampu menghabiskan buku Kumar and Clark Clinical Medicine setebal 1400 ms dalam masa 3 bulan dan buku Illustrated Textbook of Paediatrics karangan Tom Lissauer dalam masa 2 minggu!  Kebanyakan mereka membuat nota-nota di dalam buku rujukan mereka dan membawanya ke wad untuk mengulang kaji sekiranya sekiranya mereka menemui kes yang sama di wad pada hari-hari yang lain. Hal ini akan memudahkan kita lebih ingat kerana pembacaan kita yang lebih kerap dan konsisten setiap hari.

  1. Study Group

Study Group merupakan kaedah pembelajaran yang sangat berkesan bagi mereka yang belajar dalam bidang perubatan. Jurusan perubatan memerlukan setiap graduan untuk berdiskusi sesama untuk menambahkan kefahaman dalam sesuatu topik yang ingin dipelajari. Penulis tidak nafikan ada juga pelajar perubatan yang lebih selesa untuk mengulang kaji secara individu. Tetapi hal yang tidak disedari adalah dengan banyaknya berdiskusi dengan rakan-rakan akan melatih kemahiran kita berkomunikasi khususnya sekiranya kita berada dalam peperiksaan lisan (OSCE dan VIVA) untuk bersoal jawab dengan pemeriksa (examiner) tentang sesuatu topik. Pada pengamatan penulis, mereka yang banyak mengajar orang lain, mereka akan lebih faham tentang sesuatu topik dan mereka mampu bersoal jawab dengan pakar dengan baik dan lebih yakin.

  1. Be Opportunistic

Bagi kebanyakan pelajar perubatan, prosedur-prosedur asas seperti blood taking, dressing, suturing, set IV lines and insert CBD ini bukanlah tugas hakiki bagi mereka. Namun hakikat yang mengejutkan adalah tugasan-tugasan seperti inilah merupakan perkara rutin yang akan dilalui oleh seorang houseman apabila masuk ke alam kerjaya kelak. Peluang-peluang melakukan prosedur asas di wad ini tidak akan dapat dirasai oleh pelajar perubatan sekiranya mereka tidak proaktif dan takut-takut untuk mencuba. Apa yang penulis risau adalah graduan perubatan yang dilahirkan nanti adalah graduan perubatan yang kurang kompeten kerana kurang pendedahan dan latihan melakukan prosedur asas di hospital.  Penulis tidak nafikan, rutin pelajar perubatan adalah exam dan clerking patient. Itu sahaja. Boleh jadi rutin yang dilakukan pada setiap hari tersebut akan menyebabkan kehidupan di wad agak membosankan. Sedangkan kehidupan di wad sebenarnya boleh jadi perkara amat menyeronokkan dengan mencuba pelbagai prosedur dan membantu staf-staf di hospital melakukan kerja-kerja rutin mereka. Rajinkan diri bertanya,

“Nurse, ada apa-apa yang boleh saya bantu atau saya teringin untuk buat prosedur ini, boleh minta supervised saya, doctor?”

Penulis melihat pelajar yang mudah mesra dengan staff hospital dan menghormati sistem hospital dan pesakit akan lebih banyak belajar dan akan diajar tentang perkara-perkara yang tidak di ajar dalam kurikulum perubatan seperti sistem perjalanan hospital, review  blood investigation, admission clerking, making discharge summary. Biasanya mereka yang rapat dan tagging dengan doktor secara langsung akan mengetahui lebih banyak kerana diajar dengan perkara tersebut secara tidak langsung.

  1. Knowledge, Competency, Attitude!

3 perkara yang akan menentukan anda adalah Houseman yang cemerlang Knowledge, Competency dan Atitude. Ya, inilah 3 perkara yang penulis perhatikan di hospital yang membezakan kualiti seorang houseman dan doktor dengan yang lain. Knowledge dan Competency mungkin boleh dipupuk dengan latihan dan pembacaan dalam tempoh yang sekejap. Tetapi Attitude yang akan membezakan kita dengan seorang doktor yang lain. Attitude atau sikap adalah masalah kritikal yang perlu dirawat dengan segera oleh mahasiswa perubatan. Masalah ponteng dan hadir lewat ke kelas, masalah meniru assignment (plagiarism), masalah menipu signature (meniru kehadiran tandatangan) merupakan masalah yang perlu segera dirawat kerana ia akan terbawa-bawa sehingga ke alam kerjaya kelak. Mungkin bagi kita ia adalah masalah kecil tetapi hakikatnya masalah sikap ini sangat sukar diubah sekiranya ia telah menjadi habit yang sebati dalam jiwa kita. Ya, bermula pada hari ini, kita perlu mengubah sikap negatif ini kepada yang lebih baik untuk membudayakan habit yang professional dan matang dalam diri kita.

  1. Keep Praying and Tawakal

Pada pendapat penulis, inilah tip yang sangat penting. Ada rakan-rakan, junior dan senior yang terkandas di pertengahan jalan akademik kerana terpaksa mengulang subjek dan tahun. Penulis tidak dapat nafikan bahawa walaupun kebanyakan pelajar perubatan berjaya menghabiskan pengajian dengan jayanya namun ada juga segelintir kecil yang tidak berjaya (Dengan izin Allah). Oleh itu kita tidak akan pernah tahu kisah perjalanan kita pada masa hadapan. Justeru, banyakkan berdoa agar Allah mudahkan urusan peperiksaan agar Allah berikan kita kemudahan dan berjaya untuk menamatkan pengajian pada waktunya. Kadang-kadang waktu rotation mungkin kita rasakan mudah tetapi sewaktu exam ianya jadi complicated. Kes susah, Language barrier, examiner bad mood dan sebagainya.  Perjalanan bidang perubatan adalah satu perjuangan. Sentiasa merendah diri dengan setiap orang lain dan saling membantu. Jangan pernah berkira untuk membantu rakan-rakan yang lain. In sha Allah, Allah akan berikan kita kemudahan untuk berjaya. Moga Allah berikan kita taufiq untuk terus berjaya in sha Allah.

Sebagai penutup, berada dalam jurusan perubatan merupakan satu amanah yang besar yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita. Sudah menjadi kewajipan kepada kita untuk melaksanakan yang terbaik dalam kehidupan kita. Bukankah Allah menyukai umatnya melakukan yang terbaik dalam sesuatu bidang dan perkara.  Betapa ramai mereka yang hebat-hebat dan cemerlang berada di luar sana, ingin berada dan bersama dalam profesion ini, tetapi tetap juga tidak diizinkan. Di sebalik kekurangan yang ada pada diri kita ini, Allah tetap memilih kita untuk berada di jalan kedoktoran ini. Seharusnya kesempatan yang diberikan oleh Allah ini, dijalankan amanah dan tanggungjawab ini dengan sebaiknya dan menyumbang kembali kepada agama, masyarakat dan negara. Moga-moga akan terus lahirnya ramai golongan muslim yang profesional dalam bidang perubatan yang akan terus beramal dengan penuh keikhlasan. Renung-renungkan dan selamat beramal 😊

Oleh Mohammad Aiman Hazim Zamri

Mahasiswa Perubatan Tahun Akhir

Penang Medical College (PMC) – Royal College of Surgeon in Ireland (RCSI) Dublin

Aktivis I-Medik Pulau Pinang